Belajar Dari Jepun Pasca Tsunami (Bhg 2)

Belajar Dari Jepun Pasca Tsunami (Bhg 2)

Dalam Bahagian 1, penulis telah menceritakan pengalaman beliau di Onagawa pasca tsunami dan bertemu dengan usahawan tempatan yang berkongsi mutiara kata berguna untuk teladan usahawan lain. Baca Bahagian 1 di sini

Seterusnya, kenal pasti minat dan kemahiran. Terdapat kajian yang menunjukkan, sumber idea perniagaan bermula daripada minat. Minat juga dilihat sebagai ruang untuk mencipta peluang. Sebagai contoh, terdapat usahawan yang dahulunya merupakan keluarga nelayan laut dalam bertukar ke bidang masakan dan mengusahakan restoran yang berasaskan hasil laut.

Tak kurang juga yang minat dalam pertukangan, mula melibatkan diri secara serius dalam bidang ini kerana terdapat permintaan yang meluas di kawasan Onagawa ini lebih-lebih dengan wujudnya kawasan penempatan baru. Begitu juga situasi kita di sini, pastinya ramai yang ada minat tertentu yang boleh menyumbang kepada masyarakat di samping menjadi usahawan.

Ada jiran saya yang mula berjinak-jinak dalam perniagaan menjual tanah hitam untuk pertanian dan juga menjual pokok-pokok buah-buahan dan juga pokok hiasan. Ini kerana, sewaktu PKP bermula beliau mulai berjinak-jinak menanam, dan kini bukan sahaja menjual hasil tanaman bahkan menjual produk-produk yang berkaitan dengan pertanian seperti baja, benih dan anak pokok.

Terakhir, saya sentiasa ingat pesanan usahawan Jepun ini agar memulakan perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu dan ia adalah lebih baik daripada tiada.

Selepas tragedi tsunami, ramai usahawan Jepun yang rugi sepenuhnya setelah semua yang dimiliki sebelum ini tidak dapat diselamatkan dan hanyut dibawa arus deras tsunami. Ada yang terpaksa mula dari bawah, tak kurang juga ada yang terpaksa bermula dengan modal paling minima. Sebab itulah usahawan tersebut sangat menggalakkan agar sentiasa berfikiran positif dan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan atau apa yang ada di tangan daripada tiada langsung.

Jika kita hanya menunggu bantuan dan sekadar sebagai pemerhati sahaja, kita tak akan ke mana-mana. Sebagai seorang usahawan, mereka bukan hanya dapat mengenal pasti peluang, malah yang paling penting merebut dan mengambil peluang yang ada. Percayalah, ramai usahawan yang berjaya dalam pernigaan hari ini, pernah jatuh dan kebanyakannya bermula daripada perniagaan kecil-kecilan.

Akhir kata, buat kita semua dan juga para usahawan yang baru bangkit semula setelah PKP dan masih trauma dengan Covid-19 ini, barangkali gambar papan sepanduk yang diletakkan di tempat kejadian tsunami ini boleh dijadikan penguat semangat dan motivasi kita bersama.

Slogan “Gambarou! Onagawa!” mudah kelihatan si sepanjang jalan kawasan ini. Teruskan berusaha! Jangan berputus asa! Teruskan perjuangan! Melalui slogan ini, masyarakat sekitar Onagawa memotivasikan diri mereka untuk bangun semula.

Malah usahawan-usahawan yang hilang punca rezeki dan tidak kurang juga hilang harta benda turut memulakan kehidupan dan perniagaan mereka semula. Pastinya ada hikmah di sebalik musibah yang melanda. Semoga kita semua menjadi orang yang lebih baik lagi asbab Covid-19 ini. Semoga kita semua berjaya! Salam usahawan!

Dr. Hj. Isma Addi Bin Jumbri merupakan pensyarah di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Mendapat pendidikan Diploma Perbankan dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pemasaran dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan graduan PhD dari Tohoku University, Jepun dalam bidang Environmental Studies (Economics). Bidang pengkhususan beliau adalah pengurusan perniagaan, keusahawanan, ekonomi, perniagaan dan kewangan.

Foto ihsan Dr Isma Addi

Share this Post: