Pengumuman pembentukan kerjasama tiga hala pertahanan antara Amerika Syarikat, Britain dan Australia (AUKUS) pada bulan September lalu telah mencetuskan polemik dikalangan komuniti antarabangsa khususnya negara anggota ASEAN.
Reaksi bercampur baur dapat dilihat dikalangan anggota ASEAN. Indonesia merupakan negara terawal menyatakan sikap kurang senang dengan pembentukan kerjasama tersebut. Pada sisi yang lain, Malaysia turut menyatakan kebimbangan ia akan mencetuskan konflik dikalangan negara kuasa besar khususnya dikawasan pertikaian seperti di Laut China Selatan.
Singapura dan Vietnam pula mengambil sikap mengalu-alukan pembentukan kerjasama ini berdasarkan garis keselamatan serantau. Kunjungan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris pada 22hb sehingga 26hb Ogos yang lalu, berkemungkinan besar menjelaskan tentang pembentukan inisiatif pertahanan ini kepada pemimpin kedua-dua negara tersebut.
Dalam usaha menerangkan dengan lebih jelas mengenai pembentukan AUKUS kepada orang ramai di Malaysia, Duta Besar Amerika Syarikat, Britain dan Australia telah menyiarkan kenyataan bersama di akhbar tempatan.
Berdasarkan kenyataan bersama ini, pembentukan inisiatif pertahanan ini bertujuan untuk menggalakan kerjasama teknologi strategik seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan dan teknologi kuantum. Ia sama sekali tidak bermaksud untuk mencetuskan ketidakstabilan di rantau Asia Tenggara.
Pada dasarnya kerjasama pertahanan dan keselamatan bukanlah suatu yang asing bagi negara-negara di rantau Asia Tenggara. Pengalaman berhadapan dengan konflik serantau menyebabkan kebanyakan negara di Asia Tenggara terlibat dalam perjanjian kerjasama pertahanan. Sebagai contoh, Malaysia sendiri merupakan ahli kerjasama Five Power Defence Arrangements (FPDA) bersama-sama Australia, Britain, New Zealand dan Singapura.
Pada sisi lain, Filipina telah memetrai perjanjian pertahanan dengan Amerika Syarikat sejak tahun 1951 dan merupakan antara kerjasama pertahanan dan keselamatan antara dua buah negara, yang paling lama bertahan selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.
Dalam konteks negara bangsa moden, kerjasama pertahanan dan keselamatan sama ada daripada sudut dua hala atau pelbagai hala merupakan suatu yang tidak harus dijadikan isu sama sekali.
Geopolitik Indo-Pasifik
Walaupun penubuhan AUKUS dikatakan berfungsi bagi kerjasama keselamatan tiga negara dan memperkukuh kemampuan pertahanan Australia, pada hakikatnya ia dibentuk khusus bagi mengimbangi pengaruh China di Indo-Pasifik. Bagi memahami logik pembentukan AUKUS, para pembaca haruslah memahami dasar luar Amerika Syarikat dan pola perubahannya dalam sistem antarabangsa.
Era pentadbiran Joe Biden menyaksikan dasar luar Amerika Syarikat telah berubah dengan memberikan tumpuan kepada kawasan Indo-Pasifik berbanding rantau Timur Tengah. Perubahan ini dilakukan kerana China berpotensi menyaingi hegemoni Amerika Syarikat melebihi apa yang pernah dilakukan oleh bekas Kesatuan Soviet.
Komunisme dengan roh kapitalisme yang dibawa oleh China melonjakkan negara tersebut sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dunia. Bersandarkan ekonomi yang mapan dan persenjataan yang canggih, sudah pastilah China muncul sebagai ancaman kepada Amerika Syarikat.
Pada tahun 2013, China melancarkan gagasan ‘Belt and Road Initiatives (BRI) atau sebelum ini dikenali sebagai One Belt One Road (OBOR). Gagasan BRI ditubuhkan sebagai strategi pembangunan infrastruktur global yang didanai oleh China.
Susulan pengistiharan BRI, China turut mengambil langkah menubuhkan sebuah bank pembangunan pelbagai hala (Multilateral Investment Bank) yang berfungsi mendanai projek pembangunan di bawah gagasan BRI.
Sehingga kini, Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) mempunyai keahlian sebanyak 103 negara dan menjadikan ia bank pembangunan terbesar seiring dengan Asian Development Bank (ADB) dan Bank Dunia (World Bank). Sebagai reaksi kepada kejayaan BRI, kumpulan negara-negara maju (G7) pada bulan June 2021 melancarkan penubuhan inisiatif yang dinamakan Build Back Better World (B3W).
Rentetan daripada perkara-perkata yang disebutkan atas, maka tidak hairanlah rantau Indo-Pasifik dalam beberapa dekad mendatang bakal menjadi pentas persaingan kuasa besar dunia.
ASEAN, Militerisasi dan Tradisi Berkecuali
Pembentukan AUKUS sebenarnya melebihi usaha kerjasama pertahanan seperti mana perikatan ketenteraan yang lain. Satu hal yang jelas, pembentukan AUKUS merupakan strategi deterrence bagi mengimbangi inisiatif China dalam mempercepatkan proses mengembangkan teknologi nuklear.
Prospek Australia memperolehi armada kapal selam yang dijana tenaga nuklear menyebabkan ramai pihak menjangkakan ia akan mencetuskan perlumbaan senjata diantara kuasa besar di kawasan Indo-Pasifik.
Perkara yang membimbangkan jika terjadinya perlumbaan persenjataan kalangan kuasa besar, ia akan memicu proses militerisasi di kalangan negara-negara ASEAN. Hal ini terjadi berikutan rasa keterancaman (threat perception) yang dihadapi apabila melihat negara jiran mula membangunkan keupayaan ketenteraan masing-masing.
Sebagai contoh, tindakan China meningkatkan aktiviti ketenteraan di Laut China Selatan, menyebabkan Vietnam melipat gandakan usaha membangun pertahanan negara. Di antara tahun 2011-2015, menyaksikan peningkatan import senjata oleh Vietnam sebanyak 8 kali ganda. Tindakan Vietnam ini juga dituruti oleh negara jiran lain seperti Singapura, Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Laporan berita ketenteraan menyatakan, syarikat pertahanan Israel, Raphael Advanced Defense System, baru-baru ini telah dianugerahkan kontrak sebanyak USD 80 Juta untuk membekalkan sistem peperangan laut (Naval warfare system) kepada sebuah negara yang tidak dinamakan di Asia Tenggara. Hal ini semestinya bakal memicu proses militerisasi dikalangan negara ASEAN yang lain dan akhirnya akan mengakibatkan keseimbangan ketenteraan (military balance) di rantau ini goyah.
Sejak pengumuman pembentukan AUKUS, Malaysia telah mengambil langkah berhati-hati dengan tidak mengeluarkan kenyataan sensitif menyebelahi mana-mana pihak. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri Yaakop selaras dengan prinsip berkecuali (neutrality) dengan meniti atas premis Zon of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN). Selain itu, beliau turut menyatakan kebimbangan kerjasama baru ini akan memicu pertembungan negara-negara kuasa besar khususnya di Laut China Selatan.
Sebagai sebuah negara yang kecil, peluang Malaysia untuk mengelakkan situasi ‘gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah’, maka pimpinan negara haruslah bijak dalam menggunakan sepenuhnya saluran diplomasi pelbagai hala (multilateral diplomacy) seperti di pentas ASEAN dan PBB. Selain itu, kerjasama pelbagai hala (multilateral cooperation) juga memainkan peranan besar dalam memastikan negara kita tidak terperangkap dalam pertelingkahan kuasa besar.
Pada 12 Oktober, Ketika menjawap soalan di Parlimen, Menteri Kanan Pertahanan, Hishamuddin Hussein memberikan jaminan, isu AUKUS akan dibincangkan diperingkat mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN di bulan November ini. Pandangan oleh negara-negara jiran ASEAN amat diperlukan bagi merangka langkah kearah kemakmuran bersama.
Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia sudah semestinya mahu meneruskan kerjasama ekonomi yang gencar dengan China dan dalam masa yang sama mengekalkan hubungan diplomatik yang harmoni dengan negara seperti AS, Britain dan Australia. Seperti seekor kancil, kita harus bijak dalam melakukan ‘manoeuvre’ di dunia yang dipenuhi pemangsa.
Pada akhirnya, Malaysia haruslah mempertahankan tradisi berkecuali yang menjadi asas kepada dasar luar negara dalam hubungan antarabangsa sejak sekian lama.
Rizal Hamdan merupakan pendukung konsep gastro-diplomacy. Beliau percaya memasak merupakan aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan silaturahim.
Foto: Peter Parks / AFP
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.