Prolog: Penghujung Uthmaniyah
Jika membaca kisah sejarah, Kekhalifahan Uthmaniyah dicatatkan terbubar pada tarikh 3 Mac 1924. Kerap kali saya dengar ia diulang dalam ceramah-ceramah. Dan nama yang sering diperkatakan dan dipersalahkan dengan kejatuhan Uthmaniyyah ialah Mustafa Kemal Ataturk.
Namun realitinya Uthmaniyah telahpun terkubur hampir empat tahun lebih awal daripada tarikh tersebut. Setelah tewas dalam Perang Dunia Pertama, Uthmaniyah sendiri telah menandatangani Perjanjian Sevres (Treaty of Sèvres) pada 10 Ogos 1920. Beberapa dasawarsa sebelumnya Uthmaniyah telah mula digelar Sick Man of Europe kerana kemerosotan teruk empayar tersebut dan inilah bibit-bibit permulaan kejatuhannya.
Perjanjian Sevres telah memecahkan Uthmaniyah sehingga menjadi cebisan-cebisan kecil. Kawasan Hijaz (kemudiannya dikenali sebagai Arab Saudi), Palestin, Iraq dan beberapa bahagian lain yang dahulunya diperintah oleh Uthmaniyah telah dimandatkan kepada British.
Lebih menyedihkan, tanah asal Uthmaniyah iaitu Turki sendiri telah dibahagi kepada Perancis, Itali, Greece dan Armenia. Istanbul dan perairan sekitarnya pula dikategorikan sebagai Free Zones dan Zone of the Straits yang menjadi kawasan dan perairan antarabangsa bawah kendalian Liga Bangsa-Bangsa (pendahulu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Yang tertinggal cumalah sebahagian utara Wilayah Anatolia.
Walau Uthmaniyah kekal sebagai kesultanan, hakikatnya ia telah hilang mandat kekhalifahan. Apakah ini salah Mustafa Kemal? Atau ia satu bentuk escapism (pemesongan dari isu sebenar) dan apologetics (kaedah untuk mempertahankan sesuatu kepercayaan) bagi mempertahankan kekhalifahan terakhir itu?
Uthmaniyah dan sultan-sultannya memang banyak berjasa terhadap dunia Islam secara khusus dan dunia secara umum, itu tidak dinafikan. Namun kelemahan kepimpinan serta strategi Uthmaniyah di penghujung era-nya tidak dapat dipertahankan. Menyalahkan Mustafa Kemal semata-mata adalah tidak adil.
Saya tidak berhasrat untuk bercerita tentang biografi Mustafa Kemal kerana sejarah hidupnya terlalu panjang. Saya juga tidak berhasrat untuk menceritakan apakah sebab beliau dibenci oleh sesetengah orang. Namun banyak kisah-kisah tidak sahih yang beredar bagi memburukkan beliau.
Saya juga tidak berniat mempertahankan beliau. Cuma kita harus berlaku adil terhadap beliau dengan menceritakan mengapa beliau dikagumi oleh rakyat Turki. Pasti ada sebab beliau dianugerah oleh parlimen Turki dengan nama Attaturk (Bapa rakyat Turki). PBB dan UNESCO juga pada 1981 sempena mengenang satu abad ulang tahun kelahirannya mengisytiharkan tahun tersebut sebagai The Atatürk Year in the World dan menghargai jasa-jasanya termasuklah peranannya menentang kolonialisme dan imperialisme.
Malangnya tidak banyak kisah baik tentang Ataturk yang diceritakan kepada masyarakat Malaysia terutamanya Melayu.
Jasa Ataturk
Mustafa Kamal pernah berkhidmat sebagai anggota tentera Uthmaniyah dan terlibat dengan Perang Turki-Itali (1911-1912), Perang Balkan (1912-1913), Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Kemerdekaan Turki (1919-1923). Walau tewas Perang Dunia Pertama, Uthmaniyah memenangi Pertempuran Gallipoli (1915) menentang Tentera Pihak Bersekutu dan ini dianggap sebagai kejayaan besar oleh masyarakat Turki. Mustafa Kemal merupakan panglima semasa perang tersebut dan kejayaannya disanjungi sebagai wira oleh tentera dan rakyat Turki.
Kejayaan tersebut membuatkan beliau diangkat menjadi kolonel dan seterusnya menjadi seorang jeneral (pasha). Ia juga titik tolak Mustafa Kemal merintis jalan menjadi pengasas dan presiden pertama Republik Turki. Pertempuran Gallipoli juga merupakan titik penting kepada Perang Kemerdekaan Turki yang terjadi lapan tahun selepasnya.
Selepas Uthmaniyah menandatangani Perjanjian Sevres, kredibiliti Sultan Mehmed VI terjejas dan dilihat ibarat boneka di mata rakyat Turki. Perjanjian Sevres ternyata menindas Turki. Sultan dianggap menjual kedaulatan Turki dan Uthmaniyah kepada Pihak Bersekutu. Malah sebelum itu pasukan tentera pimpinan Mustafa Kemal yang dianggap sebagai wira rakyat Turki telah dibubarkan pada November 1919 dan tidak dapat lagi mempertahankan Turki daripada pendudukan tentera Pihak Bersekutu.
Tidak berdiam diri, Mustafa Kemal pantas mengatur gerak. Beliau dan beberapa orang lagi termasuk petinggi tentera memilih Ankara sebagai pengkalan untuk menyusun strategi bagi membebaskan Turki daripada penaklukan. Sultan tidak menyedari tindakan Mustafa dan telah melantik beliau sebagai Inspektor Jeneral bagi memulihkan tatanan politik dan sosial di wilayah Anatolia. Namun beliau tidak memihak kepada Sultan dan menyebelahi penentangan. Mustafa Kemal mendapat sokongan daripada para nasionalis dan petinggi tentera termasuklah yang berpangkat jeneral.
Satu kongres telah diadakan di Erzurum pada Julai 1919 dan Mustafa Kemal telah dilantik sebagai presiden kongres. Beliau mengetuai kerajaan interim (peralihan) yang bertapak di wilayah Anatolia. Setelah dipersetujui oleh sekutu dan pakatan, Kongres Sivas yang yang dianggotai oleh para nasionalis telah ditubuhkan. Inilah permulaan gerakan kebangsaan Turki.
Kemudian Mustafa dan ramai lagi nasionalis Anatolia bertindak membentuk Grand National Assembly (GNA) lengkap dengan anggota tentera sebagai tindak balas kepada hasrat beberapa negara Eropah yang mahu memecahkan Uthmaniyah ketika itu. Beliau merupakan speaker kepada organisasi tersebut. GNA ditubuhkan bagi mempertahankan kepentingan rakyat Turki. Sehingga kini GNA masih wujud sebagai parlimen Turki dan Mustafa speakernya yang pertama.
GNA kemudiannya terlibat dengan beberapa pertempuran sengit dan berjaya mengusir Armenia dan Greece daripada tanah air mereka. Pertempuran-pertempuran inilah yang dikenali sebagai Perang Kemerdekaan Turki dan atas usaha keras dan keberaniannya, Mustafa telah diangkat menjadi fil marsyal (maresal) yakni pangkat tertinggi dalam pasukan tentera.
GNA kemudiannya telah membubarkan kesultanan pada 1 November 1922. Pada 17 November Sultan Mehmed VI telah meninggalkan Istanbul dengan menaiki kapal perang British iaitu HMS Malaya. Jika kalian tertanya adakah HMS Malaya mempunyai kaitan dengan Tanah Melayu, jawapannya ialah – ya –. HMS Malaya adalah kapal perang British yang dibiayai pembinaannya oleh kesultanan (kerajaan) negeri-negeri dari Tanah Melayu. Walau begitu kekhalifahan Uthmaniyah (tanpa fungsi dan kuasa) dibawah Abdulmejid II masih wujud di bawah Republik Turki sehinggalah benar-benar dibubarkan pada 3 Mac 1924.
Setelah Sultan Mehmed VI telah meninggalkan Istanbul, Pihak Bersekutu dan GNA telah menandatangani Perjanjian Lausanne pada 24 Julai 1923. Inilah perjanjian yang dianggap telah mengembalikan maruah dan kedaulatan Turki dan Ataturk berperanan besar dalam usaha tersebut. Walaupun Empayar Uthmaniyah telah dibahagi dan dipecahkan namun negara Turki dapat disatukan kembali.
Perjanjian ini juga menjadi titik tolak pengiktirafan antarabangsa terhadap kedaulatan Turki. Perjanjian ini juga membahagi-bahagikan hutang awam Kekhalifahan Uthmaniyah antara negara-negara bekas naungan dan tidak dibebankan ke atas Turki semata-mata.
Namun sebelum Perjanjian Lausanne dimeterai, suatu konvensyen mengenai pertukaran rakyat Greece dan Turki telah ditandatangani juga di Lausanne pada 30 Januari 1923 di antara kerajaan Greece dan Turki. Di dalam konvensyen ini Greece dan Turki telah bersetuju 1.6 juta rakyat Greece yang tinggal di Turki akan dipulangkan. Manakala Turki juga akan menerima kembali rakyat mereka seramai kira-kira 400,000 orang dari Greece.
Permasalahan ini timbul kerana sewaktu Uthmaniyah memerintah mereka telah menguasai sebahagian daripada kawasan Greece. Ini telah membuatkan masyarakat Greece di kawasan tersebut menjadi rakyat Uthmaniyah dan bebas untuk menetap dan berhijrah ke kawasan Turki. Begitu juga sebaliknya masyarakat Turki bebas menetap di kawasan Greece yang dikuasai Uthmaniyah. Apabila Uthmaniyah jatuh dan Greece merampas kembali kawasan mereka, masalah timbul dan ramai kalangan masyarakat negara terbabit ingin pulang ke kawasan asal masing-masing.
Kerana Konvensyen dan Perjanjian Lausanne tersebut Mustafa Kemal dan GNA sekali lagi dianggap berjasa besar dalam menyelamatkan rakyat muslim Turki dan mengembalikan maruah negara. Selepas sebahagian besar Angkatan Tentera Bersekutu meninggalkan bumi Turki, maka pada 29 Oktober 1923 penubuhan Republik Turki telah diisytiharkan dan Mustafa Kemal menjadi Presidennya yang pertama.
Inilah jasa dan legasi besar Mustafa Kamal kepada negara dan rakyat Turki sehingga beliau digelar Attaturk (Bapa Rakyat Turki). Beliau adalah pemimpin tentera dan politik yang bijak dan berani. Walau wujud kontroversi tentang tentang ideologi dan kefahaman yang beliau anuti, itu tidak menafikan jasa Mustafa.
Legasi dan Kontroversi
Selain itu beliau turut berjaya memperkenalkan sistem demokrasi dan pilihan raya di Turki dan antara yang terawal di dunia Islam umumnya walaupun beliau dikatakan bersikap autokratik. Beliau turut berjasa mempertahankan dan meninggikan hak wanita. Wanita Turki diberikan hak untuk mengundi pada pilihan raya tempatan bermula pada tahun 1930 tatkala dunia sendiri baru mengenali hak mengundi untuk wanita. Pada tahun 1934 hak pemilihan penuh telah diberikan kepada golongan wanita.
Salah satu kontroversi besar yang dibebankan ke atas Mustafa Kemal ialah pensekularan negara Turki. Namun perkara ini tidak sepenuhnya benar. Era pensekularan telahpun bermula semasa pemerintahan Uthmaniyah lagi. Pada tahun 1839 era Tanzimat (penyusunan atau pengstrukturan semula) telah bermula dan menerima pakai beberapa idea sekular. Contohnya, beberapa undang-undang Islam telah digantikan dengan undang-undang sekular dan homoseksual telah didikriminalisasikan walaupun ia masih kekal dianggap berdosa.
Tidak berpuas hati dengan pembaharuan Tanzimat, golongan Young Ottomans (Uthmani Muda, berbeza daripada Turki Muda) memperkenalkan Kanun-u Esasi sebagai perlembagaan Uthmaniyah. Ia lebih progresif berbanding Tanzimat dan menjadikan Uthmaniyah sebagai negara berkonsepkan raja berpelembagaan. Era ini dikenali sebagai First Constitutional Era yang bermula pada 1876.
Namun apabila Sultan Abdul Hamid II mengambil alih takhta pada 1878, baginda telah memansuhkan perlembagaan tersebut dan menguatkuasakan kembali pemerintahan mutlak. Oleh itu Mustafa Kemal Ataturk bukanlah orang pertama yang memperkenalkan sistem sekular di Turki. Cuma pembaharuan yang dibawa oleh beliau jauh lebih progresif berbanding sebelumnya sehingga menjadi perdebatan hangat seluruh dunia Islam.
Walaupun sekarang parti yang diasaskan Mustafa iaitu Republic People’s Party (CHP – Cumhuriyet Halk Partisi) sudah tidak lagi berkuasa dan Perlembagaan Turki telah bertukar beberapa kali namun struktur asas negara Turki masih kukuh seperti yang dibentuk oleh Mustafa. Walau kini Erdogan menerapkan unsur-unsur Islamik di dalam pentadbirannya serta memulihkan peranan agama di ruang awam, tetapi ia tidak mengubah teras negara Turki sewaktu Mustafa membentuknya.
Dikatakan di ibu pejabat AK Parti yang dipimpin dan diasaskan oleh Erdogan sendiri tersergam indah potret Ataturk. Malah Erdogan sendiri pada tahun 2017 ada berucap bahawa “Negara kita (iaitu Turki) memiliki rasa hormat yang abadi terhadap Mustafa.”
Walau ada usaha memburukkan imej Mustafa Kemal, namun jasa besar dan keperwiraannya tidak dapat dinafikan. Wajah beliau dipotretkan di serata Turki, di sekolah, pejabat, rumah dan pada mata wang Turki. Kata-kata azimatnya masih menjadi keterujaan untuk dihafal bagi pelajar sekolah di Turki. Bertahun-tahun Mustafa Kemal tetap disayangi sebagai Ataturk – Bapa kepada seluruh rakyat Turki.
Daripada menyumpah beliau, lebih baik kita mendoakan kesejahteraan kepadanya. Kerana Mustafa Kemal tetap seorang manusia biasa yang melakukan kebaikan dan kesilapan serta menilai kehidupan berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri. "Yurtta sulh, cihanda sulh" (Peace at Home, Peace in the World).
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: BBC
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.