Nisrin kelihatan terpinga-pinga kekeliruan berdiri di tepi lorong. Dia memandang orang yang lalu-lalang dengan pandangan yang penuh kehairanan.
“Aku dimana? Pelik tempat ini,” bisik Nisrin dalam hati. Dia mendongak melihat bangunan besar seperti istana di hadapannya, tersergam sebalik pepohon merendang. Nisrin memberanikan diri melangkah, menghayun kakinya.
Kemudian dia terhenti, seperti terpesona melihat sebuah rumah yang sederhana namun indah seni binanya. Pokok bunga mawar memenuhi halaman kecil rumah tersebut. Ada seorang gadis membelakangi Nisrin, dia sedang menyiram pokok-pokok mawar tersebut.
Tiba-tiba gadis tersebut menoleh. Nisrin tersentak dan terpacul monolog “Ya Allah. Kenapa rupanya seiras aku?”
Namun gadis tersebut nampak tersenyum tenang. “Ayuh masuk.” Jemput gadis tersebut dan Nisrin menurut. Nisrin mengekor gadis itu lalu mereka duduk di ruangan patio rumah tersebut.
“Tunggu sebentar ya, saya buatkan minuman.” Gadis itu bersuara namun Nisrin masih nampak kebingungan.
Sejurus menghidangkan minuman, Mawar memulakan dialog. “Saya tak pernah nampak awak. Biasanya orang luar yang agak istimewa sahaja yang boleh sampai ke sini. Nama awak siapa?”
Nisrin masih ragu-ragu, tetapi dia tetap memberitahu Namanya. “Saya Nisrin. Ini kali pertama saya berada disini. Maaf, saya terkejut sebab kita benar-benar seiras.”
“Awaklah Nisrin rupanya? Mungkin saya cerminan diri awak, sebab itu kita seiras.” Kemudian gadis itu ketawa kecil. “Sebelum lupa, nama saya Mawar.”
“Cerminan?” Dahi Nisrin berkerut dan menyambung “nama awak dan saya maksudnya sama. Nisrin bermaksud mawar.”
“Saya tahu. Saya penggemar mawar.” Jawab Mawar sambil memandang halaman rumahnya yang dipenuhi pokok bunga mawar. Tetapi sikap Mawar itu seolah-olah dia mengenali Nisrin.
“Betul juga ya?” Nisrin sudah boleh mula tertawa, namun masih tertanya-tanya. “Apa maksud awak tentang cerminan? Sebab sebelum saya tiba-tiba berada di sini…” Nisrin terhenti sebentar, untuk menenangkan dirinya.
“Kenapa Nisrin?”
“Sebenarnya tadi saya menonton rakaman video tentang Nur Muhammad, Insan Kamil dan cerminan Tuhan. Sekarang awak sebut mengenai cerminan?”
Kali ini wajah Mawar pula tampak bingung, “rakaman video, apa itu?”
Nisrin bingkas membalas “maaf, maksud saya buku.” Kemudian hati Nisrin berbisik lagi “tempat ini macam zaman dahulu-kala. Mungkin tv pun tidak ada.”
“Awak membaca tulisan Abdul Qadir Al-Jailani dan Ibnu ‘Arabi?” Mawar bertanya.
“Tidak. Saya cuma membaca ulasan penulis lain terhadap mereka berdua.”
“Begitu rupanya. Saya meminati pemikiran mereka berdua. Tetapi tidaklah sampai taksub. Kerana ketaksuban membawa kerosakan.” Jelas Mawar.
Nisrin terus berkata-kata “Mawar, dalam satu pembacaan saya, ada seorang agamawan mengkritik konsep Nur Muhammad dan Insan Kamil bawaan Ibnu ‘Arabi. Dia mengatakan bahawa konsep alam semesta ini terhasil daripada Nur Muhammad dan konsep Insan Kamil yang mengatakan manusia adalah cerminan Tuhan sebagai satu kesesatan.”
Mawar tersenyum sambil menjawab “Itu kurang tepat kerana konsep Nur Muhammad atau Cahaya Muhammad bukan diperkenalkan oleh Ibnu ‘Arabi. Nur Muhammad juga dikenali sebagai Hakikat Muhammad. Konsep Nur Muhammad yang saya tahu mula diperkenalkan oleh Abdul Qadir Al-Jailani di dalam kitabnya ‘Sirr Al-Asrar wa Mazhar Al-Anwar’ (Sirrul Asrar).”
Mawar meneruskan kata-katanya, “Walaupun Ibnu ‘Arabi terkenal sebagai pengikut ajaran Abdul Qadir Al-Jailani, namun mereka tidak pernah bertemu. Ibnu ‘Arabi cuma pernah bertemu dengan murid Abdul Qadir Al-Jailani sahaja.”
Nisrin menekuni hujah Mawar, “Ibnu ‘Arabi terkenal dengan konsep Insan Kamil yang dikemukakannya dalam kitab ‘Fusus Al-Hikam’.”
“Baru saya ingat. Saya pernah terbaca mengenainya. Namun saya masih keliru, apakah ajaran mereka itu sesat?” Nisrin tertanya.
“Jika kritikan atas sebab khilaf atau perbezaan pendapat itu tidak mengapa. Tetapi jika kritikan tersebut bertujuan untuk mengatakan bahawa keilmuan Ibnu ‘Arabi dan Abdul Qadir Al-Jailani sebagai itu sesat, saya rasa ianya kurang tepat.
Untuk memudahkan wacana, pemikiran dan hujah sufi falsafi serta mistisisme Abdul Qadir Al-Jailani dan Ibnu ‘Arabi – walau saling berkaitan – tetapi mesti dibezakan dengan amalan tasawuf yang menitik beratkan ajaran mengenai akhlak atau ihsan. Sufi falsafi dan mistisisme lebih fokus mengenai falsafah dan usul agama.”
Mawar berhenti seketika dan meneguk minuman dan mengisyaratkan pelawaan untuk Nisrin. Seketika kemudian dia menyambung kembali.
“Memang pemikiran Ibnu ‘Arabi sering dimomokkan sebagai sesat. Namun insan besar ini diiktiraf sebagai bijaksana oleh Ibnu Rusyd. Sebenarnya Nisrin, saya lebih cenderung kepada pemikiran Ibnu Rusyd berbanding Ibnu ‘Arabi atau Abdul Qadir Al-Jailani.”
“Begitu rupanya?” Ujar Nisrin.
“Pendirian Ibnu Rusyd di dalam falsafah juga banyak ditohmah. Jika Ibnu Rusyd diperlakukan sebegitu, maka apatah lagi Ibnu ‘Arabi. Bukannya saya mahu mempertahankan Ibnu Rusyd dan Ibnu ‘Arabi, namun begitulah resam yang perlu dilalui oleh seseorang ilmuwan tanpa mengira siapapun dia dan walau dari aliran mana sekalipun.”
“Saya setuju dengan awak. Saya banyak terbaca mengenai ujian, ‘mehnah’ dan tribulasi yang terpaksa dilalui oleh ilmuwan-ilmuwan ulung.” Nisrin menganggukkan kepalanya.
“Berbalik kepada perbincangan asal mengenai Nur Muhammad yang dikatakan sebagai asal bagi segala ciptaan. Sebenarnya ada dua tafsiran mengenainya, ia kedengaran sama tetapi sebenarnya tidak serupa.” Mawar meneruskan bicara dan menyambung.
“Beberapa hadith dan hadith qudsi disandarkan mengenai perkara ini. Tetapi status hadith tersebut diragui – saya tidak mahu menyatakan kecenderungan terhadap status hadith tersebut kerana perkara itu terserah kepada mereka yang pakar. Antara hadith tersebut ialah: ‘Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku mahu untuk dikenali, maka Aku jadikan makhluk supaya dikenali.’
Hadith qudsi ini selalu dibaca dengan beberapa hadith lain contohnya: ‘Mula-mula Allah ciptakan ruhku. Pada permulaan diciptakan-Nya sebagai ruh suci’ dan ‘Aku daripada Allah dan sekalian yang lain daripadaku.’ Maka disinilah lahirnya dua tafsiran yang saya nyatakan tadi.” Mawar berhenti.
“Dua tafsiran?”
“Ya. Dua tafsiran. Saya tidak tahu mengapa boleh berlaku begitu.” Mawar cuba menjelaskan.
“Jadi apa dua tafsiran tersebut?” Nisrin meminta Mawar untuk menerangkan lanjut.
“Pertamanya kita lihat tafsiran bahawa Nur Muhammad adalah perkara pertama yang dicipta dan daripada cahaya tersebutlah diciptakan perkara-perkara lain. Konsep ini kontroversi.
Pemikiran ini dikatakan memiripi konsep ‘emanation’ ataupun ‘pancaran’ seperti yang diasaskan oleh Plotinus iaitu seorang filsuf Neoplatonisme dari Yunani. Malah ia dikatakan menyamai konsep ‘Logos’ atau ‘Kalimat’ di dalam doktrin Kristian. Kalimat tersebut diertikan sebagai Isa a.s. dan kerananya alam tercipta.”
“Kerana itu ia dikritik?” Sampuk Nisrin dan Mawar menganggukkan kepala lalu menyambung.
“Di dalam dunia Islam pemikiran Plotinus ini dikembangkan dan namun disesuaikan dengan wahyu oleh filsuf seperti Ibnu Sina dan Al-Farabi. Begitu juga Ibnu Rusyd. Perkara ini mungkin berat kerana bersifat falsafah.
Namun secara ringkas konsep ‘emanationism’ menekankan bahawa alam ini bukannya ‘creatio ex nihilo’ ataupun diciptakan daripada ketiadaan. Tuhan memancarkan ‘realiti pertama’ yang juga dikenali sebagai ‘prinsip pertama’ atau ‘akal pertama’.
Penciptaan di dalam emanationism boleh dianalogikan seumpama air yang terbit atau mengalir daripada mata air. Lalu daripada realiti pertama inilah seterusnya ia memancarkan realiti yang berikutnya seperti alam semesta dan segala makhluk.”
“Agak rumit juga.” Nisrin menongkat dagu dan merenung dalam.
“Untuk memudahkan awak faham” Mawar meneruskan kata-katanya “Ibnu Rusyd membawakan ayat Al-Quran yang bermaksud: ‘Kemudian Ia menunjukkan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: ‘Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!’ Keduanya menjawab: ‘Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela.’ (Al-Fussilat, 11).
Di sini menurut Ibnu Rusyd, bukankah ia menunjukkan langit telah terhasil daripada ‘asap’. Maka telah ada sesuatu sebelum sesuatu tercipta. Langit dan bumi tidak dicipta dari ketiadaan. Tuhan cuma mengubah sesuatu keadaan kepada sesuatu keadaan yang lain.” Mawar berhenti lalu Nisrin menyambut.
“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya?” Nisrin membacakan maksud ayat 30 Surah Al-Anbiya dan meneruskan lagi.
“Langit dan bumi asalnya bercantum. Bermaksud materialnya telah wujud dan ia bukannya daripada ketiadaan. Apakah begitu maksud Ibnu Rusyd?”
“Begitulah. Namun perkara ini terlalu falsafi dan bersifat ‘dzanni’. Kerana itu ia banyak diperdebatkan. Malah banyak hujah-hujah yang dibentangkan bagi membantahnya. Misalnya ayat ‘Kun Fayakun’.” Jawab Mawar dan dia tidak terhenti disitu.
“Namun pada awalnya Plotinus, Ibnu Rusyd, Ibnu Sina, Al-Farabi dan filsuf-filsuf lain tidak pernah menyamakan pancaran realiti pertama itu dengan cahaya, kalimat, Logos, Nabi Isa mahupun Nur Muhammad. Pemahaman ini datang kemudian dan saya kurang pasti asalnya.
Yang kedua pula, jika membaca ‘Sirrul Asrar’ Nur Muhammad cenderung memaksudkan bahawa alam ini tercipta kerananya. Nur itu bermaksud Ruh atau Hakikat Muhammad sebelum Rasulullah s.a.w. lahir ke dunia secara jasad. Namun Nur Muhammad di dalam kitab tersebut tidaklah digambarkan sebagai realiti pertama dan tidak memancarkan alam ini.”
“Apakah tafsiran kedua ini lebih diterima?” Bingkas Nisrin.
Reaksi wajah Mawar seumpama berat. “Bagi menyanggah ‘Sirrul Asrar’ ramai ilmuwan yang menyatakan bahawa Rasulullah adalah manusia biasa dan menghujahkan hadith sahih riwayat Bukhari yang bermaksud: ‘Janganlah kamu sekalian menyanjungku sebagaimana kaum Nasrani menyanjung Isa putera Maryam. Sesungguhnya aku adalah hamba Allah dan Rasul-Nya.’
Saya tidak bermaksud untuk membenarkan kitab ‘Sirrul Asrar’, tetapi bukankah Allah berfirman yang maksudnya: ‘Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam (rahmatan lil ‘alamin).’ (Al-Anbiya, 107). Tidakkah ini seumpama isyarat bahawa Allah mencipta alam semesta ini semata-mata bagi menampung rahmat-Nya melalui Baginda Nabi?”
Nisrin memejamkan untuk memahami kata-kata Mawar dan cuba menjelaskannya kembali “Jadi maksud Mawar, tafsiran pertama ialah alam semesta ini adalah pancaran daripada Nur Muhammad dan Nur Muhammad itu pancaran daripada Tuhan?
Tafsiran yang lagi satu pula memaksudkan alam semesta ini diciptakan sebab Allah mahu menunjukkan rahmatnya melalui Muhammad, jadi kerana Rasulullah-lah alam ini diciptakan?”
“Ya.” Akui Mawar.
Nisrin menyambung. “Di dalam Al-Quran ada banyak menyebutkan tentang Nabi Muhammad sebagai cahaya. Ia keterangan yang lebih jelas. Contohnya di dalam ayat 15 Surah Al-Maaidah yang bermaksud: ‘Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran dari Allah, dan sebuah Kitab yang jelas nyata keterangannya.’ Bukankan ramai ahli tafsir yang mentafsirkan ‘cahaya kebenaran’ itu sebenarnya ialah Rasulullah s.a.w.”
“Benar, bukankah juga begitu terkenal senandung atau syair ‘Tala ‘al-Badru ‘alayna’ yang bermaksud ‘Telah terbit Purnama ke atas kita’ yang secara tidak langsung memaksudkan Nabi Muhammad sebagai cahaya.” Mawar membenarkan kata-kata Nisrin.
“Jika Nabi ialah seperti cahaya dan purnama, apakah benar kata-kata Ibnu ‘Arabi bahawa baginda ialah Insan Kamil atau manusia yang sempurna? Saya ada mendengar kritikan bahawa ianya menyimpang dari ajaran Islam kerana cuba menyamakan Nabi dengan kesempurnaan Tuhan. Malah ia dikatakan memiripi konsep ‘Imago Dei’ atau ‘Imej Tuhan’ di dalam doktrin Kristian?” Tanya Nisrin kepada Mawar lagi.
Mawar tersenyum dan tenang menjawab “Ibnu ‘Arabi tidak membangunkan konsep Insan Kamil secara membuta tuli atau mengambil doktrin Kristian sebagai ajaran. Konsep ini sebenarnya telah lama berlegar di dalam dunia sufi falsafi dan misitisisme. Ibnu ‘Arabi cuma mengungkapkannya dengan cara yang berbeza. Memang banyak juga terjadi kesalahfahaman dalam memahami konsep ini.”
“Jadi apa yang ajaran yang sebenar dan apa yang telah disalah fahami?” Nisrin meminta kepastian.
“Secara umum Insan Kamil adalah konsep yang menekankan tentang Nabi Muhammad sebagai makhluk yang paling sempurna dan penghulu segala Nabi. Tiada percanggahan mengenai perkara ini.” Jelas Mawar dan dia menyambung lagi.
“Namun secara lebih mendalam untuk menerangkan konsep Insan Kamil, Ibnu ‘Arabi menggunakan metafora cermin. Insan adalah pantulan imej atau cerminan Tuhan. Inilah kontroversinya kerana ia memiripi doktrin ‘Imago Dei’. Insan dan Tuhan seumpama matahari dan cahaya matahari, Nisrin ingat tadi konsep Nur Muhammad bahawa air terpancar daripada mata air yang mengalir? Bukankan lebih kurang?”
Nisrin menganggukkan kepalanya sekali lagi.
Mawar meneruskan “Insan tidak mungkin mencerminkan kesempurnaan Tuhan. Bukankah Tuhan telah menyatakan yang maksudnya: ‘Tiada sesuatu yang sebanding dengannya dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.’ (As-Shura, 11).”
“Betul. Insan dan Tuhan pasti tidak terbanding.” Nisrin bersetuju.
“Tetapi perkara ini belum selesai.” Sanggah Mawar “konsep Insan Kamil atau cerminan Tuhan ini sebenarnya dipertahankan oleh ramai juga ilmuwan dengan menggunakan tiga hujah. Yang pertamanya ialah hadith sahih riwayat Bukhari yang bermaksud: ‘Allah mencipta Adam menurut rupa-Nya.’
Kedua ialah dalil dari ayat 75 Surah Sad yang bermaksud: ‘Wahai Iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Aku ciptakan dengan kedua tangan-Ku.’ Ketiga ialah ayat 29 Surah Al-Hijr yang bermaksud: ‘…dan Aku telah meniupkan roh-Ku ke dalamnya (Adam), maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.’
Disini dapat kita cerap bahawa Adam diciptakan menurut ‘rupa-Nya’, dengan ‘tangan-Nya’ dan ditiupkan dengan ‘roh-Nya’. Kualiti ini pasti turut diwarisi oleh manusia yang merupakan keturunan Adam, dan manusia yang terbaik tentulah Nabi Muhammad.”
“Mawar, saya masih kurang faham.”
“Begini Nisrin. Sepengetahuan saya, maksud cerminan Tuhan dan Insan Kamil ialah manusia mempunyai kebolehan sama seperti Tuhan. Manusia berkebolehan untuk berikhtiar atau berfikir dan berkehendak sama seperti Tuhan. Namun dalam kemampuan yang sangat berbeza.
Manusia cuma sempurna secara kebolehan dan inilah yang membezakan manusia daripada makhluk lain. Tetapi ia tidak sama dengan Allah, kerana Dia sempurna secara kemampuan.” Mawar berhenti.
Nisrin pula cuba untuk mengungkap kefahamannya “mungkin kebolehan yang Mawar maksudkan ialah ‘ability’ dan kemampuan ialah ‘capability’? Kebolehan ialah keupayaan asas dalam melakukan sesuatu manakala kemampuan ialah keupayaan maksimum untuk melakukan sesuatu.
Saya teringat ayat Al-Quran maksudnya: ‘Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah adalah sebaik-baik perancang (membalas tipu daya).’ (Ali Imran, 54). Maksudnya manusia berkebolehan untuk merancang sama seperti Allah, namun perancangan Allah lebih baik.”
“Saya setuju dengan awak Nisrin. Namun seperti pesan saya awal tadi, janganlah kita taksub. Kerana setiap kefahaman manusia pasti ada kekuatan dan kelemahan. Ada kebenaran dan ada kesilapan.”
Suasana pun hening seketika setelah Nisrin dan Mawar usai bicara.
Setelah beberapa ketika, Nisrin kembali berbicara sambil menatap wajah Mawar. “Saya tidak tahu saya berada di mana. Saya juga tidak tahu awak siapa? Dan ini kali pertama kita berjumpa. Tetapi memandang dan berbual dengan awak, saya rasa saya seperti sedang memandang dan berbual dengan diri saya sendiri. Betulkah awak adalah cerminan diri saya, atau awak cuma bergurau?”
Mawar melemparkan senyuman mesra namun tidak menjawab. Nisrin jadi kelu.
Tiba-tiba Mawar bangun melangkah ke taman mawar di halaman rumah. Dia memetik sekuntum mawar dan kemudian terus masuk ke dalam rumah.
Setelah itu Mawar muncul kembali dan menyuakan kepada Nisrin sekuntum bunga mawar liar dan origami rama-rama biru. Nisrin tersentak dan hatinya tertanya “Mawar liar dan rama-rama biru?”
“Ambillah. Untuk awak.” Mawar cuma tertawa kecil melihat reaksi Nisrin.
“Nanti balik kirim salam pada Muhammadi ya.” Ujar Mawar lagi.
Sekali lagi Nisrin menerima kejutan “Awak kenal Muhammadi!?....”
“Nisrin. Nisrin. Sudah pukul dua. Sambung kerja.” Suara Muhammadi mengejutkan Nisrin. Dia terkejut dan terus menegakkan tubuhnya dan spontan berkata “pelik.” Matanya memandang ke arah tangannya. Dia sedang memegang gambar rama-rama biru lukisannya dan gambar bunga mawar liar yang pada kebiasaan tergantung di tepi komputernya.
“Apa yang pelik?” Muhammadi bertanya kepada Nisrin.
Nisrin memandang Muhammadi dan terus bertanya “Siapa Mawar?”
Forget Me Not.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
*segala watak, situasi dan dialog adalah rekaan semata-mata dan tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang sudah tiada. Namun segala mesej dan informasi yang disampaikan adalah benar sekadar kemampuan penulis.*
Foto: origami.me
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.