Kasus Nusantara
Pernah anda terfikir untuk menjadi rakyat kepada seorang ratu? Iya, seorang pemerintah wanita. Walaupun undang-undang pewarisan Raja-Raja Melayu sekarang tidak memungkinkan untuk seorang perempuan bertakhta, namun masyarakat Melayu atau Nusantara sebenarnya pernah menyaksikan pemerintahan raja-raja dari kalangan wanita.
Di Kelantan misalnya, kisah legenda Cik Siti Wan Kembang atau turut dikenali sebagai Paduka Cik Siti dan anak angkatnya iaitu Puteri Saadong dikatakan pernah memerintah dan bertakhta di Hulu Kelantan. Di Patani pula ada legenda tentang Ratu Hijau, Ratu Biru, Ratu Ungu dan Ratu Kuning.
Di Acheh, iaitu sebuah negeri yang terkenal dengan gelaran ‘Serambi Mekah’ juga pernah diperintah oleh empat orang Sultan(ah) Wanita. Mereka ialah Sultanah Safi’atuddin, Sultanah Nurul Alam Naqiatuddin, Sultanah Inayah Zakiatuddin dan Sultanah Kamal Zainatuddin.
Namun sayang, tidak terdapat banyak catatan tentang suami mereka. Jika ada bolehlah kita tahu tentang peranan dan bagaimana adat dan budaya masyarakat kita menanggapi perkara ini. Kita tidak dapat menolak bahawa memang wujud sistem pemerintahan yang membenarkan wanita untuk memerintah, namun pernahkah kita terfikir tentang tentang kehidupan suami mereka?
Kini di dalam pengistilahan Melayu ada satu perkataan iaitu ratu – bermaksud raja wanita. Oleh itu kita menggunakan istilah ratu kepada pemerintah wanita seperti Ratu Elizabeth. Ini lebih mudah difahami secara maknanya berbanding penggunaan istilah sultanah atau permaisuri yang membawa maksud pasangan atau isteri kepada seorang sultan ataupun raja.
Kita pasti ada terdengar – jika tidak, ini saya mahu beritahu – misalnya Putera Philip yang sentiasa di samping Ratu Elizabeth dan sentiasa menyokong pemerintahan isterinya itu sebagai ketua negara kendati susah atau senang. Kisah ini sebegini memang kedengaran sweet dan seakan-akan kisah dongengan moden.
Memang benar kisah mereka menarik perhatian dan bahagia. Tetapi untuk menjadi ketua keluarga kepada seorang seorang ketua negara dan putera mahkota, bukan perkara yang mudah.
Dalam Bahasa Inggeris dan pengertian masyarakat Eropah, raja atau pemerintah wanita digelar sebagai queen. Isteri kepada seorang raja juga turut digelar sebagai queen. Yang membezakannya ialah apakah baginda itu seorang queen regnant (ratu pemerintah) ataupun queen consort (permaisuri – isteri kepada seorang raja).
Jika seorang raja mempunyai seorang isteri bergelar permaisuri (queen) iaitu gelaran yang lebih tinggi darjatnya berbanding seorang puteri, tetapi suami kepada ratu tidak mungkin menjadi seorang raja. Baginda kekal menjadi seorang putera hingga ke akhir hayatnya.
Sabar, ini bukan perbincangan tentang egoistik seorang lelaki atau seperti tanggapan di Barat yang menyatakan lelaki dikatakan lebih selfish berbanding wanita. Ini juga bukan artikel yang membincangkan tentang maskulinisme. Tetapi perbincangan ini cuba menceritakan semula pengalaman pernah yang dilalui oleh beberapa orang putera yang menjadi suami kepada ratu pemerintah.
Kisah Tiga Putera
Itulah yang berlaku kepada tiga orang putera (prince consort) yang masing-masing pernah menjadi suami kepada tiga orang ratu. Mereka ialah Putera Claus, Putera Henrik dan Putera Philip.
Di dalam catatan sejarah terdapat ramai lagi putera atau lelaki yang menjadi suami kepada seorang ratu seperti Putera Bernhard (Belanda), Putera Albert (United Kingdom), Duke (Putera) Henry (Belanda), John Owen Dominis (Hawai’i) dan beberapa orang lagi. Tetapi mengapa cuma mereka bertiga yang kita bincangkan? Ini kerana zaman mereka tidak jauh daripada zaman kita.
Ketiga-tiga mereka telahpun mangkat dan yang terbaru ialah Putera Philip. Tidak terlambat kiranya dizahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat United Kingdom atas kemangkatan Baginda.
Putera Claus (mangkat tahun 2002) ialah suami kepada Ratu Beatrix dari Belanda. Putera Henrik (mangkat tahun 2018) pula ialah suami kepada Ratu Margrethe II dari Denmark. Putera Philip pastinya umum mengetahui bahawa baginda ialah suami kepada Ratu Elizabeth dari United Kingdom.
Mungkin tidak banyak yang boleh kita sebutkan tentang Putera Claus. Baginda sebenarnya adalah keturunan bangsawan dari sebelah bapa dan juga ibunya. Bapanya ialah bangsawan keluarga Amsberg dari Jerman dan ibunya yang bergelar baroness (diwarisi daripada bapanya yang bergelar baron) daripada keluarga Bussche-Haddenhausen yang juga keluarga bangsawan Jerman.
Sebagai menghormati kedudukan prince consort ataupun suami kepada ratu, baginda diberi beberapa peranan sebagai ahli lembaga pengarah dan pengerusi kehormat kepada beberapa pertubuhan dan perbadanan nasional.
Namun begitu untuk menjadi suami kepada seorang ratu pastinya mencabar psikologi seorang lelaki dan suami. Jika menjadi suami kepada menteri, timbalan perdana menteri dan perdana menteri pun agak sukar – jika tidak percaya anda boleh bertanya kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang pernah meluahkan rasa sedikit kekok menemani (Datuk Seri Dr.) Wan Azizah ke majlis-majlis rasmi semasa isterinya itu menjawat jawatan timbalan perdana menteri. Ini kerana protokol kenegaraan dan diraja akan mengutamakan ratu berbanding suami kepada ratu.
Putera Henrik mengalami kesukaran dalam menghadapi protokol rasmi kenegaraan dan diraja ini. Setelah begitu lama menjadi orang kedua selepas isterinya yang juga Ratu Denmark, kedudukannya diturunkan kepada nombor tiga apabila anaknya yang juga putera mahkota (Frederik) mula diberikan peranan aktif.
Di dalam satu kenyataan Putera Henrik berkata “Bertahun lama saya menjadi nombor dua di Denmark”, “Saya berpuas hati dengan peranan tersebut, tetapi saya tidak mahu diturunkan ke nombor tiga setelah bertahun lama.” Baginda dilaporkan terasa diketepikan, direndahkan dan dimalukan.
Malah pada tahun 2017 baginda menyatakan hasratnya supaya tidak dimakamkan bersebelahan ratu (Margrethe II) dan menyorot kembali kritikannya kerana cuma digelar sebagai prince consort dan bukannya king consort.
Namun begitu pada tahun 2008 (enam tahun setelah Putera Henrik mula rasa disisihkan ke tempat ketiga), Ratu Margrethe II telah memperkenankan supaya gelar Count of Monpezat digunakan oleh kedua-dua putera baginda berdua. Ini bagi menghormati dan mengiktiraf kedudukan Putera Henrik sebagai bapa kepada kedua-dua Putera Denmark tersebut.
Ini kerana Putera Henrik sebenarnya berasal daripada keluarga yang mempunyai kedudukan tinggi dan dihormati Perancis – iaitu Maison de (House of di dalam Bahasa Inggeris atau Wangsa di dalam Bahasa Melayu) Laborde-Monpezat.
Masalah nama keluarga ini sebenarnya turut dihadapi oleh pasangan Ratu Elizabeth dan Putera Philip walaupun tiada masalah-masalah besar lain yang timbul. Pada awalnya Perdana Menteri Winston Churchill dan Ibunda Permasuri (ibu Ratu Elizabeth) tidak bersetuju menukarkan nama keluarga Ratu Elizabeth daripada Windsor kepada Mountbatten iaitu nama keluarga atau nama akhiran (surname) Putera Philip.
Nama Keluarga: Antara Tradisi dan Keutamaan Diraja
Walaupun ada desakan daripada Putera Philip untuk Ratu Elizabeth menggunakan nama akhiran Mountbatten ataupun Edinburgh (sempena gelar Duke baginda), tetapi Baginda Ratu membuat keputusan untuk kekal menggunakan nama Windsor. Ini membuatkan Putera Philip berasa kecewa kerana keputusan tersebut sebenarnya akan turut melibatkan (bakal) anakanda-anakanda serta keturunan mereka berdua kelak.
Malah menjadi tradisi di Barat untuk seorang isteri atau anak menggunakan nama akhiran daripada keluarga suami. Tetapi Ratu Elizabeth juga tersepit dan antara tradisi dan darjat diraja sama ada mahu memilih nama keluarga suami ataupun kekal dengan nama wangsa diraja.
Ini telah membuatkan Putera Philip mengeluarkan dua kenyataan yang agak tajam sindirannya berbunyi “saya bukanlah sesiapa melainkan ‘bloody amoeba’” dan “satu-satunya lelaki di negara ini (United Kingdom) yang tidak dibenarkan memberikan namanya kepada anak-anaknya sendiri”. Bayangkan kalau kita sebagai lelaki Melayu Muslim tidak dibenarkan mem-bin-kan nama anak kepada nama kita sendiri atau seorang lelaki Cina tidak dibenarkan anaknya untuk menggunakan nama keluarganya.
Namun selepas lapan tahun bertakhta, pada tahun 1960 Ratu Elizabeth berkenan untuk nama keluarga anak-anak dan keturunannya nanti menggunakan nama akhiran Mountbatten-Windsor. Tetapi ia tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, misalnya keturunan yang tidak digelar putera atau puteri dan Royal Highness sahaja boleh menggunakan nama akhiran tersebut. Namun kefahaman umum menyatakan kesemua keturunan lelaki baginda berdua boleh menggunakan nama akhiran tersebut, malah Putera William dilaporkan pernah menggunakan nama akhiran tersebut.
Putera Philip sebenarnya lahir dalam keluarga diraja Greece – Denmark kerana datuknya ialah seorang Putera Denmark yang dirajakan di Greece. Philip adalah seorang putera semenjak dilahirkan dan ia bukan sekadar gelaran yang dikurnia setelah mengahwini Ratu Elizabeth.
Setelah berlaku masalah politik di Greece, keluarga Putera Philip berpindah ke Perancis. Dia kemudiannya menyertai Tentera Laut Diraja British dan kerjaya ketenteraan sangat cemerlang.
Apabila mengahwini Puteri Elizabeth (sewaktu itu belum menjadi Ratu), Putera Philip mengugurkan semua gelarnya walaupun Denmark masih mengiktiraf Philip sebagai putera ataupun kerabat Denmark. Kemudian Putera Philip memilih nama akhiran Mountbatten iaitu nama keluarga datuk dari sebelah ibunya. Sempena perkahwinan itu juga Putera Philip telah digelarkan oleh Raja George VI (ayahanda Puteri Elizabeth) sebagai Duke of Edinburgh.
Mountbatten ini pun sebenarnya bukan calang-calang keluarga. Putera Philip sebenarnya mempunyai bapa saudara (pakcik) yang berstatus tinggi di United Kingdom iaitu Lord Louis Mountbatten. Beliau ialah Earl Mountbatten of Burma iaitu gelar kebangsawanan yang dicipta khas bagi mengenang jasanya semasa Perang Dunia Kedua kerana berjaya menawan semula Burma (Myanmar) dan Singapura daripada Jepun. Lord Mountbatten juga adalah wizurai (viceroy) ataupun wakil pemerintahan monarki yang terakhir di India.
Mungkin kerana status yang tinggi ini, Lord Mountbatten juga pada mulanya bersedih seperti Putera Philip apabila Ratu Elizabeth tidak mahu menggunakan nama Mountbatten sebagai nama akhiran.
Namun begitu takhta British atau United Kingdom (malah sebelumnya England juga) telah menyaksikan ramai ratu sebelumnya. Ini bermakna terdapat ramai juga prince consort sebelum Putera Philip. Mungkin kerana itu cara British menangani perkara ini adalah sedikit berbeza. Berbanding Denmark, Putera Henrik ialah prince consort yang pertama setelah sekian lama – ini kerana Ratu Margrethe II adalah Ratu Denmark yang kedua selepas 600 tahun.
Selepas bertakhta Ratu Elizabeth memberikan peranan penting terhadap Putera Philip kecuali hal-hal yang melibatkan parlimen dan yang tidak diizinkan oleh undang-undang. Malah semasa era pengakhiran Raja George VI (ketika baginda mula gering) lagi, Putera Philip telah diberikan tugas penting untuk menjadi ahli Majlis Penasihat (Privy Council) baginda. Secara lebih diplomasi dan kompromi Putera Philip ditampilkan sebagai Consort of the British Monarch berbanding Prince Consort.
Namun begitu semua suami ratu-ratu pemerintah – berbeza daripada isteri kepada seorang raja yang turut ditabalkan atau dimahkotakan di sisi suami – mereka tidak ditabalkan atau dimahkotakan. Hendak dikata mereka raja tanpa mahkota atau ‘permaisura’ pun tidak kena, kerana mereka kekal menjadi seorang putera.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Keystone-France / Gamma-Rapho / Getty Images
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.