Suka andainya mukadimah kalam ini saya mulakan dengan mempersoalkan apakah Melayu? Siapakah Melayu? Dan bagaimanakah Melayu? Jika dirujuk kembali sejarah, terutamanya di akhir-akhir penjajahan bumi bertuah ini, beberapa pembesar Melayu di kepulauan ini percaya dan optimistik bahawa ‘Melayu atau kemelayuan’ mampu menjadi asas kukuh dalam organisasi politik. Cita-cita ini demikian pun ditempelak oleh penjajah sebagai sebuah cita-cita yang tidak realistik.
Berbalik kepada siapakah Melayu dan bagaimanakah Melayu, sememangnya akan jadi suatu perdebatan yang tidak akan habis dalam jangka masa yang singkat. Tetapi Melayu sejati bukanlah terletak pada batang sosok tubuh Melayu atau kepetahan bercakap Melayu. Tidak pun terletak pada rupa paras atau pemakaiannya.
Melayu itu datang dari sebuah ketinggian jiwa yang mendukung nilai dan semangat Melayu. Hal ini diterjemahkan oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz - seorang budiman yang memiliki rupa paras persis orang Inggeris, namun jiwa dan semangat kemelayuannya mengatasi insan-insan berparas Melayu totok (tulen) yang lain. Ungku Aziz adalah menifestasi kepada usaha mengangkat dan merealisasikan cita-cita pembesar bangsa Melayu terdahulu yang dibenam oleh penjajah.
Menurut Ungku Aziz dalam memahami apa itu Melayu, katanya, “Untuk menjadi Melayu unggul atau terbilang seseorang harus mempunyai prinsip dan hala tuju yang jelas seperti yang dinukilkan oleh Za’ba. Kalau ada keyakinan diri semua boleh tercapai.”.
Dengan meletakkan pendidikan sebagai asas pembangunan identiti dan bangsa Melayu khususnya, Ungku Aziz nukilkan lagi, bahawa “Pendidikan mampu membentuk jati diri Melayu. Orang Melayu harus didedahkan dengan tokoh-tokoh Melayu yang hebat dalam sejarah untuk membina jati diri”.
Dari situ, biar putih kulitnya, falsafah yang menunjangi dan mendasari kehidupan hidup beliau tetap adalah ‘Melayu’ dan tidak mustahil setiap sudut kehidupannya adalah untuk memperjuangkan bangsa Melayu, kerana beliau percaya bangsa Melayu adalah bangsa yang penuh dengan kehebatan dan kemahiran. Sayangnya, kemahiran dan kebijaksanaan pemikiran Melayu dikongkong oleh kehalusan penjajah yang mematikan semangat dan inovasi bangsa Melayu dengan tujuan melahirkan bangsa yang akur dan lemah.
Jika dikaji dan diteliti sejarah bangsa Melayu dalam karya agung Hikayat Raja-Raja Pasai, kita akan tertarik dengan rakaman pencapaian bangsa Melayu. Hikayat ini mencatatkan urusan ekonomi dan strategi orang Melayu pada masa itu dalam memerintah dan mendepani Majapahit. Amnya, hikayat ini juga memaparkan falsafah dan ketinggian ilmu pengetahuan dalam segala genap kehidupan peradaban bangsa Melayu seperti ilmu etika, sejarah, sosial, politik, dan metafizik dahulu kala.
Sejarah juga telah lama menyimpan kisah kehebatan dan keagungan bangsa Melayu yang pernah wujud pada zaman era kesultanan Melayu Melaka. Pemimpin-pemimpin Melayu terdahulu memiliki kebijaksanaan dan keperibadian yang mulia, seperti Sultan Alauddin Riayat Shah dan Bendahara Tun Perak yang sehingga menyamar dan mencemar duli menjadi rakyat biasa untuk turun ke kampung-kampung menyelesaikan permasalahan jenayah yang dihadapi oleh rakyatnya. Manakala Tun Bendahara pula, memiliki ketajaman minda semasa berperang menentang kerajaan Siam dengan menggunakan helah psikologi bagi menentang dan akhirnya menewaskan musuh.
Kesemua sejarah kehebatan Melayu terdahulu ini datang tidak lain kerana sifat mencintai ilmu bangsa Melayu dahulu. Sultan Alauddin Syah dan Bendahara Tun Perak antaranya adalah pemimpin yang rajin mengambil contoh dan iktibar daripada pengalaman dan kejayaan tokoh dan pemerintahan Islam di zaman Rasullulah yang ditelaah melalui pengajian dan salasilah bangsa.
Oleh itu jelas seperti yang dinyatakan oleh Ungku Aziz; jalan ilmu adalah jalan untuk melahirkan bangsa yang hebat dan unggul. Sesebuah bangsa itu harus memiliki ilmu dan memuliakan pendidikan; biar tinggi pencapaian bangsa, dan tidak hilang jati diri dan nilai bangsa ditelan pengaruh persekitaran.
Di era pertengahan tahun 1920-an hingga 1930-an, kebijaksanaan dan keagungan bangsa Melayu dilihat merudum. Sejarah memperlihatkan bagaimana dasar-dasar pemerintahan Inggeris membenamkan apa sahaja idea dan kebijaksanaan yang datang daripada orang Melayu; yang datang dari anak bangsa dianggap sebagai karya atau produk kelas kedua.
Inggeris menjadi empayar dunia kerana belajar dari sejarah. Ilmu sejarah menyedarkan mereka bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang punya sejarah hebat. Justeru itu, pihak penjajah tidak membenarkan pembangunan pendidikan bangsa Melayu, sebaliknya menyusun strategi untuk melemahkan dan mematikan identiti bangsa yang akhirnya memisahkan kehikmahan dan kebijaksanaan; menjadikan Melayu bangsa yang mundur, lemah, jumud dan pemalas.
Ungku Aziz adalah antara yang menelaah dan membaca strategi penjajah. Dengan kesedaran atas hakikat sebenar, beliau menjadi seorang yang memperjuangkan nasib bangsa, agar kegemilangan yang asal dapat dikembalikan.
Ungku Aziz tidak hanya bermain retorik, sekadar bertutur tanpa berbuat apa. Antara usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Ungku Aziz untuk membangunkan bangsa Melayu dan meletakkan kembali Melayu di jalan kebijaksanaan termasuklah menubuhkan Tabung Haji pada tahun 1962 untuk membantu ekonomi-ekonomi orang Melayu dalam jangka masa yang panjang. Beliau percaya, Tabung Haji sebagai institusi pelaburan mampu memberi pulangan untung kepada orang Melayu dan membantu mengurangkan beban dalam mengerjakan haji.
Bagi mengeluarkan Melayu dari kemiskinan, beliau mengasaskan juga Penubuhan Angkatan Koperasi Kebangsaan Melayu Berhad (ANGKASA) untuk menjaga kepentingan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.
Ungku Aziz juga antara orang yang merangka Dasar Ekonomi Baru 1970, antara lainnya mengkritik sistem meriktorasi yang tidak bersandarkan realiti pada masa itu. Beliau percaya, akan wujud ketidakadilan dan persaingan yang tidak sihat kepada orang Melayu kerana jurang antara miskin dan kaya di kawasan bandar dan luar bandar terlalu tinggi. Sistem meriktokrasi hanya membawa kepada ketidakyakinan orang Melayu dan terus-terusan akan berada di tahap yang mundur.
Perjuangan paling besar yang ditekankan oleh Ungku Aziz adalah pendidikan dan ilmu yang harus dimiliki oleh semua. Ini dilakukan dengan tertubuhnya Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Ungku Aziz berpendapat, biar pun ada sistem ekonomi yang boleh dijadikan pelindung kepada orang Melayu, pendidikan tetap adalah aspek yang paling penting. Hanya pendidikan dapat menyelesaikan pelbagai genap masalah seperti kemiskinan, masalah bangsa, sosial dan sebagainya. Dengan tertubuhnya institusi ilmu, ia mampu membudayakan pemikiran intelektual dan pemikiran warisan budaya dalam masyarat Melayu.
Melihat kepada kejayaan bangsa Melayu ada hari ini, percayalah ianya adalah hasil usaha dalam perjuangan Ungku Aziz memajukan bangsa Melayu. Moga dengan perjuangan dan kasih sayang yang mendalam Pak Ungku pada bangsa Melayu menjadi asbab kepada ketenangan Pak Ungku di alam sana. Selamat pulang ke negeri abadi bapa bangsaku Ungku Aziz. Al-Fatihah.
Nurfarhana Awang merupakan seorang pensyarah dan penyelidik yang berjiwa besar dalam dunia penyelidikan Sains Sosial yang berhasrat untuk menyumbang perubahan kepada sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat.
Foto hiasan ihsan NSTP
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.