Atlet Terhebat Sepanjang Zaman

Atlet Terhebat Sepanjang Zaman

Selain daripada badminton, berbasikal dan sepak takraw, sukan skuasy juga adalah sukan pilihan yang kuat didominasi oleh Malaysia. Tumpuan semestinya akan terarah kepada ratu skuasy negara, Nicol Ann David. Beliau merupakan pemain Malaysia dan Asia pertama yang menjadi pemain skuasy nombor satu dunia sejak 2006, dengan turut memegang rekod kejuaraan paling lama iaitu 108 bulan. Menjadi inspirasi buat ramai peminat skuasy dan sukan di luar sana, Nicol Ann David akhirnya baru-baru ini dinobatkan sebagai Atlet Terhebat Sepanjang Zaman oleh World Games.

Peribadinya, Nicol David yang kini berusia 37 tahun dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang. Beliau terlibat secara profesional dalam sukan skuasy bermula tahun 2000 apabila julung kali memenangi kejuaraan Womens International Squash Players Association (WISPA).

Nicol David telah menceburi bidang sukan skuasy seawal usia lima tahun dan kali pertama mendapat bimbingan jurulatih Ee Phoeh Hoon ketika berusia lapan tahun. Beliau mula mewakili negeri Pulau Pinang dalam Kejohanan Skuasy Junior Pulau Pinang pada tahun 1992. Pada tahun 1994 pula, beliau dipilih untuk menyertai pasukan skuasy negeri Pulau Pinang untuk temasya Sukan Malaysia. Pada tahun itulah, beliau meraih gelaran antarabangsa pertamanya di Hong Kong U-13 dan Terbuka Junior Scotland U-12.

Kejuaraan remajanya bermula apabila menjadi juara Kejohanan Skuasy Junior Sedunia Wanita pada tahun 1999 di Antwerp, Belgium. Pada ketika itu beliau baru berusia 15 tahun, menjadikannya pemain wanita termuda memenangi gelaran tersebut. Pada tahun 2005, wirawati yang berasal dari negeri Pulau Pinang ini pada ketika berusia 21 tahun telah memenangi kejuaraan dunia yang pertama buatnya di Jerman. Kejuaraan itu menjadikan beliau sebagai pemain termuda di dunia yang berjaya bergelar juara. Selain itu, pada tahun itu juga beliau berjaya memenangi kejuaraan Skuasy Terbuka Malaysia, Skuasy Terbuka British dan Kejohanan Skuasy Wanita Dunia.

Tahun berikutnya, 2006, Nicol Ann David telah dinobatkan sebagai pemain skuasy wanita di ranking pertama dunia pada usia 23 tahun. Beliau menjadi pemain Malaysia dan Asia pertama yang pernah meraih status itu, menjadikan pemain kedua belas yang memegang gelaran unggul tersebut sejak sistem ranking skuasy diperkenalkan pada tahun 1983. Walau bagaimanapun, beliau pernah jatuh ke tangga kedua dunia selama sembilan bulan selepas kalah dua kali berturut-turut kepada Vanessa Atkinson.

Reputasi beliau menjadikan beliau sebagai atlet pilihan untuk ditaja oleh syarikat seperti Hotel Equatorial, Dunlop Sport, Head, dan Mulpha Sport. Bukan hanya lincah di atas gelanggang, dari segi akademik, beliau memiliki kelulusan ijazah Doktor Kehormat Sains Sukan daripada Universiti Sains Malaysia (USM).

Nicol Ann David membuktikan bahawa beliau merupakan atlet wanita Malaysia yang paling berjaya dalam sejarah sukan Malaysia. Kejayaannya menguasai Anugerah Olahragawati Kebangsaan sebanyak 10 kali sejak tahun 1999 sehingga tahun 2014, dengan turut memenanginya sebanyak 6 kali berturut-turut pada tahun 2005, 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010 menjadikan beliau muncul sebagai atlet negara yang paling banyak memenangi anugerah tersebut.

Berdasarkan catatan pertandingan jelajah WISPA, Nicol Ann David telah dirakam memenangi kejohanan sebanyak 52 kali, bermula dengan kejohanan Terbuka Finland dan diakhiri dengan Cayman Islands Open pada 9 April 2011. Lawannya Natalie Grinham, Rachael Grinham, dan Jenny Duncalf menjadi pesaing utama di setiap kejohanan dunia. Rekod kemenangannya selama 14 bulan berturut-turut akhirnya ditamatkan apabila beliau kalah kepada Laura Massaro dari England di Cleveland Classic, Amerika Syarikat.

Setelah hampir 20 tahun mencurah bakti kepada negara dalam sukan skuasy di peringkat antarabangsa, tahun 2019 merupakan tahun terakhir beliau beraksi sebelum membuat keputusan untuk menggantung raket. Faktor usia memaksa beliau berundur daripada sukan ini, dan seterusnya membuka peluang kepada bakat-bakat muda di seluruh dunia untuk lebih menyinar. Pemain yang dikenali dengan nama panggilan Duracell Bunny kerana kelincahan dan berfizikal kecil ini sentiasa menjadi ikon sukan di seluruh dunia hingga ke hari ini.

Kejayaan demi kejayaan yang diperoleh beliau dalam mengharumkan nama negara, anak kacukan India-Cina ini diberi peluang untuk membuat pilihan bagi mendapat bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN). Walaupun sukan skuasy tidak dipertandingkan dalam sukan Olimpik yang menghalangnya daripada mendapat pencen, Kementerian Belia dan Sukan bakal memberikan imbuhan dan insentif mengikut permintaannya sendiri.

Mengikut perancangannya, beliau berhasrat untuk membangunkan sukan ini di peringkat kebangsaan dan tempatan dengan memperjuang dan memperkasakan wanita dan remaja dalam sukan skuasy melalui Yayasan Nicol David. Program ini menekankan sesi motivasi, forum, penulisan dan lain-lain yang menggalakkan lebih ramai wanita terbabit dalam sukan skuasy khususnya. Yayasan Nicol David telah ini mendapat perhatian dan sokongan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mengembangkan lagi jelajah ini secara holistik.

Status sebagai pemain yang telah bersara tidak menghalang Nicol David untuk kembali ke gelanggang semula. Beberapa bulan selepas mengumumkan persaraannya, beliau muncul semula di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil pada Disember 2019 dan bermain dengan dua orang pemain muda yang turut disaksikan oleh seramai 133 pemain junior tempatan. Perlawanan pertunjukan itu merupakan sebahagian daripada usaha beliau menjadikan Malaysia sebagai satu hub sukan skuasy pada masa hadapan.

Semua rakyat Malaysia mengharapkan PSA, MSN dan KBS dapat melahirkan pemain baharu yang setanding dengan Nicol Ann David yang telah berjaya mengharumkan nama negara di seluruh dunia melalui sukan skuasy. Pemain muda harus menggalas tanggungjawab untuk menceburi sukan skuasy seterusnya menjadi pemain berkelas dunia, dan menyambung legasi Atlet Terhebat Sepanjang Zaman ini.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone.

Foto: Marie Claire

Share this Post: