Bagaimana Sipadan – Ligitan Menjadi Milik Malaysia?

Bagaimana Sipadan – Ligitan Menjadi Milik Malaysia?

Dari segi sejarah sebenar, Malaysia dan Indonesia adalah serumpun – sebuah wilayah besar Nusantara yang berkongsi identiti budaya dan bahasa yang sama. Sejarah sebenar juga bersetuju bahawa Malaysia dan Indonesia terpisah angkara penjajahan lampau. Namun hari ini, kita tidak boleh mengelak dari realiti semasa iaitu Malaysia dan Indonesia adalah tetangga yang sering bertelingkah.

Dalam sejarah pasca kemerdekaan Malaysia dan Indonesia, pertelingkahan antara dua tetangga ini terjadi dalam pelbagai bentuk dan ruang. Kadangkala muncul secara saraf ala Perang Dingin Amerika – Russia, kadangkala dalam bentuk perebutan identiti budaya masyarakat termasuklah makanan, lagu, bahasa, pakaian, dan sebagainya. Namun antara pertelingkahan paling panjang dan serius yang pernah berlaku adalah krisis perebutan Pulau Sipadan – Ligitan.

Pada 21 Disember 1960, Malaysia telah menyertai Undang – undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS 1 – 1958), dan kemudiannya Akta Pelantar Benua pada 28 Julai 1966. Seterusnya, Malaysia mengisytiharkan keluasan wilayah perairannya daripada 3 batu nautika kepada 12 batu nautika pada 2 Ogos 1969. Perluasan wilayah perairan yang amat besar sekali.

Pada 21 Disember 1979, satu peta baru telah dikeluarkan dan menunjukkan sempadan perairan dan pelantar Benua Malaysia dan secara rasminya mengumumkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) pada 25 April 1980. Pengisytiharan peta baru itu mendapat reaksi tidak puas hati dalam kalangan negara jiran dan salah satunya adalah mengenai Pulau Sipadan-Ligitan oleh Indonesia.

Perebutan Pulau Sipadan – Ligitan oleh Indonesia

Pertikaian antara Malaysia dan Indonesia dalam perkara yang di atas boleh diimbas kembali sejauh 16 September 1963 apabila penyatuan Sabah, Sarawak, Singapura bersama Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia mendapat tentangan daripada Presiden Soekarno.

Dengan pembentukan itu, wilayah perairan Malaysia telah membesar dan mempunyai dua tanah kepulauan yang dipisahkan oleh Laut China Selatan, iaitu sempadan perairan baru, Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan pelantar benua yang telah menyebabkan berlaku pertindihan Kalimantan atas Pulau Borneo.

Bagi menyelesaikan masalah yang wujud ini, Malaysia dan Indonesia telah mengadakan beberapa perjumpaan untuk menggariskan sempadan pelantar benua (CSB). Bermula pada 9 September sehingga 22 September 1969, kedua – dua negara ini telah diikat dalam siri perundingan di Kuala Lumpur dan di dalam mesyuarat tersebut, kedua – dua kerajaan telah mencapai perjanjian yang penting berhubung dengan pembatasan CSB dan beberapa pertindihan tuntutan ke atas beberapa pulau di Selat Melaka seperti yang berlaku di Laut China Selatan, namun persetujuan gagal dicapai

Masalah perebutan ini berterusan dan telah dibincangkan semula semasa era Tun Hussein Onn dan Presiden Indonesia Orde Baru, Suharto dalam mesyuarat pada 26 Mac 1980. Perbincangan ini berpanjangan sehingga era Perdana Menteri ke empat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad, beberapa mesyuarat telah diadakan dengan Presiden Suharto iaitu sebanyak tiga kali dalam masa tiga tahun iaitu pada tahun 1992, 1993 dan 1994 namun masih tidak menemukan jalan penyelesaian.

Penubuhan Joint Working Group (JWG)

Pada Oktober 1991, Malaysia-Indonesia telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas baru bersama yang dikenali sebagai Joint Working Group (JWG) bertujuan untuk mengendalikan masalah pertikaian pulau tersebut. Jawatankuasa ini telah bersidang beberapa kali iaitu pada 6 Julai 1992, 26 – 27 Januari 1994 dan 8 September 1994 namun kesemua rundingan tersebut gagal mencapai objektif penubuhannya iaitu menyelesaikan pertikaian terhadap Pulau Sipadan – Ligitan.

Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai Penimbang Tara

Malaysia telah mencadangkan kepada Indonesia untuk membawa kes ini kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk diselesaikan namun cadangan itu ditolak oleh Indonesia dengan alasan Indonesia mempersoalkan pihak ketiga seperti ICJ tidak memahami masalah dan mereka tidak sesuai untuk membincangkan permasalahan ini.

Apabila Indonesia menolak cadangan itu, mereka mencadangkan supaya merujuk masalah ini kepada Majlis Tertinggi ASEAN kerana berpendapat bahawa negara – negara ASEAN memahami masalah yang berlaku dalam kalangan ahli – ahlinya. Majlis ini ialah satu badan ad - hoc yang mula memperkenalkan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama 1 pada 1976 (Treaty of Amity and Cooperation, TAC 1), ahli – ahli majlis adalah terdiri daripada perwakilan setiap tahap kementerian dari negara –negara ahli ASEAN dan mempunyai dua fungsi utama, iaitu melakukan perundingan langsung dengan menyelesaikan dengan cara baik iaitu mediasi, penyiasatan dan perdamaian, dan keduanya memperoleh perjanjian bertulis negara yang mempertikaikan.

Walau bagaimanapun ASEAN juga tidak mampu menyelesaikan masalah pertikaian yang berlaku ini apabila badan tersebut gagal mengendalikan kes ini dengan baik kerana gagal mencapai keputusan muktamad yang mampu memberhentikan pertikaian tersebut.

Dengan pilihan terakhir yang ada Malaysia telah menyarankan semula dengan tegas untuk membawa pertikaian ini kepada ICJ dan akhirnya pada Oktober 1996 Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Presiden Suharto bersetuju untuk menyelesaikan kes ini di ICJ.

ICJ merupakan satu badan kehakiman dalam Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mempunyai kuasa untuk mengadili pertikaian yang timbul dari interpretasi konflik yang berlaku.

Pada tarikh 2 November 1998, Indonesia dan Malaysia telah menghantar permohonan pengadilan kepada ICJ yang telah ditandatangani oleh kedua – dua negara pada 31 Mei 1997 di Kuala Lumpur. Oleh itu, selepas kedua – dua pihak bersetuju untuk membawa kes ini ke ICJ maka keputusan yang dibuat adalah muktamad dan tiada lagi pertikaian akan ditimbulkan.

Dalam tempoh masa empat tahun iaitu pada 17 Disember 2002, ICJ telah memutuskan bahawa Pulau Sipadan – Ligitan adalah milik Malaysia dengan memperoleh undi sebanyak 16 undian yang menyokong supaya pulau tersebut diberikan kepada Malaysia. Akhirnya keputusan diperoleh dan permasalahan telah selesai dengan rasminya. 

Keputusan oleh ICJ itu adalah berdasarkan kepada hujah-hujah mengenai asas keberkesanan yang telah ditunjukkan oleh Malaysia dalam urusan pembangunan yang telah dilakukan di pulau tersebut. Malaysia telah berperanan sebagai pemilik pulau tersebut dengan menjalankan tugas sebagai pemerintah dengan menetapkan kawalan dan peraturan mengenai aktiviti kutipan telur penyu dan wujudkan kawasan simpanan burung di Sipadan.

Dengan peranan-peranan tersebut, ICJ menyimpulkan bahawa kebertanggungjawaban Malaysia terhadap pulau tersebut mencukupi syarat sebagai pemilik.

Sehingga hari ini, topik pertikaian Sipadan - Ligitan ini masih terus menjadi topik yang kerap dibincangkan secara akademik dan politik terutama di Indonesia. Pertikaian ini masih lagi terus dijadikan salah satu asbab kepada pertembungan antara tetangga serantau ini. 

Mohammad Hazizi Bin Padzil adalah seorang penulis bebas kelahiran Kedah yang berhasil memegang dua gulung ijazah daripada Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sains Politik.

Foto hiasan ihsan UN News

Share this Post: