Belanjawan Dahulu dan Kini

Belanjawan Dahulu dan Kini

Agak kecoh saya dengar beberapa hari ini berita tentang pembentangan dan perbahasan belanjawan 2021. Apabila parti pemerintah mempunyai kedudukan tipis di Dewan Rakyat maka pembentangan, perbahasan dan kelulusan belanjawan negara sudah pasti sengit dan hangat. Itulah yang berlaku pada Belanjawan 2021. 

Belanjawan yang kini sering disebut sebagai ‘bajet’ mempunyai nama rasminya iaitu Rang Undang-undang Perbekalan (2021). Belanjawan amat penting di dalam sistem Berparlimen ‘Westminster’. Ini kerana jika belanjawan tidak mendapat sokongan majoriti maka ia merupakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan pentadbiran pimpinannya.

Menambah sengitkan keadaan, belanjawan kali ini amat penting untuk negara bagi menghadapi kesukaran ekonomi dalam menempuhi pandemik Covid-19. 

Kepentingan Belanjawan

Saya tidak ingat secara tepat, namun hakikatnya sudah bertahun-tahun saya sering menonton pembentangan belanjawan mahupun mendengar di radio yang lazimnya dibentangkan pada hari Jumaat. Saya yakin ramai di antara kita berkongsi memori yang sama.

Ada orang kata belanjawan ini politik semata-mata. Ada orang kata belanjawan ini cara kerajaan nak tolong rakyat, jadi luluskan sahaja.

Namun begitu belanjawan ialah tatacara pengurusan wang awam oleh pentadbiran kerajaan yang perlu disemak imbang oleh Dewan Rakyat termasuklah pihak oposisi serta keseluruhan sistem berparlimen serta rakyat jelata. Kerana yang dibelanjakan itu adalah wang rakyat, dari rakyat untuk rakyat dan bukannya duit dari poket Menteri.

Belanjawan merupakan instrumen penting kerana ia merangka perbelanjaan seluruh jentera kerajaan secara terancang, mengagihkan sumber kekayaan negara seadil mungkin, memacu pertumbuhan KDNK serta ekonomi dan sebagainya.

Belanjawan Sulung Negara

Melalui pautan yang dapat saya rujuk belanjawan Malaya (kemudiannya Malaysia) mula dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Tun Tan Siew Sin yakni Menteri Kewangan kedua Persekutuan Malaya pada 25 November 1959 bagi Belanjawan 1960. Jika ada yang bertanya bahawa mengapa tiada belanjawan untuk tahun 1958 dan 1959 saya sendiri tidak pasti mengapa. 

Walhal tahun 1958 dan 1959 adalah amat penting kerana ianya adalah dua tahun pertama setelah negara mencapai kemerdekaan. Namun dapat kita teliti bahawa Malaya telah melalui tempoh darurat daripada tahun 1948 sehingga 1960. 

Mungkin kerana tempoh darurat tersebut maka belanjawan negara untuk dua tahun pertama selepas kemerdekaan tidak dibentangkan. Namun jika saya terkhilaf atau terlepas pandang, saya mohon maaf atas kekurangan pengetahuan saya dan sila perbetulkan.

Perbelanjaan Negara Zaman Silam

Pernah saya tertanya bahawa siapa yang mula-mula membentangkan belanjawan? Atau sejak bila sistem belanjawan ini diperkenalkan?

Sebagai seorang Melayu yang beragama Islam, semenjak di bangku sekolah lagi saya telah didedahkan dengan konsep Baitul Mal semasa pemerintahan Khalifah Islam. Baitul Mal ialah perbendaharaan awam yang secara asasnya wujud semenjak era Nabi Muhammad dan diperkukuh secara sistematik oleh Khalifah kedua iaitu Umar Al Khattab.

Semasa zaman Umar Al Khattab, Abdullah bin Arqam telah dilantik menjadi pegawai perbendaharaan dan dibantu oleh Abdul Rahman bin Auf dan Muiqib. Pernah dalam satu peristiwa terkenal Umar Al Khattab sebagai Khalifah sendiri telah disoal oleh rakyatnya iaitu Salman Al Farisi mengenai pembahagian pakaian. 

Salman mempersoalkan bagaimana Umar boleh mendapat dua bahagian kain untuk dibuatkan pakaian sedangkan rakyat yang lain cuma mendapat satu bahagian. Ini kerana Umar bertubuh besar dan satu bahagian kain tidak mencukupi untuk melitupi seluruh tubuhnya sedangkan pakaian yang sedang dipakainya adalah sempurna. 

Umar lalu memanggil anaknya Abdullah bin Umar untuk menerangkan situasi tersebut. Rupa-rupanya Abdullah bin Umar telah memberikan bahagian kain yang diperolehi olehnya kepada Umar yang juga adalah bapanya.

Jika dikenang kembali sejarah Kesultanan Melaka terdapat jawatan Penghulu Bendahari. Penghulu Bendahari merupakan salah seorang daripada Pembesar Berempat selain Bandahara, Temenggung dan Laksamana. Tugasan Penghulu Bendahari memiripi tugasan Menteri Kewangan masa kini dengan bertugas untuk menjaga khazanah dan harta kerajaan serta mengurus selia perbelanjaan dalam pentadbiran negara. 

Namun begitu sesuai dengan zaman tersebut pengurusan Baitul Mal dan perbendaharaan Kesultanan Melaka tidaklah serumit serta terperinci tatacara belanjawan, pengurusan kewangan dan dasar fiskal sebuah negara moden.

Belanjawan Moden

Sir Robert Walpole adalah orang pertama di dalam catatan sejarah yang mula-mula membentangkan belanjawan di Parlimen Britania Raya (Great Britain). Beliau menjawat jawatan ‘Chancellor of Exchequer’. Belanjawan tersebut dibentang kerana Robert Walpole cuba mendapatkan kembali keyakinan awam akibat peristiwa ‘South Sea Bubble’ pada tahun 1720.

Peristiwa ‘South Sea Bubble’ terjadi kerana kegagalan syarikat South Sea Company. South Sea Company ialah syarikat usahasama sektor awam dan swasta yang ditubuhkan bagi mengurangkan beban hutang negara. South Sea Company telah dianugerahkan pemonopolian oleh Kerajaan Britania Raya keatas perdagangan di Kawasan Laut-laut Selatan (Kawasan selatan dari Garisan Khatulistiwa) dan Amerika Selatan. 

Sedangkan pada hakikatnya pemonopolian di Kawasan Laut-laut Selatan dan Amerika Selatan tidak membawa prospek keuntungan yang jelas kerana kebanyakkan wilayah-wilayah tersebut dikuasai oleh Sepanyol dan bukannya Britania. 

Ini mengakibatkan nilai saham South Sea Company yang sebelumnya dinilai tinggi telah menjunam kepada harga sebutan awal lalu merugikan para pelabur dan merudumkan ekonomi. Setelah peristiwa inilah Sir Robert Walpole membentangkan belanjawan terperinci untuk kembali meraih keyakinan awam. 

Nampaknya skandal seperti ini telah lama terjadi dan pada hari ini masih lagi berlaku.

Selain menjawat jawatan ‘Chancellor of Exchequer’, Sir Robert Walpole juga secara de facto dianggap sebagai Perdana Menteri pertama Britania Raya. Sehingga sekarang Menteri Kewangan United Kingdom dikenali sebagai ‘Chancellor of Exchequer’ yang merupakan salah satu jawatan paling kanan di dalam kabinet selepas Perdana Menteri. Di Malaysia Menteri Kewangan juga dianggap antara watak paling penting di dalam Jemaah Menteri.  

Moga setiap belanjawan yang dibentangkan akan sentiasa mengambil kira setiap kepentingan negara dan rakyat. Saya akhiri tulisan ini dengan memetik kembali penutup Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Baginda Timbalan Yang DiPertuan Agong yakni Almarhum Tuanku Hisamuddin Alam Shah Alhaj semasa sesi Parlimen bertarikh 25 November 1959 yakni pada sesi yang sama Tun Tan Siew Sin membentangkan Belanjawan 1960:

“Ya Allah, berilah hidayat dan taufikmu kepada sekalian rakyat Persekutuan Tanah Melayu supaya mereka menjadi suatu bangsa negara yang tulen yang hidup makmur serta mulia disisi sekalian bangsa. Amin.”

Untuk apa sesuatu belanjawan jika negara dan rakyat tidak makmur dan mulia? Bukankah sememangnya begitu.

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto hiasan ihsan Telegraph

Share this Post: