Ayah, seorang lelaki dewasa yang sangat digeruni oleh anak-anak. Ayah juga merupakan kepala rumah tangga. Ayah merupakan seseorang yang sangat dihormati dalam seisi rumah.
Ayah tidak pernah mengeluh penat bekerja untuk menyara keluarga. Ayah tidak pernah bercerita tentang bagaimana harinya di kantor. Ayah tidak pernah menunjukkan kegelisahannya apabila ayah mengalami masalah kewangan ataupun apa-apa masalah.
Ayah sentiasa tampil tenang dan bersahaja. Kalau dapat digambarkan, kebanyakan ayah mempunyai kumis di wajah, kulit mukanya kusam, berminyak, tangannya berurat dan kasar, perutnya maju ke hadapan, berseluar dan berbaju lusuh dipadankan bersama selipar usang. Itulah imej yang kebiasaannya kita lihat pada seorang ayah.
Ayah sentiasa memastikan keluarganya mendapat sepasang baju baharu setiap kali raya tetapi bagi dirinya, dia sudah cukup berpuas hati apabila melihat senyuman yang terbit pada wajah anak-anak dan isterinya apabila mereka mendapat pakaian baharu. Ayah jarang sekali membeli apa-apa keperluan untuk dirinya. Ayah akan sentiasa menyediakan yang terbaik bagi keluarganya tanpa memikirkan dirinya.
Ayah jarang sekali meluahkan perasaannya. Ayah lebih banyak pendam dan diam daripada berkata-kata. Selalunya, ibu akan bersuara bagi pihak ayah.
Ayah akan menyampaikan mesejnya pada ibu, itu pun secara halus. Ayah jarang berterus-terang dengan anak-anaknya biarpun ayah terasa hati mahupun berbangga dengan pencapaian anak-anaknya. Dulu, masa kecil, ayah selalu meluangkan masa dengan anak-anaknya.
Ayah akan selalu mengendong dan mendukung anak-anak ayah. Masa berlalu. Anak-anak sudah didaftarkan ke sekolah. Ayah sentiasa akan menghantar dan mengambil anak-anak ayah dari sekolah.
Ayah tidak pernah memberikan wang saku. Tetapi, ayah akan sentiasa memastikan ibu menyediakan sesuatu sebagai bekalan anak-anak ayah di sekolah. Katanya, makanan yang dimasak ibu lebih selamat dan terjamin kebersihannya.
Pada masa itu, anak-anak ayah percaya akan kata-kata ayah. Anak-anak ayah sering diperli oleh rakan-rakan sebaya, tetapi mereka tetap tidak menghiraukan tohmahan rakan-rakan mereka. Anak-anak ayah tidak pernah menyusahkan sesiapa. Mereka tidak meminta-minta pada sesiapa kerana bagi mereka apa yang disediakan oleh kedua orang tua mereka adalah yang terbaik.
Apabila semakin dewasa, anak-anak ayah sudah jarang bersua muka. Mereka sibuk dengan kehidupan mereka, ayah masih meniti sisa-sisa baki kehidupannya. Ayah masih lagi seperti dulu, berkumis tebal, berselipar, seluar lusuh dan pakaiannya yang bertahun tidak bertukar.
Ayah marah, sedih, dia diam. Ayah penat, dia diam. Ayah rindu, dia diam. Begitulah ayah. Ayah jarang sekali meluahkan perasaannya. Kadang kala anak-anak ayah pernah juga memikirkan, ayah ini sebenarnya tidak kisah akan hal merekakah?
Rupanya, dalam diam, ayah sentiasa mengekori perkembangan hidup anak-anak ayah. Bagaimana? Dengan bertanyakan pada ibu. Setiap hari ayah akan bertanya khabar anak-anak pada ibu. Ayah akan bertanyakan pada ibu tentang hari anak-anaknya, kesihatan mereka, kewangan mereka. Rupanya, ayah amat menyayangi anak-anak tanpa mereka sedari. Yang anak-anak ayah tahu, ayah sentiasa menunjukkan wajah ketat dan kelatnya pada mereka.
Anak-anak dengan ego remaja mereka. Mereka tidak menghiraukan ayah. Yang mereka tahu, mereka cuma nakkan kebebasan dan kegembiraan. Tanpa berfikir panjang, semakin hari perasaan dan hati ayah telah mereka lukai. Tanpa sedar, ayah semakin berjauh hati. Ayah pendam perasaan terluka, sedih dan kecewa jauh di sudut hati tuanya.
Ayah, lambat laun anak-anak ayah akan sedari kesalahan dan keegoan diri mereka tapi mereka takut sama ada masih ada lagikah ruang di dalam hati ayah untuk menerima kembali anak-anakmu ini? Masih ada ruangkah di dalam hati ayah untuk mengampuni dosa-dosa anak-anakmu ini? Masih ada ruangkah dalam kehidupan ayah untuk menerima kembali anak-anakmu ini?
Ayah, anak-anak ayah mohon ampun. Maafkan anak-anak ayah ini di atas kekhilafan diri mereka. Mereka hanyut dibuai kesibukan kota. Mereka hanyut dibuai keseronokan desa. Mereka lupa akan dirimu yang kian lama kian meniti usia akhirmu. Andai dapat anak-anak ayah ungkapkan pada ayah, ingin sekali mereka mencium pipi tuamu, menyalami tangan kasarmu. Tulang tua yang dibanting sepanjang kehidupan untuk memberi anak-anak ayah kehidupan yang selesa.
Anak-anak ayah menyesal. Sekarang baru mereka sedar betapa besarnya pengorbanan seorang ayah dalam kehidupan mereka. Tanpa ayah, mereka tidak mungkin akan berjaya seperti sekarang. Tanpa ayah, mereka tidak mungkin bijak seperti sekarang. Tanpa ayah, mereka tidak mungkin sama sekali berada di tempat mereka sekarang. Hasil keringat ayah membanting tulang siang malam bagi menjamin kesihatan dan pelajaran anak-anak terjamin tidak dapat anak-anak ayah membalasnya walau dengan segunung emas.
Ayah, terima kasih atas segala pengorbanan yang telah kau lakukan tanpa mengeluh penat dan lelah. Selamat Hari Bapa buat semua lelaki yang bergelar ayah, terutama sekali Ayah.
Nursyazana Khidir Neoh adalah seorang graduan bidang perhutanan dari Universiti Malaysia Sabah. Kini bertugas sebagai Pembantu Pentadbiran di Penang Institute. Beliau juga aktif menulis artikel di Penang Monthly.
Foto kredit: my.theasianparent.com
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.