Belajar Dari Jepun Pasca Tsunami (Bhg 1)

Belajar Dari Jepun Pasca Tsunami (Bhg 1)

Sewaktu berada di Jepun, saya mengikuti satu lawatan akademik anjuran Graduate School of Environmental Studies (GSES), Tohoku University ke Onagawa iaitu salah sebuah kawasan yang pernah ditimpa tsunami. Ia salah satu daripada program yang dianjurkan sebagai keperluan untuk subjek Persekitaran Ekonomi (Environmental Economic) pengajian PhD saya dalam mengkaji kesan tsunami terhadap ekonomi di kawasan tersebut.

Suasana dalam bas yang pada mulanya ceria, tiba-tiba terasa hiba apabila kami sampai di kawasan ini. Mana tidaknya, bas kami tiba-tiba berhenti di sebuah bangunan tiga tingkat yang rebah menyembah bumi. Bangunan tersebut dikatakan hanyut beberapa kilometer dari kawasan sebenar dek kerana arus deras tsunami yang berpatah balik ke laut.

Kawasan tersebut boleh digambarkan bak “padang jarak padang terkukur” kerana hampir keseluruhan rumah dan bangunan asal khususnya yang terletak berhampiran laut ‘hilang sekelip mata’ ditelan dan dihanyutkan arus tsunami yang dikatakan setinggi hampir 10 tingkat bangunan. Dikhabarkan ada yang berlindung di atas bangunan turut lemas dan dihanyut badai tsunami.  

Beribu nyawa terkorban, bahkan ada yang menjadi anak yatim kerana kehilangan ibu bapa, saudara-mara, sahabai-handai. Ada juga yang boleh diibaratkan tinggal “sehelai sepinggang” kerana habis rumah, simpanan, premis perniagaan mereka musnah dibawa arus. Mata kami mula berkaca, tak kurang yang bergelinangan air mata tatkala mendengar taklimat salah seorang usahawan yang bangkit semula selepas hilang segalanya.

Bukanlah mudah seperti dikatakan. Bak kata pepatah “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.” Dalam satu taklimat ringkas, saya sempat mengutip empat mutiara kata yang turut dikongsikan oleh salah seorang usahawan yang kami temui.

Walaupun situasi tsunami yang melanda Jepun ini sangat berbeza dengan Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia, saya tetap merasakan empat mutiara kata yang dikongsikan usahawan tersebut boleh dijadikan inspirasi buat kita semua, khususnya usahawan yang sedang bangkit semula selepas hampir tiga bulan menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga normal baru yang bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian bahkan turut memberi kesan kepada pendekatan berniaga.   

Pertamanya, tukar masalah kepada peluang. Sudah tentu sewaktu PKP dan kini kita berada di fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) perlu meneruskan kehidupan. Tatkala banyak premis perniagaan yang terpaksa ditutup, terdapat banyak juga peluang-peluang perniagaan lain yang telah wujud kesan daripada Covid-19 ini.

Misalnya, ada pelajar saya yang menjadi pengedar pelitup muka dan juga pensanitasi tangan terus dari China. Begitu juga usahawan di Onagawa ini, mereka mula fikirkan perniagaan baru di lokasi yang baharu.

Antara lain, nelayan yang trauma dan berniaga berhampiran laut sebelum ini, mulai mencari penempatan dan lokasi baharu yang agak tinggi dari paras laut untuk mereka terus berniaga selepas tragedi. Begitu juga bangunan tiga tingkat yang rebah menyembah bumi ini, dimaklumkan akan dibiarkan sebagai tanda peringatan buat warga di situ dan juga sebagai daya tarikan baru pelancong untuk melihat sejarah dan kesan tsunami.  

Kedua, usahawan Jepun juga turut diseru untuk belajar kemahiran baru seperti memasak, bertukang dan juga menjalankan perniagaan secara atas talian bagi meneruskan kehidupan mereka. Perkhidmatan penghantaran juga turut meningkat selepas kejadian tsunami ini kerana masih ramai yang trauma.

Sebagai contoh, banyak syarikat yang mulai belajar pendekatan baru berniaga seperti menggunakan internet dan turut menyediakan pembelian secara atas talian serta menawarkan perkhidmatan penghantaran ke rumah-rumah hasil dan produk perikanan mereka. Ini kerana, banyak penempatan baru yang disediakan kerajaan Jepun menempatkan mereka di kedudukan atau paras tinggi dari aras laut dan agak jauh daripada penempatan asal. Ini bagi memastikan perkara yang sama tidak akan berulang semula dan juga dapat mengurangkan angka korban nyawa sekiranya peristiwa tsunami ini berulang semula.  

Bersambung dalam Bahagian 2

 Dr. Hj. Isma Addi Bin Jumbri merupakan pensyarah di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Mendapat pendidikan Diploma Perbankan dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pemasaran dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan graduan PhD dari Tohoku University, Jepun dalam bidang Environmental Studies (Economics). Bidang pengkhususan beliau adalah pengurusan perniagaan, keusahawanan, ekonomi, perniagaan dan kewangan.

Foto ihsan Dr Isma Addi

Share this Post: