Bangkit Anak Muda!

Bangkit Anak Muda!

Apabila membicarakan perihal aset negara, sudah pasti kita lazimnya tidak terlepas daripada membincangkan tentang produk keluaran dalam dan luar negara . Definisi aset dalam konteks masyarakat di Malaysia adalah sesuatu perkara yang merujuk kepada misalnya pertukaran saham, sumber asli, dan keluaran negara yang memberikan keuntungan wang ringgit kepada kerajaan dan ekonomi.

Namun begitu, masyarakat di Malaysia harus sedar bahawa anak muda juga merupakan aset yang sangat berharga kepada negara. Anak muda boleh dikategorikan sebagai aset yang penting kepada sesebuah negara kerana anak muda ini merupakan pemimpin yang akan mengemudikan negara ke arah yang lebih maju dan progresif baik sekarang mahupun masa hadapan. 

Bak kata aktivis dari India, Kailash Satyarthi yang mengatakan "Kekuatan pemuda adalah kekayaan bagi seluruh dunia. Wajah orang muda adalah wajah masa lalu, masa kini dan masa depan kita. Tidak ada bahagian lain dalam masyarakat yang dapat menandingi kekuatan, idealisme, entusiasme, dan keberanian anak muda". 

Anak muda lazim didefinisikan sebagai golongan yang berumur 18 - 35 tahun yang turut digelar sebagai golongan belia. Namun yang demikian, golongan anak muda ini seringkali dipandang enteng oleh sesetengah masyarakat, terutama generasi yang lebih terdahulu daripada mereka.

Stigma yang sering dilontarkan oleh golongan lama kepada anak muda selalunya termasuklah dengan mengatakan kalau golongan muda masih mentah dan tidak punya kredibiliti untuk menerajui pucuk pimpinan sesuatu organisasi apatah lagi kerajaan. 

Sebagai contoh, peristiwa yang berlaku ketika seorang ahli parlimen muda disindir oleh ahli parlimen veteran dengan panggilan "cucu" dan "budak". Ianya merendahkan kedudukan anak muda, namun kalau dinilai, mengikut peredaran zaman kini, anak muda inilah yang tergolong sebagai kelompok yang sangat progresif dan produktif baik dari segi politik, ekonomi, mahupun sosial.

Sedangkan, perubahan yang melibatkan golongan muda ini sangat jelas di mata dunia, misalnya apabila Sanna Marin yang berumur 35 tahun dilantik sebagai Perdana Menteri Finland sejak Disember 2019 lalu - merampas gelaran perdana menteri dunia yang termuda daripada Perdana Menteri New Zealand iaitu Jacinda Ardern. Ia fenomena yang dilihat positif di dunia luar, namun tidak di negara kita.

Kita juga sebenarnya sedang melalui fenomena yang sama. Perubahan sebegini terjelas dalam konteks masyarakat di Malaysia pada Pilihan Raya Umum 2018 yang lalu, selepas saudara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan saudara P. Prabakaran membuat kejutan dan mencatat sejarah setelah berhasil menjadi ahli parlimen termuda bawah lingkungan umur 30 tahun di Malaysia. Ini harusnya menjadi bukti bahawa anak muda sedang bangkit dan sedar bahawa mereka juga perlu melibatkan diri dalam pembangunan dan pembuatan dasar negara . 

Ini juga merupakan salah satu bukti bahawa anak muda bukanlah budak mentah yang seringkali dijadikan sebagai alasan oleh golongan veteran, dan turut membuktikan kebangkitan anak muda ini menunjukkan bahawa generasi baharu sudah bersedia untuk mengemudi negara ke arah yang lebih stabil dan progresif. 

Anak muda pada masa kini bukanlah anak muda yang seringkali diperkatakan oleh golongan veteran yang sedia ada. Tahap kesedaran dan kematangan anak muda dalam membuat keputusan semakin hari semakin rasional dalam pelbagai bidang yang diceburi oleh mereka. Anak muda semakin cakna dan peka dengan perkembangan sesuatu perkara yang berlaku sekeliling mereka . 

Anak muda pada masa kini juga mempunyai visi dan aspirasi yang tersendiri bagi memajukan diri, bangsa, dan negara mereka. Malah mereka juga adalah suara rakyat yang mewakili golongan akar umbi baharu.

Anak muda ini mewakili idea-idea yang baharu dan segar bagi mengatasi masalah yang dihadapi bukan hanya dalam kalangan golongan muda sendiri tetapi juga melibatkan yang dihadapi oleh golongan veteran serta seluruh rakyat amnya.

Wajarlah untuk anak muda diberikan peluang dan ruang untuk melibatkan diri mereka di dalam tampuk pimpinan sesebuah organisasi hatta kerajaan. Penglibatan anak muda di dalam tampuk pimpinan mampu memberikan perubahan yang besar dan tanda-tanda yang positif bagi mengekalkan kelangsungan sesebuah organisasi mengikut konteks peredaran zaman masa kini. 

Secara rumusannya, jelaslah bahawa anak muda pada masa kini lebih dari mampu untuk membawa perubahan dalam kompleksiti sesebuah kerajaan. Anak muda sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab kepimpinan dan membawa negara untuk melangkah ke arah yang lebih gemilang. 

Anak muda bagaikan berlian dan permata yang perlu digilap supaya lebih bersinar dan bercahaya. Semoga anak muda terus digilap dan diberikan peluang dan ruang bagi melibatkan diri dalam tampuk kepimpinan dan juga dalam bidang yang lain agar dapat dilihat dan menarik perhatian semua golongan masyarakat dan para pemimpin negara supaya nasib negara akan terjamin di masa yang akan datang.

#MalaysiakuBersaudara

Firdaus Anuar merupakan anak jati Pulau Pinang. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan isu sosial semasa dan aktivisma anak muda di Pulau Pinang. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #MalaysiakuBersaudara

Foto: Azneal Ishak / Malaysiakini

Share this Post: