Benarkah Grab Monopoli?

Benarkah Grab Monopoli?

Baru-baru ini saudara YB Wong Chen dan saudari YB Nurul Izzah Anwar menyatakan bahawa syarikat e-hailing Grab merupakan satu monopoli dalam pasaran dan perlu diberhentikan. Persoalannya, sejauh manakah Grab memonopoli pasaran dan adakah monopoli ini buruk? Benarkah pandangan YB-YB dari Parti Keadilan Rakyat atau adakah komen mereka ini taktik murahan untuk memenangi hati dan undian  para pemandu teksi?

Grab bermula pada tahun 2012 sebagai sebuah syarikat e-hailing atau rakan penghantar yang pada masa itu, mereka bersaing bersama syarikat gergasi dari Amerika Syarikat iaitu Uber. Ketika itu, kedua-dua buah pihak menawarkan harga yang sangat murah dengan pemberian diskaun yang kerap dan menurunkan harga asal. Tidak hairan juga bahawa mereka berdua merekodkan kerugian yang tinggi. Beberapa tahun kemudian, Uber telah menarik diri daripada pasaran Malaysia. Persaingan tamat kerana Uber tidak lagi mampu menampung kerugian yang dialami dan lebih baik untuk mereka bekerjasama. Grab telah mengambil alih operasi Uber dalam satu persetujuan dan operasi mereka juga telah bergabung. Uber juga diberikan pegangan saham dalam syarikat Grab atas persetujuan mereka. Di situ tamatnya persaingan antara Grab dan Uber.

Hari ini, Grab bukan sahaja menyediakan perkhidmatan penghantaran, malah banyak lagi. GrabFood merupakan perkhidmatan penghantaran makanan. Itu yang kita nampak abang rider dengan beg galas berwarna hijau di jalan raya. Perkhidmatan lain adalah GrabExpress, GrabMart dan GrabPay. Grab telah berkembang pesat yang bermula daripada rakan penghantar, hari ini, mereka mempunyai lebih 100,000 rider dan rakan penghantar.

Monopoli merupakan situasi di mana hanya terdapat sebuah syarikat yang mendominasi pasaran. Ini berlaku apabila terdapat halangan atau barriers to entry untuk memasuki satu-satu industri atau bisnes, seperti kos modal yang tinggi. Selain itu, apabila berlakunya diskriminasi harga terhadap pengguna di mana pengguna terpaksa membayar harga yang mahal untuk mendapatkan barang atau perkhidmatan yang diminta. Seperti contoh, penjual akan menaikkan harga jualan apabila mereka tahu pembeli amat memerlukan barang tersebut. Tiada barang pengganti dalam pasaran juga disifatkan sebagai monopoli.

Terdapat banyak monopoli di Malaysia yang mungkin ramai masih belum tahu. Tenaga Nasional Berhad merupakan sebuah syarikat monopoli. Ini kerana di bawah undang-undang Malaysia, tiada syarikat lain yang boleh menawarkan perkhidmatan pemberian elektrik. Orang ramai terpaksa membeli tenaga elektrik daripada TNB. Telekom Malaysia juga adalah syarikat yang memonopoli industri sistem rangkaian internet, tetapi hari ini dapat dilihat ada banyak pesaing Telekom. Walau bagaimanapun, mereka masih belum mencapai tahap yang besar seperti TM. Astro mendominasi bisnes atau sektor sistem penyiaran dan mereka sahaja yang berhak untuk menyediakan penyiaran kepada orang ramai. Sistem Touch N’ Go kerana pembayaran tol hari ini hanya menerima TNG. Ini antara syarikat monopoli di Malaysia yang kita sendiri tidak sedar. Kalau Grab patut berhenti memonopoli pasaran, kenapa syarikat-syarikat di atas bebas berkhidmat? Lagi-lagi apabila harga dan perkhidmatan yang mereka sediakan pada tahap yang kurang memuaskan.

Untuk setiap perkhidmatan yang Grab sediakan, terdapat pesaing bagi kesemua sektor. Dalam sektor penghantaran makanan, Grab perlu bersaing dengan Food Panda. Mereka berdua mendominasi 50% daripada pasaran. Walaupun dilihat sebagai monopoli, tetapi persaingan sengit membuktikan sebaliknya. Bagi perkhidmatan e-wallet pula, terdapat Fave Pay, Boost and TNG E-Wallet yang bersaing rapat dan menyediakan perkhidmatan yang sama. TNG E-Wallet dalam situasi ini boleh dikatakan sebagai monopoli yang paling jelas kerana ianya mendapat sokongan daripada kerajaan kerana pembayaran bil utiliti boleh dijelaskan melalui aplikasi TNG E-Wallet. Jadi kenapa YB Wong Chen dan YB Nurul Izzah hanya beri komen tentang Grab? Syarikat penerbangan kos rendah iaitu AirAsia juga menyatakan niat mereka untuk menyertai persaingan dengan Grab. AirAsia akan menyediakan perkhidmatan rakan penghantar dan hari ini airasia foods yang merupakan pesaing bagi GrabFood telah pun beroperasi sepenuhnya. Tidak tepat jika MP dari PKR menyatakan bahawa Grab adalah monopoli kerana Grab sendiri banyak dan ramai pesaing.

Grab memainkan peranan yang penting hari ini. Pada masa permulaannya, Grab menyelesaikan isu atau masalah yang dikenali sebagai The Last Mile Problem. Situasi ini berlaku apabila penumpang hendak ke stesen MRT atau LRT dari rumahnya tetapi terlalu jauh untuk berjalan. Bas awam juga tidak melalui kawasan tersebut. Untuk menyelesaikan masalah ini, penumpang akan menaiki Grab ke stesen MRT atau LRT yang berdekatan dengan rumahnya atau dari stesen MRT dan LRT ke destinasi akhir mereka. Dalam negara yang masih membangun dan berkembang, sistem pengangkutan kita masih tidak lengkap. Terdapat lagi kawasan yang belum lagi diliputi oleh perkhidmatan pengangkutan awam walaupun teksi. Disamping itu juga, sistem pengangkutan awam di Malaysia menghadapi pelbagai masalah yang agak kerap. Oleh sebab itu, ramai penumpang yang mengambil Grab kerana sudah pasti, Grab tidak akan lewat dan menghadapi kerosakan yang kerap. Dengan mengambil Grab juga, ia merupakan kemudahan yang orang ramai hargai kerana kurang masa menunggu dan akan dihantar di depan pintu destinasi. Kini, Datuk Lim tidak lagi perlu risau jika dia lambat untuk ke bermesyuarat di KLCC bersama Pak Khalid.

Ketika PKP dilaksanakan tahun lepas, orang ramai yang hilang kerja dan sumber pendapatan telah mendaftar untuk menjadi rider atau rakan penghantar bersama Grab. Oleh sebab proses pendaftaran yang mudah dan pembayaran yang lumayan, sudah pasti mereka yang layak akan menjadi rider. Agak jelas bahawa Grab bukanlah antagonis dalam situasi ini kerana mereka menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk Ali, Muthu dan Ah Hock, tanpa mengira pendapatan dan status. Harini, Grab mempunyai lebih 100,000 rider dan rakan penghantar. Bukan itu sahaja, peniaga-peniaga kecil di warung tepi jalan, pasar basah dan kedai runcit yang terjejas akibat PKP turut menerima bantuan dari Grab. Mereka ini diberikan peluang untuk meneruskan perniagaan mereka melalui Grab. Ada dalam kalangan mereka yang merekodkan keuntungan berlipat kali ganda ketika berniaga melalui Grab berbanding sebelum PKP, berniaga secara fizikal. Walaupun sumber pendapatan terjejas, Grab secara tidak langsung telah menyelamatkan kehidupan mereka.

Malaysia Digital Economy Corporation  atau MDEC telah bekerjasama dengan Grab untuk membawa lebih ramai peniaga-peniaga kecil ke platform Grab supaya mereka dapat menikmati akses kepada pelanggan yang lebih ramai tanpa menanggung kos yang tinggi. Ini akan memanfaatkan peniaga-peniaga di desa yang pelanggannya terhad kepada orang sekampung atau dari kampung sebelah. Dengan berniaga melalui Grab, Makcik Kiah kini akan menerima lebih ramai pelanggan.

Akhir sekali, perlu ingat bahawa syarikat Grab di Malaysia masih belum menjana keuntungan kerana masih terdapat banyak kos yang mereka perlu tanggung. Jadi apa motif untuk memberhentikan monopoli Grab jika mereka tidak menjana keuntungan yang tinggi? Tambahan pula, lebih banyak peluang pekerjaan yang telah disediakan dan kehidupan seharian orang ramai secara tidak langsung menjadi lebih mudah dengan adanya perkhidmatan Grab. Monopoli bukan selalunya teruk dan buruk untuk pasaran, ada kalanya kebaikan dan faedahnya berlipat kali ganda lebih baik berbanding kosnya. Janganlah bandingkan Grab dengan monopoli lain di luar sana, jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Azi Amir adalah seorang pelajar kolej yang meminati bidang ekonomi dan sering mengejar jawapan kepada banyak persoalan yang wujud di sekeliling beliau. 

Foto: AP

Share this Post: