Boleh ke makan durian banyak sangat?

Boleh ke makan durian banyak sangat?

Musim durian makan durian.

Para penggemar durian pastinya tidak akan melepaskan peluang memburu raja buah ini pada musim-musim begini.

Ada yang sanggup masuk ke kebun-kebun, bahkan menginap dalam kebun untuk menunggu buah luruh dari pokok. Ada juga yang mencari hingga ke negeri lain bagi mendapatkan buah kesukaan mereka ini.

Pelbagai kisah memburu raja buah ini dipaparkan di dada-dada akhbar. Baru-baru ini, terpapar kisah buah durian yang masih belum luruh tetapi sudah ditempah oleh pelanggan. Begitu sekali penangan buah durian!

Buah durian dikatakan berasal dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina. Maka tidak hairanlah durian begitu sinonim dengan masyarakat kita.

Tidak cukup Malaysia katanya jika tidak makan durian.

Dengan aroma dan rasanya yang kuat, toleransi deria setiap individu pastinya berbeza. Ada yang rasa bau durian wangi dan tidak kurang juga yang merasakan bau durian busuk, menyengat dan tidak menyenangkan.

Kajian demi kajian dijalankan bagi mengenal pasti sebatian yang memberi aroma durian yang kuat ini. Namun yang menariknya, konklusi daripada kajian-kajian tersebut, aroma durian bukanlah datang dari satu sebatian. Sebaliknya daripada beberapa gabungan bahan kimia yang berbeza yang terdapat dalam durian itu.

Dalam satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2012, didapati lebih 50 sebatian kimia yang menyumbang kepada bau durian.

Antara gabungan bahan kimia yang dikenal pasti memberi aroma durian termasuklah daripada kumpulan ester, sebatian bersulfur, karbonil dan hidrokarbon.

Sebatian kimia bersulfur dan ester ini sangat mudah meruap. Ini yang menyebabkan bau durian dapat dihidu walaupun dari jarak jauh lebih-lebih lagi dimakan dalam kuantiti yang banyak.

Bau yang kuat ini menyebabkan kebanyakan tempat dan fasiliti awam mengharamkan buah ini dibawa masuk seperti hotel dan kenderaan pengangkutan awam.

Di sebalik bau yang kurang menyenangkan ini, buah durian kaya dengan kandungan nutrisi seperti vitamin, mineral, zat besi, antioksidan, protein dan serat yang menyumbang kepada kesihatan tubuh.

Buah durian bagus untuk meningkatkan kekuatan otot, mengawal tekanan darah, menyokong sistem imun serta meningkatkan pembentukan sel darah merah. Serat pula membantu dalam mengekalkan usus yang sihat.

Antioksidan yang terdapat pada buah durian mampu meneutralkan radikal bebas yang menggalakkan pertumbuhan sel kanser.

Namun, berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara termasuk makanan boleh mendatangkan kemudaratan. Dalam pada menikmati keenakan durian, beringatlah untuk sentiasa bersederhana. Makan terlalu banyak durian akan memberi kesan yang tidak baik untuk tubuh.

Apa yang akan terjadi jika seseorang makan durian terlalu banyak?

Pertama, risiko peningkatan berat badan. Durian mengandungi kalori, lemak dan karbohidrat yang tinggi. Dalam sebiji buah durian berukuran sederhana dengan anggaran berat sekitar 602g, kandungan kalorinya adalah 885, lemak 32.1g dan karbohidrat 163.1g, melepasi lebih 50% daripada keperluan pemakanan harian.

Kandungan potassium yang tinggi akan membebankan buah pinggang, terutamanya bagi pesakit buah pinggang untuk mengeluarkan bahan kumuh tersebut daripada badan.

Selain itu, pengambilan potassium yang tinggi juga meningkatkan masalah kesihatan jantung dengan menyebabkan gangguan ritma jantung.

Durian mengandungi gula yang tinggi seperti fruktosa dan glukosa. Ini menjadikan buah durian tidak sesuai dimakan oleh penghidap diabetes kerana berisiko mengalami peningkatan gula dalam darah jika terlalu banyak dimakan.

Buah durian dikatakan “panas”. Makan durian terlalu banyak boleh menyebabkan seseorang mengalami gejala yang tidak selesa seperti sakit tekak, ulser mulut dan sembelit.

Umumnya, ramai yang sudah sedia maklum dengan kesan sampingan yang akan dialami jika makan buah durian terlalu banyak. Namun, kebanyakan daripada penggemar durian ini tewas dengan keenakan rasa raja buah tersebut.

Nak makan boleh, cuma bersederhanalah.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://pubs.acs.org/doi/abs/10.1021/jf303881k?prevSearch=durian&searchHistoryKey=

https://www.healthxchange.sg/food-nutrition/food-tips/durian-myths-facts-king-fruits

https://www.smithsonianmag.com/science-nature/why-does-the-durian-fruit-smell-so-terrible-149205532/

Kredit foto: cookist.com

Share this Post: