Bagaimana Hujan Batu Berlaku?

Bagaimana Hujan Batu Berlaku?

Malaysia mungkin tidak ada salji, sekurang-kurangnya untuk beberapa ribu tahun lagi. Iklim tropika sepanjang tahun atas faktor geografi kita yang terletak di garis khatulistiwa hanya memungkinkan kita untuk merasai ketulan salji apabila menikmati ais kepal atau cendol di Jalan Penang. Namun kita pasti pernah dengar atau melihat sendiri fenomena hujan batu, bukan?

Hujan batu secara ringkasnya adalah ketulan ais yang turun bersama hujan. Bagaimana ini boleh terjadi? Keajaiban apa yang berlaku di atas langit sana?

Secara saintifiknya, ketulan ais yang dipanggil hujan batu ini terbentuk di dalam awan kumulonimbus yang mencapai suhu sangat sejuk, atau juga dikenali sebagai awan ribut petir. Awan ini sangat tebal serta bersaiz besar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 65,000 kaki.

Semasa ribut petir berlaku, arus angin yang kuat (updraft) akan naik melalui awan-awan ini dengan membawa bersama titisan air ke lapisan atmosfera yang tinggi dan sangat sejuk. Secara hukumnya, titisan-titisan tersebut akan membeku. 

Fenomena ini samalah seperti apa yang berlaku ke atas cecair atau air di atas puncak tinggi. Pada lapisan atmosfera yang sangat tinggi, udara menjadi sangat sejuk sehingga mencapai paras bawah -40 °F, menjadikan semua air cecair akan membeku menjadi ais.

Namun ia tidak terhenti di situ. Saiz ketulan ais yang terbentuk ini semakin bertambah apabila semakin banyak titisan ais yang membeku bertembung sesama sendiri.

Ketulan ais ini akan turun sebagai hujan batu apabila arus angin ribut (updraft) tidak lagi mampu menahan berat ketulan ais yang terbentuk disebabkan oleh berat ketulan ais yang tinggi, arus angin yang semakin lemah, serta pengaruh tarikan graviti bumi. 

Saiz ketulan ais selalunya dianggarkan dengan membandingkannya dengan saiz objek seperti saiz guli, saiz kacang hijau, saiz buah anggur dan sebagainya. Malah ia boleh juga mencapai saiz bola golf.

Untuk rekod, saiz ketulan ais yang terbesar dalam fenomena hujan batu ditemui di South Dakota, Amerika Syarikat pada 23 Jun 2010 dengan diameter 8 inci. Hanya sedikit lebih kecil berbanding sebiji bola tampar. 

Hujan air batu tidak hanya terjadi di kawasan sub-tropika sahaja tetapi boleh juga terjadi di kawasan khatulistiwa, dan itu tentu sekali termasuk negara kita. Kali terakhir kejadian hujan batu dirakam berlaku di Malaysia hanya beberapa hari yang lalu iaitu pada penghujung Oktober 2020. Pada bulan Mei yang lepas, kejadian ini turut dilaporkan berlaku di beberapa lokasi sekitar negeri Perak seperti Ipoh dan kawasan sekitarnya.

Kebiasaannya, fenomena ini hanya berlaku setempat iaitu ketulan ais hanya jatuh sekitar kawasan di mana awan kumulonimbus berada. Jika anda berpeluang melihat sendiri fenomena ini, anggaplah diri anda bertuah. Jangan dimakan pula ais dari langit tersebut. Jangan juga cuba-cuba untuk berdiri di tengah-tengah hujan batu! - ALTERNATIF

Foto ihsan Mashable

Share this Post: