Bertabah Hidup Dengan Penyakit Kronik

Bertabah Hidup Dengan Penyakit Kronik

Setiap lapisan masyarakat di dunia ini tidak terlepas daripada mempunyai risiko menghidap penyakit kronik. Kadangkala masyarakat yang mengamalkan gaya hidup yang sihat juga masih berpotensi menghidap penyakit kronik tanpa simptom-simptom awal. Contoh bagi penyakit kronik termasuklah penyakit diabetes, Alzheimer dan asma.

Penyakit kronik merupakan penyakit yang menjadi penyebab tujuh daripada sepuluh kematian yang berlaku di Amerika Syarikat. Terdapat 50% orang dewasa dan 10% kanak-kanak menghidap penyakit kronik dan perkara ini amatlah membimbangkan. Penyakit kronik merupakan penyakit yang menghantui masyarakat kerana mempunyai kesan yang besar terhadap hidup seseorang pesakit termasuklah orang sekelilingnya.

Pesakit yang menghidap penyakit kronik merupakan yang paling terjejas kerana golongan ini perlu membuat perubahan dalam aktiviti kehidupan seharian mereka bagi menyesuaikan diri dengan penyakit yang dihadapi mereka. Pesakit juga perlu bertahan dalam menghadapi tekanan rawatan bagi penyakit kronik mereka. Selain itu, pesakit juga perlu menghadapi kemungkian menghadapi kematian kerana menyedari bahawa penyakit kronik ini amat berbahaya.

Diabetes merupakan salah satu penyakit kronik yang seringkali kita dengar dialami oleh masyarakat, terutamanya yang tidak mengawal pengambilan gula dalam diet seharian. Hormon insulin merupakan hormon yang berfungsi untuk membawa kandungan gula dari darah ke sel badan manusia untuk disimpan atau digunapakai sebagai tenaga. Individu yang mempunyai penghasilkan hormon insulin yang kurang atau hormon insulinnya gagal untuk berfungsi akan mengalami gangguan iaitu diabetes mellitus.

Terdapat dua jenis diabetes iaitu Diabetes Jenis 1 dan Diabetes Jenis 2. Diabetes Jenis 1 adalah berpunca daripada organ pankreas yang gagal untuk menghasilkan insulin dan biasanya berlaku pada individu sebelum umur 30 tahun. Pesakit yang menghidap Diabetes Jenis 1 tidak mempunyai ubat selain daripada bergantung kepada suntikan insulin bagi menggantikan insulin yang tidak dapat dihasilkan oleh tubuh badan mereka.

Diabetes Jenis 2 merupakan jenis diabetes yang dialami oleh majoriti masyarakat dan biasanya berlaku selepas individu berusia 30 tahun. Pesakit yang menghidap Diabetes Jenis 2 ini tidak bergantung kepada insulin manakala mereka harus mengambil ubat untuk membantu proses penghadaman makanan yang berunsur glukosa bagi menurunkan kadar gula dalam darah mereka. Diabetes Jenis 2 biasanya dihidapi oleh individu yang obes.

Pesakit yang menghidap diabetes hendaklah mengubah gaya hidup dengan bersenam atau makan makanan yang sihat agar dapat mengurus dan mengawal diabetes yang dihidapi mereka. Selain itu, ahli keluarga dan rakan-rakan kepada pesakit dapat membantu pesakit dengan mengurangkan tekanan dan emosi negatif terhadap pesakit kerana perkara ini dapat membantu pesakit untuk menguruskan sakit diabetesnya ini. Pesakit yang menerima tekanan daripada sekeliling akan memberi kesan kepada metabolisme glukosa.

Seterusnya, Alzheimer juga merupakan penyakit kronik yang sering dihidapi oleh masyarakat tidak mengira usia. Penyakit Alzheimer ini merupakan penyakit degeneratif yang biasanya berlaku lewat iaitu selepas umur 60 tahun. Alzheimer yang berlaku lewat ini mungkin berpunca daripada genetik, namun faktor gaya hidup juga menjadi punca berlakunya Alzheimer ini.

Individu yang menghidap Alzheimer awal, iaitu pada usia sebelum 60 tahun biasanya berpunca daripada faktor genetik. Namun, Alzheimer yang berlaku awal ini jarang dihidapi oleh masyarakat. Individu yang menghidap penyakit Alzheimer akan mengalami hilang ingatan disamping menghadapi kesukaran untuk tidur, mudah terganggu dan paranoid serta mempunyai tingkah laku seksual yang tidak sesuai.

Sehingga kini, tiada ubat bagi merawat penyakit Alzheimer melainkan ubat untuk melambatkan perkembangan kehilangan ingatan yang dihadapi oleh pesakit. Penjaga kepada pesakit Alzheimer hendaklah mendapatkan sokongan sosial yang kuat kerana mereka akan mengalami kesihatan fizikal dan psikologi yang buruk akibat daripada keperluan mereka memberi penjagaan sepenuh masa kepada pesakit terutamanya pada peringkat awal. Individu yang menghidap penyakit Alzheimer pada peringkat awal akan mengalami kemurungan kerana mereka cukup sedar tentang perkara yang berlaku terhadap diri mereka tetapi tidak mampu untuk mengubahnya.

Asma juga merupakan penyakit kronik iaitu penyakit radang yang menyebabkan tiub bronkus menjadi sempit dan menghalang udara daripada melepasi tiub tersebut. Kanak-kanak merupakan golongan yang paling banyak menghidapi penyakit asma. Individu yang tinggal di kawasan bandar dan negara-negara maju lebih berisiko untuk menghidap penyakit asma kerana individu ini lebih terdedah kepada asap rokok dan pencemaran udara seperti ozon dan pencemaran zarah.

Pesakit yang menghidap asma tidak boleh mengelak serangan asma tetapi boleh mencegahnya daripada berlaku. Pesakit asma boleh menjadikan senaman sebagai cara untuk mencegah asma daripada berlaku tetapi bukan dalam cuaca yang sangat sejuk. Pesakit asma juga hendaklah mengelakkan aktiviti luar apabila bacaan indeks pencemaran adalah tidak sihat.

Kesimpulannya, penyakit kronik amat mengganggu dan memberi kesan yang besar dalam diri penghidap dan orang sekelilingnya. Justeru itu, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk menjaga kesihatan diri agar tidak diserang penyakit sebegini.

Nurasyiqin Khidir Neoh adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Sains Gunaan (Kimia Analisis) dari Universiti Sains Malaysia.

Foto: Christian Science Monitor / Getty Images

Share this Post: