APA MAKSUD HARI KEBANGSAAN?

APA MAKSUD HARI KEBANGSAAN?

Kita baru sahaja menyambut hari kebangsaan. Memang meriah dan itu tidak ternafikan. Hari kebangsaan disambut segenap rakyat dan seluruh Bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan etnik.

Namun pernahkah terdetik di minda kita apa maksud hari kebangsaan? Apakah semua negara menyambut hari kemerdekaan sebagai hari kebangsaan mereka? Bila pula negara kita mengisytiharkan bahawa tarikh kemerdekaan sebagai hari kebangsaan?

Hari kebangsaan umumnya bermaksud suatu hari yang menandakan satu tarikh penting dan sangat bermakna dan signifikan bagi sesebuah negara. Ada negara yang menyambut tarikh kemerdekaan sebagai hari kebangsaan mereka, maka begitu juga dengan Malaysia. Di negara kita Hari Merdeka dan Hari Kebangsaan Malaysia tiada terpisahkan.

Namun tahukah kita bahawa ada negara yang tidak menyambut hari kemerdekaan sebagai hari kebangsaan mereka? Bagi negara-negara yang tidak pernah dijajah semisal Thailand, United Kingdom, Perancis, Nepal dan banyak lagi negara, sudah tentulah mereka tidak meraikan tarikh kemerdekaan sebagai hari kebangsaan.

Malah ada negara-negara di dunia yang menyambut hari penubuhan negara, hari pengisytiharan perlembagaan dan hari keputeraan raja sebagai hari kebangsaan mereka. Malah ada beberapa negara yang mungkin menyambut hari kebangsaan bersempena tarikh yang mungkin tidak pernah terfikir dek akal kita.

Belgium, misalnya yang menyambut tarikh angkat sumpah raja pertama iaitu Leopold I sebagai mereka sebagai hari kebangsaan. Perancis pula menyambut hari kebangsaan sempena tarikh penawanan kubu dan penjara Bastille semasa Revolusi Perancis. Sepanyol pula menyambut hari penemuan benua Amerika sebagai hari kebangsaan.

Namun kita sebagai rakyat Malaysia amat megah dengan Hari Merdeka kita. Namun sejak bila hari kemerdekaan Malaya diangkat menjadi hari kebangsaan Malaysia?

Mungkin kita semua berfikiran bahawa tarikh kemerdekaan diangkat secara tiba-tiba, spontan atau secara ‘automatik’ menjadi hari kebangsaan. Mungkin kalian masih kurang faham, begini maksud persoalan saya. Saya tampilkan dua contoh.

Pertama ialah Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan jelas dinyatakan dalam perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. Maka sejurus selepas perlembagaan berkuatkuasa, rasmilah kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kita semua.

Yang kedua ialah Bunga Kebangsaan. Pada tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk menjadi Bunga Kebangsaan iaitu Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Kenanga, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung untuk dijadikan Bunga Kebangsaan.

Setelah mengambil kira beberapa aspek Jemaah Menteri telah memilih Bunga Raya. Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri Malaya (sekarang Perdana Menteri) telah mengisytiharkan Bunga Raya sebagai Bunga Kebangsaan pada tahun 1960.

Jadi persoalannya sekarang, sejak bila pula Hari Kebangsaan Malaysia diisytiharkan? Dalam Perlembagaan Persekutuan pun Hari Kebangsaan tidak pernah tercatit secara jelas. Bagi saya, apa yang jelas ialah memang kita sebagai rakyat Malaysia bersetuju bahawa selayaknya tarikh kemerdekaan 31 Ogos adalah Hari Kebangsaan Malaysia.

Selain itu, ada juga petunjuk-petunjuk lain yang membuktikan bahawa tarikh kemerdekaan memang wajar dijadikan tarikh Hari Kebangsaan Malaysia. Ini kerana perkataan “Hari Merdeka” tercatat banyak kali dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini menunjukkan betapa signifikannya Hari Merdeka kepada negara dan masyarakat kita.

Maka selayaknya Hari Merdeka diangkat menjadi Hari Kebangsaan Malaysia. Bolehlah dikatakan juga bahawa status Hari Merdeka sebagai Hari Kebangsaan Malaysia dimasyhurkan sejurus perlembagaan berkuatkuasa sama seperti status Bahasa Kebangsaan.

Namun di sini timbul persoalan lain iaitu bila tarikh perlembagaan berkuatkuasa? Apakah pada tarikh 31 Ogos 1957 juga? Namun sebenarnya sejarah mencatatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Perlembagaan Persekutuan Malaysia) secara teknikal sebenarnya berkuatkuasa pada 27 Ogos 1957. Ini kerana perlembagaan diluluskan pada tarikh tersebut.

Namun kemerdekaan secara formal ialah pada tarikh 31 Ogos 1957. Malah dalam perlembagaan itu sendiri ada menyatakan bahawa tarikh tersebut pertama kali diperkenalkan pada 31 Ogos 1957.

Maka bolehlah dikatakan juga bahawa Hari Merdeka sebenarnya boleh diangkat sebagai ‘Hari Perlembagaan’ seperti yang disambut beberapa negara sebagai hari kebangsaan. Ini kerana pada Hari Merdeka-lah Perlembagaan Persekutuan mula diluhurkan dan diperkenalkan.

Namun begitu, tahukah kita bahawa ada juga negara yang meraikan hari kebangsaan negara mereka lebih daripada sehari seperti Korea Selatan, Bulgaria, Malta dan beberapa negara lagi. Maka saya secara peribadi berpendapat Hari Malaysia yang menandakan hari pembentukan Persekutuan Malaysia juga selayaknya dijadikan hari kebangsaan.

Bagi saya, Hari Malaysia tidak kurang mulianya berbanding Hari Merdeka kerana perjuangan menubuhkan negara Malaysia juga amat getir dan mencabar. Mana akan ada negara bernama Malaysia tanpa Hari Malaysia. Anda pula bagaimana?

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah dan mencari rezeki di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto kredit: Malaysiakini

Share this Post: