Pandemik COVID-19 telah menyaksikan perubahan 360 darjah dalam landskap pendidikan Malaysia, khususnya.
Jika sebelum ini ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah, anak-anak mengikuti perhimpunan mingguan, belajar bersama guru di dalam kelas, rehat dan makan di kantin bersama kawan-kawan, mungkin juga didenda oleh guru kerana tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan, menunggu ibu bapa mengambil mereka di luar pintu pagar sekolah; hari ini jadi sebaliknya.
Hari ini, ibu bapa tidak perlu lagi bersusah payah menghantar anak-anak ke sekolah sebelum 7.45 pagi dan anak-anak juga tidak perlu bangun awal pagi, menyarung seragam dan bergegas ke sekolah sebelum pintu pagar ditutup. Anak-anak hanya perlu duduk di rumah dan menghadiri sesi persekolahan mereka secara atas talian.
Sesiapa yang mempunyai telefon pintar, gunakan telefon pintar. Sesiapa yang mempunyai komputer riba, gunakan komputer riba. Penggunaan komputer riba mungkin lebih memudahkan kerana paparan skrinnya lebih besar dan jelas untuk mengikuti proses pembelajaran atas talian berbanding dengan telefon pintar.
Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) siri pertama, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sesi pembelajaran di rumah bukan sahaja melibatkan anak-anak pra-sekolah, rendah dan menengah malah melibatkan anak-anak yang sedang mengikuti pengajian di kolej dan universiti. Semua golongan pelajar ini perlu melalui sesi pembelajaran secara atas talian di rumah. Duduk di rumah. Belajar di rumah. Belajar secara atas talian. Tapi, persoalannya bagaimana?
Bagaimana dengan keluarga yang tidak mampu menyediakan kemudahan telefon pintar kepada anak-anak mereka? Bagaimana dengan anak-anak dan guru-guru yang tiada akses kepada capaian internet? Bagaimana dengan anak-anak yang tinggal di luar bandar? Ini antara persoalan-persoalan yang timbul berikutan keputusan kerajaan untuk menutup semua sekolah di seluruh negara sehingga Januari 2021.
Arahan kerajaan jelas – tutup sekolah, tetapi tidak jelas tentang pelaksanaannya. Pelaksanaan proses pembelajaran secara atas talian itu tidak jelas. Guru-guru kelam-kabut. Ibu bapa buntu. Anak-anak terpinga-pinga.
Proses pembelajaran atas talian di rumah mungkin sesuatu yang baru dan sukar untuk semua terutama sekali pada waktu yang sukar seperti pandemik COVID-19 ini.
Sepanjang perintah pergerakaan dilaksanakan, guru-guru berusaha sehabis baik memastikan anak-anak didiknya mendapat akses kepada pendidikan, terutama sekali guru-guru di luar bandar dan pedalaman.
Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh guru-guru seperti menjadikan hentian bas sebagai 'kaunter pandu lalu', menaiki perahu selama tiga jam di Sungai Rajang yang banyak buaya untuk menghantar kerja sekolah, dan ada juga staf sekolah yang gigih meredah hujan dan banjir separas lutut. Semua usaha yang dilakukan ini adalah untuk memastikan pelajar-pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Usaha yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar juga bukan biasa-biasa. Bayangkan, pada tahun 2020, ada pelajar universiti di Sabah terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet semata-mata untuk menjawab peperiksaan atas talian. Bukan itu sahaja. Ada pelajar di Kelantan terpaksa berkhemah di atas bukit bertemankan lingkaran ubat nyamuk dan kipas angin di sisi demi mendapatkan capaian internet yang baik.
Ada juga pelajar di Sarawak ‘berkampung’ di hutan dan memasang kelambu demi mendapatkan capaian internet yang stabil untuk membuat pembentangan dan menjawab peperiksaan secara atas talian. Semangat menuntut ilmu yang ditunjukkan oleh para pelajar ini wajar kita contohi, tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh meromantiskan perkara ini. Akses internet merupakan satu keperluan penting dalam dunia pendidikan pada masa kini.
Selain daripada itu, inisiatif infrapendidikan ‘1 Keluarga 1 Laptop’ sejak 2019 yang dilakukan oleh Yang Berhormat Syed Saddiq, ahli Parlimen Muar kepada anak-anak Muar dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah juga harus dipuji. Komputer riba dilihat sebagai satu keperluan pendidikan kepada para pelajar untuk membantu mereka belajar dan ulangkaji pelajaran di rumah.
Terbaru, beliau telah membotakkan kepala secara langsung untuk tontonan umum selepas berjaya mencapai sasaran RM200,000 bagi membeli sebuah komputer riba kepada 100 orang pelajar di parlimen Muar dan akan diedarkan dari rumah ke rumah dalam masa terdekat.
Berikutan PKP fasa dua yang telah bermula pada 13 Januari, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Radzi Jidin telah membuat pengumuman penting antaranya, sesi persekolahan tahun 2021 tetap bermula pada 20 Januari walaupun PKP, PKPB dan PKPP dilaksanakan di seluruh Malaysia, pelajar yang menduduki peperiksaan awam di negeri-negeri PKP dibenarkan hadir ke sekolah, manakala pelajar-pelajar lain termasuk sekolah rendah, menengah, matrikulasi, institut pendidikan guru, institut pengajian tinggi akan menjalani pembelajaran secara atas talian dan (atau) bersemuka.
Pengumuman tersebut secara keseluruhannya mengarahkan para pelajar yang tidak terlibat dengan peperiksaan awam dan di negeri-negeri PKPB dan PKPP untuk terus belajar di rumah melalui atas talian, tetapi liputan internet di negara kita masih bermasalah. Masalah internet masih lagi menjadi masalah utama kepada pelajar-pelajar dan guru-guru dalam proses pembelajaran atas talian. Bukan hanya di kampung, bahkan kekangan internet masih lagi wujud di bandar-bandar utama.
Kita tidak boleh jangkakan bila COVID-19 ini akan berakhir. Justeru, kita perlu lakukan sesuatu perubahan dalam landskap pendidikan negara.
Pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian dan teknologi digital dalam bidang pendidikan perlu diperkemaskan, terutama dari segi capaian internet. Kerajaan perlu mengambil serius dalam menyelesaikan isu capaian internet ini bagi memastikan setiap pelajar, terutamanya, tidak mempunyai masalah dalam mendapat akses pembelajaran secara atas talian.
Capaian internet perlulah seiring dengan pembangunan pesat dan perkembangan teknologi semasa demi melahirkan anak-anak yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah cemerlang dalam sahsiah, adab, budi bahasa yang unggul serta pemikiran kritis dan kritikal.
Kuntum Muhammad menjadikan mengajar sebagai kerjaya. Gemar memasak, kadang-kadang menulis. Sedang belajar menggunakan TikTok demi anak-anak murid di akaun @kuntummuhammad
Foto ihsan YouTube Veveonah M.
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.