Bendera Putih dan Pemimpin Jadong

Bendera Putih dan Pemimpin Jadong

…Allah, kelaparan adalah burung gagak, jutaan burung gagak bagai awan yang hitam, menghalang pandanganku ke syorga mu (WS Rendra, Doa orang lapar)

Syed Hussein Alatas, mungkin merupakan satu-satunya ilmuan di Malaysia yang banyak menyumbang kepada perkembangan kosa kata dan konsep dalam ilmu kemasyarakatan.  Konsep yang diilhamkan oleh beliau sangat rapat dan mudah menangkap imaginasi masyarakat, lantaran ia menyelidik isu harian yang dialami oleh rakyat.  

Di antara sumbangan beliau yang harus kita hargai dan hayati ialah pengenalan faham ‘jadong’ bagi menggambarkan seorang pemimpin atau ciri kepimpinan yang mempunyai kualiti yang terburuk dari kalangan terhodoh.  Faham jadong merupakan antara konsep yang dibahaskan oleh beliau dalam Syarahan Umum bertajuk ‘Cita Sempurna Warisan Sejarah’ di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jadong merupakan gabungan perkataan ‘jahat, bodoh dan sombong’.  Namun, ia bukan sekadar perkataan yang digabungkan menjadi satu (contohnya panggung wayang gambar menjadi pawagam), tetapi menampilkan ciri-ciri khas bagi menganalisis sifat haprak seseorang pemimpin, sama ada dalam lapangan politik sehingga ke bidang agama.

COVID 19 dan pemimpin jadong

Penularan Covid 19 sememangnya memberikan impak yang besar kepada tamadun manusia.  Ia bukan sahaja menyebabkan kelumpuhan ekonomi dunia, bahkan turut memberikan impak sosial kepada masyarakat.  Sebagai contoh, akibat kelembapan ekonomi, jutaan rakyat hilang sumber rezeki yang akhirnya menyumbang kepada peningkatan kes bunuh diri, keganasan domestik dan perceraian dalam negara.  

Tekanan yang dihadapi oleh rakyat bukanlah satu hal yang harus ditanggapi dengan sikap sambil lewa.  Pengangguran dan hutang yang semakin menimbun, akhirnya perjuangan meneruskan kelangsungan hidup menjadi matlamat utama berbanding mencari keselesaaan.

Baru-baru ini telah tercetus usaha di peringkat akar umbi untuk membantu sesama rakyat.  Diusulkan agar mereka yang memerlukan bantuan sama ada dalam konteks kewangan dan keperluan harian untuk mengibarkan bendera putih di halaman rumah masing-masing.  

Namun, inisiatif ini diperleceh oleh pemimpin yang dijangkiti kejadongan.  Pada pengamatan saya, kejadongan ini banyak menjangkiti pemimpin-pemimpin daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS).  Pemimpin pertama yang menampilkan ciri-ciri jadong ialah Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh.  Tanpa segan silu mahupun sikap kerendahan hati (humility), beliau memperleceh usaha ini dengan menyamakan ia dengan kekalahan.  Pada beliau, cukup sekadar berdoa jika ditimpa kesusahan.

Apakah logik orang yang lapar tidak digalakkan meminta bantuan, bahkan hanya bergantung harap kepada ‘divine intervention’.  Apakah beliau berfikir dengan hanya berdoa tanpa usaha, maka akan turunnya ‘maana dan salwa’ bagi mengisi perut rakyat yang berkeroncong?

Semiotik pengibaran bendera putih bukanlah bererti menerima kekalahan.  Ia bertujuan sebagai simbol meminta bantuan dan seterusnya menarik perhatian penduduk dalam kejiranan bahawa terdapat ahli masyarakat anda berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup.  Mentaliti kalah vs menang yang dipupuk menerusi sistem kaderisasi/indoktrinasi PAS nampaknya telah melahirkan pemimpin tanpa nurani.  

Kejadongan ini juga turut menjangkiti sebilangan pemimpin lain dalam PAS.  Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Mokhtar Senik misalnya mengatakan gerakan bendera putih bertujuan batil dan mahu menjatuhkan kerajaan.  Saya gagal melihat logik disebalik dakwaan ini, kerana PAS sendiri merupakan sebahagian mereka yang berkomplot mengulingkan kerajaan yang dipilih secara sah melalui pilihanraya.  Perangai takut dengan bayang-bayang sendiri ini menyebabkan usaha gerakan bendera putih seolah-olah ancaman kepada mereka.

Betapa parahnya kepimpinan PAS dijangkiti penyakit kejadongan ini terzahir daripada kenyataan angkuh Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor.  Pada hemat saya, beliau merupakan bukti nyata pemimpin jadong seperti yang dibahaskan oleh Syed Hussein Alatas.

Kejadongan Sanusi terserlah semenjak awal beliau mengambil alih pentadbiran negeri Kedah secara tidak demokratik.  Umum pasti mengingati peristiwa seorang wanita yang menelefon bagi memohon bantuan kerajaan negeri, tetapi digelakkan oleh Sanusi.  

Ya, para pembela Sanusi mengatakan bahawa beliau (Sanusi) geli hati kerana si pemanggil tidak menyedari bahawa beliau sedang bercakap dengan Menteri Besar.  Tidakkah ini merupakan suatu tindakan bodoh yang tidak kena situasi? Seorang rakyat yang sedang berhadapan kesukaran hidup memohon bantuan dan kemudian hanya disambut oleh gelak tawa seseorang yang seharusnya menjadi pembela mereka?

Kejadongan Sanusi semakin terserlah bila mana beliau dirakam melanggar perintah kawalan pergerakan dengan pergi ke Pulau Pinang semata-mata untuk pandu uji pacuan empat roda Ford Ranger Raptor.  Kritikan dan teguran rakyat marhaen hanya disambut dengan cakap-cakap bodoh (perasan cool) bahawa beliau hanya meminati kereta bukan janda atau gadis rewang.

Ketika keadaan rakyat semakin meruncing, sehingga ada yang tidak mampu mengisi perut keluarga, gerakan bendera putih yang dipacu akar umbi menyarankan mereka yang memerlukan bantuan untuk menaikkan bendera putih, Menteri Besar yang disampuk jembalang kejadongan ini tanpa segan silu dan penuh rasa bongkak mengatakan beliau tidak akan memberikan bantuan jika rakyat menaikkan bendera putih.

Sikap jahat, bodoh dan sombong yang berakar dalam sanubari Sanusi menyebabkan beliau gagal melihat munculnya gerakan bendera putih ini adalah refleksi keterdesakan hidup rakyat.  Peliknya, beliau melihat ia sebagai propaganda pihak pembangkang.

Pemimpin jadong tanpa nurani ramai berkelompok dalam PAS kerana kegagalan sistem pendidikan politik parti tersebut dalam menanam sikap kerendahan hati (humility).  Apa yang ditanam hanyalah perasaan kegelisahan budaya (cultural anxiety), bahawa Islam sentiasa diancam oleh bukan Islam (yang tidak semestinya memusuhi Islam).  

Lantaran itu, kebanyakan pemimpin yang dilahirkan melalui sistem kaderisasi PAS adalah pemimpin yang lengkap dengan karektor jahat,bodoh dan sombong!  Hal ini dapat diteliti berdasarkan gelagat menjengkelkan barisan kepimpinan parti itu sendiri.

Bendera Putih dan Sistem Kebajikan Negara

Kelaparan bukan sekadar ujian.  Ia berakar umbi atas kegagalan sistem kebajikan negara berfungsi dengan baik.  Sebagai contoh, isu kemiskinan jelas berakar umbi kepada pengagihan kekayaan negara yang tidak adil dan saksama.  Bantuan yang seharusnya dinikmati oleh rakyat tidak sampai kepada penerima yang berhak.  Dalam banyak hal, korupsi, nepotisme, karenah birokrasi dan sikap tidak peka pemimpin menyumbang kepada peningkatan kes kemiskinan dan keterdesakan hidup.

Namun, saya berasa hairan mengapa para pemimpin PAS melihat isu keterdesakan hidup dan kemiskinan sebatas konteks eksistential? Pada mereka, ini hanyalah ujian! Perkara yang sama juga berlaku bila seseorang mengalami kemurungan kerana hilang punca pekerjaan dan dibebani hutang, kelompok yang sama juga akan menggunakan hujah dangkal, kemurungan terjadi kerena kurangnya iman seseorang.

Ilmu kemasyarakatan menganjurkan setiap kes sosial perlu diselidiki untuk mencari punca masalah dan seterusnya menyarankan penyelesaian yang konkrit.  Jika setiap masalah yang menghinggapi masyarakat mampu diselesaikan dengan berserah kepada takdir, sudah lama konflik Palestin terselesaikan.

Doa adalah inisiatif yang bermotivasi dan penuh harapan, setelah berusaha.  Lantaran itu, usaha gerakan akar umbi bagi membantu rakyat seperti mengibarkan bendera putih tidak seharusnya dipandang enteng.  Sikap memperleceh usaha orang lain kerana kita sendiri tidak mahu membantu adalah sikap jengkel yang terbit daripada jahat, bodoh dan sombong.

Penyertaan PAS dalam kerajaan lewat langkah Sheraton menzahirkan hikmah yang tersembunyi (blessing in disguise).  Kini kita sudah mampu menilai bahawa mereka tidak layak untuk memimpin negara kerana dipenuhi oleh pimpinan jadong!

Rizal Hamdan merupakan pendukung konsep gastro-diplomacy. Beliau percaya memasak merupakan aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan silaturahim.

Foto: The Star

Share this Post: