I.
Penting sangatkah bahasa? Sebelum pergi jauh mahu menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama Asia Tenggara, baik kita kenali apa kekuatan dan kekurangan bahasa kita.
Hamka mengungkap bahawa kalimat Bahasa Arab lebih ‘demokratis’ berbanding Bahasa Indonesia. Beliau memisalkan ungkapan “Allah berfirman”, “Rasulullah bersabda”, “Raja bertitah” sedangkan dalam Bahasa Arab cuma perkataan ‘qala’ (berkata) yang digunakan.
Kita tahu bahawa Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu itu serumpun dan banyak persamaan. Persoalannya, mengapa wujud perkataan khusus bagi sesuatu yang dimuliakan seperti Tuhan, Nabi, Raja, Kerabat Diraja malah para pembesar? Apakah kerana perbezaan darjat atau kasta? Atau apakah kerana ketinggian budaya Melayu dalam nuansa bahasa?
Bahasa sangat penting kerana bahasa adalah perantara komunikasi buat manusia. Kata semboyan dan peribahasa – Bahasa Jiwa Bangsa dan Bahasa Menunjukkan Bangsa adalah amat tepat. Meminjam kata-kata filasuf Ludwig Wittgenstein “The limits of my language mean the limits of my world” menunjukkan bahasa adalah cara manusia dan sesuatu bangsa mengungkap dunia dan kebudayaannya.
II.
Kebudayaan sangat terkait dengan bahasa. Oleh itu, soal bahasa, persuratan dan kesusasteraan pernah menjadi pergeseran tajam hingga mencetuskan Debat Kebudayaan 1968 antara Lim Kit Siang yang mewakili DAP dan Syed Muhammad Naquib al-Attas yang mewakili Gerakan.
Perkataan budaya adalah jamak dari istilah budi (diperdebatkan). Maka budi pekerti juga tidak dapat dipisahkan daripada bahasa. Benar bahawa masyarakat Melayu sememangnya sangat halus budi pekerti seperti (sebahagian) ungkapan sajak Usman Awang:
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Namun kita tidak menolak bahawa masyarakat lain juga mempunyai kehalusan dan ketinggian budaya mereka yang tersendiri dan harus dihormati.
III.
Bahasa Melayu pada zaman dahulu dikembangkan oleh persuratan, kesusasteraan dan keintelektualan yang dinaungi istana. Karya-karya persuratan ini banyak berjasa mengembangkan agama Islam dan budaya Melayu. Mungkin kerana dinaungi istana, maka laras bahasanya menggunakan ‘bahasa halus’ atau ‘bahasa tinggi’ dan kemudian melahirkan ‘bahasa istana’. Bahasa halus inilah yang disamakan dengan ‘high culture’ ataupun ‘high art’ yang terkait dengan golongan diraja (royal), bangsawan (noble) dan golongan atasan.
‘Bahasa persuratan’ ini tentulah agak berbeza dengan bahasa rakyat marhaen. Malah sukar buat ramai rakyat ketika itu untuk membaca sendiri maha karya – maha karya Melayu atas faktor keterhadan naskah, kebutaan huruf dan sebagainya. Namun, mereka mendengar ianya dikisahkan oleh orang lain.
Secara tidak langsung ia juga seumpama mewujudkan perbezaan darjat – tidak kisahlah sama ada ia dikatakan kasta ataupun feudal. Namun feudal di Eropah pun tidak membezakan istilah dan penggunaan bahasa menurut darjat.
Saya tidak pasti bahasa apa selain Bahasa Melayu yang mempunyai istilah khusus menurut darjat. Membezakan darjat bukanlah ‘high culture’. Istilah wafat dalam bahasa Arab misalnya cenderung mengisyaratkan kematian yang baik bagi manusia tanpa mengira apakah dia seorang nabi mahupun manusia biasa.
Sedangkan istilah mati (maut) ialah istilah umum bagi kematian yang digunakan terhadap kehidupan lain seperti tumbuhan, binatang malah boleh digunakan buat manusia juga. Maka mati dan wafat adalah nuansa dan sinonim yang dapat difahami satunya ialah bersifat ‘bahasa kebiasaan’ dan satu lagi bersifat ‘bahasa halus’ tetapi tanpa mengira kedudukan dan darjat.
Cuma kita yang mengkhususkan istilah wafat cuma untuk para Nabi. Untuk Raja pula diistilahkan sebagai mangkat.
IV.
Bahasa berkembang, itulah sifatnya. Bahasa berkembang selaras dengan interaksi pengguna bahasa tersebut dengan dunianya seperti yang diperkatakan sebelum ini. Dari Beka Melayu bahasa berkembang lalu dipengaruhi oleh Sanskrit, Arab, Parsi, Portugis, Belanda, Inggeris, Cina, India dan banyak lagi. Inilah adalah antara faktor yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai ‘Lingua Franca’.
Jika dahulu persuratan Melayu bersifat eksklusif malah menjadi propaganda untuk menuntut kesetiaan rakyat jelata dengan menceritakan kemuliaan dan kesaktian raja mereka – pada satu juzuk ianya positif untuk membina empayar kerana mengangkat kekuatan pemerintah, namun pada masa yang sama ia menjadi alat penindasan – namun kini Bahasa Melayu semakin inklusif.
Persuratan Melayu tidak lagi dimonopoli oleh golongan istana dan bangsawan selaras dengan perkembangan ilmu dan kecelikan huruf para rakyat. Namun begitu pengaruh lama tetap wujud.
Kita akui kekayaan warisan Bahasa Melayu, namun kita juga tidak dapat menolak bahawa Bahasa Melayu kini juga ditunggang menjadi alat penindasan serta berkepentingan oleh golongan elit baru seperti para politisi, pemimpin malah oleh penunggang agama yang menyamar jadi ulama.
Saya menggemakan kembali persoalan Faisal Tehrani “Masalah Bahasa Melayu adalah kerana ada pengamal dan penuturnya yang jumud, dan kelak tidak boleh menerima penutur bahasa Melayu dari Jerman (katakan sebagai contoh) yang merujuk kata iman dengan faham Katolik”.
Kejumudan menjadi penghalang kepada sifat asal bahasa yang berkembang. Saya sendiri pada waktu dahulu begitu canggung mendengar bait puisi – “Maka apa terucap adalah sabda pandita ratu” – yang dibacakan oleh Cinta watak lakonan Dian Sastrowardoyo dalam filem “Ada Apa Dengan Cinta?” Bagaimana istilah ‘sabda’ yang khusus untuk Nabi boleh digunakan untuk pendeta? Seolah-olah kalimat itu telah dinoda.
Dalam contoh lain bagaimana istilah ‘maha’ yang khusus untuk Tuhan itu boleh digunakan juga buat seorang manusia yakni raja? Terasa begitu syirik sekali!
Walhal yang sebenarnya ‘Sabda’ pula adalah perkataan asal Sanskrit yang mudahnya boleh ditafsir sebagai ucapan atau bunyian ucapan. Kalimat ‘firman’ pula adalah perkataan Parsi yang bermaksud dekri atau perintah.
‘Maha’ juga adalah istilah Sanskrit yang bermaksud besar. Jika ‘akhbar’ bermaksud besar atau ‘great’ dalam bahasa Inggeris, maka mengapa perlu ditambah lagi perkataan ‘maha’ menjadi ‘maha besar’ bagi mentafsir perkataan ‘akhbar’?
V.
Orang Melayu dahulu atas jasa ulama, golongan istana dan pembesar silam mampu memahami agama Islam dengan menggunakan istilah-istilah Sanskrit yang dipengaruhi ajaran Hindu-Buddha seperti dosa (balasan atau catatan kejahatan), pahala (balasan kebaikan), puasa (Bahasa Arab = ‘siyam’), syurga, neraka dan sebagainya. Bagi kosa kata yang belum wujud, maka barulah istilah Arab telah diserap.
Bagi kemajuan intelek dan budaya juga, pengaruh istilah-istilah luar telah diserapkan ke dalam Bahasa Melayu bagi menampung keluasan perbendaharaan bahasa. Dalam kekastaan beberapa istilah, masih terserlah kemajuan yang besar.
Untuk berkembang lebih pesat lagi pada zaman moden yang serba mencabar ini, Bahasa Melayu perlu benar-benar bebas daripada tunggangan daripada kelompok-kelompok tertentu yang berkepentingan dan membuang segala kejumudan. Perkembangan Bahasa Melayu harus dilatari dengan menerima perbezaan pendapat dan wacana yang sihat.
Jika ini dapat dilakukan, pasti masa hadapan Bahasa Melayu akan lebih cerah. Kemudian barulah kita boleh berangan-angan supaya Bahasa Melayu menjadi bahasa utama di Asia Tenggara malahan di dunia. Saya tutup perbincangan ini dengan sebaris lagu nyanyian P. Ramlee, “Tiada kata secantik bahasa…”
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan
Foto: IMDb
Rujukan dan kredit:
- Buku “Membahas Kemusykilan Agama” - Hamka
- Buku “Sejarah Kesusastraan Melayu Klasik” – Liaw Yock Fang
- Makalah “Bahasa Boleh Hidup, Bahasa Juga Boleh Mati” – Sakinah Rosli, Lestari Hikmah
- Makalah “Penunggang Bahasa Melayu” – Faisal Tehrani, Free Malaysia Today
- Siri makalah “Ucapan Debat Kebudayaan 1968”, Roket Kini (Dipetik dari Buku Hak Untuk Berbeza Pendapat – Ooi Kee Beng)
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.