Keadaan yang menjadikan bakteria menjadi kebal terhadap antibiotik disebut dengan istilah saintifiknya iaitu rintangan antibiotik (antibiotic resistance).
Antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk membunuh atau merawat jangkitan bakteria yang menjadi punca pelbagai jenis penyakit.
Apabila berlakunya rintangan antibiotik, peranan antibiotik yang dicipta untuk membunuh bakteria tersebut tidak lagi berfungsi.
Rintangan antibiotik berlaku kerana pendedahan terhadap ubat antibiotik dalam tempoh yang panjang atau kerap. Ini menyebabkan bakteria berupaya beradaptasi dan menyesuaikan diri dengan berubah sifat bagi memastikan kemandirian spesies mereka.
Hasilnya, sesuatu antibiotik itu tidak lagi boleh membunuh atau memperlahankan pertumbuhan bakteria tertentu.
Strategi pertahanan bakteria ini dipanggil mekanisme rintangan. Bakteria mengembangkan mekanisme rintangan ini dengan menggunakan petunjuk yang diberikan oleh DNA.
Kebiasaannya, gen rintangan ini ditemui di dalam plasmid, bahagian kecil DNA yang membawa maklumat genetik dari satu bakteria ke satu bakteria yang lain.
Ini bermaksud, bakteria dapat berkongsi DNA dan menjadikan bakteria lain turut kebal terhadap antibiotik.
World Health Organization (WHO) menyatakan rintangan antibiotik merupakan ancaman terbesar terhadap kesihatan global, keselamatan makanan dan pembangunan hari ini.
Sementara itu, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, ketua pengarah WHO berkata “Rintangan bakteria adalah keadaan kecemasan global yang secara serius membahayakan kemajuan dalam perubatan moden”.
WHO melancarkan “Pelan Tindakan Global” iaitu 5 objektif yang digariskan dalam pelan tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang rintangan antimikrob, mengukuhkan pengetahuan melalui pengawasan dan penyelidikan, mengurangkan jangkitan, mengoptimumkan penggunaan agen antimikrob dan memastikan pelaburan yang mapan dalam menangani rintangan antimikrob.
Antara slogan yang dibawa dalam Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia dari tahun 2016 sehingga 2021 adalah “Antibiotik: Handle with Care”, “Seek Advice from a Qualified Health Care Professional Before Taking Antibiotics”, “Change Can’t Wait. Our Time with Antibiotics is Running Out”, “The Future of Antibiotics Depends On Us All” dan “United to Preserve Antimicrobials”.
Faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya rintangan bakteria ini adalah penggunaan antibiotik yang berlebihan serta pencegahan dan kawalan jangkitan yang lemah.Setiap individu berperanan dalam usaha mengurangkan masalah ini.
Sebagai seorang individu yang bertanggungjawab, anda hanya dibenarkan mengambil antibiotik dengan preskripsi ahli kesihatan profesional.
Jangan sesekali mendesak untuk mendapatkan antibiotik jika tiada keperluan dinyatakan oleh doktor. Elakkan berkongsi atau mengambil antibiotik yang telah digunakan.
Ingat, “Not all bugs need drugs”. Sesetengah gejala seperti demam, batuk atau selesema adalah disebabkan oleh virus, bukan bakteria. Pengambilan antibiotik dalam hal ini tidak diperlukan. Jika anda seorang doktor, elakkan memberi antibiotik kepada pesakit sewenang-wenangnya. Beri arahan pengambilan antibiotik dengan betul.
Sebagai contoh, pesakit perlu menghabiskan dos antibiotik yang diberikan dalam masa yang ditetapkan, jangan berkongsi antibiotik dengan individu lain serta tidak menggunakan antibiotik yang sama untuk jangkitan pada masa depan.
Doktor juga disarankan menasihati pesakit berkaitan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan jangkitan seperti mengamalkan tahap kebersihan diri yang optimum dan sebagainya.
Industri kesihatan dan pembangunan penyelidikan digalakkan meneruskan penyelidikan pesat dalam pembangunan antibiotik dan vaksin.
Kebanyakan syarikat farmaseutikal tidak lagi menjalankan penemuan antibiotik baru. Separuh daripada semua antibiotik yang digunakan hari ini ditemui pada tahun 1950-an.
Penemuan dan pembangunan antibiotik menjadi lebih kompleks, memakan masa dan mahal. Antibiotik baru yang diluluskan biasanya mempunyai tempoh rawatan yang singkat dan penggunaannya dihadkan untuk melambatkan penyebaran rintangan.
Ini mengehadkan keuntungan syarikat-syarikat di bawah bidang farmaseutikal.
Tanpa tindakan bersama dan segera pada skala global, dunia sedang menuju ke era sebelum wujudnya antibiotik iaitu jangkitan bakteria boleh membunuh.
Ini selari dengan slogan yang dikeluarkan WHO pada tahun 2011 bagi keadaan ancaman kesihatan ini iaitu, “No action today, no cure tomorrow”.
Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.
Rujukan:
https://www.cdc.gov/drugresistance/about/how-resistance-happens.html
https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/antibiotic-resistance
https://www.who.int/news/item/20-09-2017-the-world-is-running-out-of-antibiotics-who-report-confirms
https://www.who.int/world-health-day/2011/en/
Kredit foto: health.qld.gov.au
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.