Apa Cerita Ekonomi Kita?

Apa Cerita Ekonomi Kita?

Apa yang sedang berlaku dalam negara kita sekarang? Ada beberapa situasi yang sedang mengocak ekonomi kita. Antara lainnya adalah ketidakstabilan politik, perintah kawalan pergerakan, dan terbaru, darurat.

Mungkin darurat yang diisytiharkan pada 13 Januari itu bukanlah darurat yang membenarkan kita melanggar hukum syarak, atau pun darurat yang mengurung kita di dalam rumah atau sebagainya, dengan ianya didakwa sebagai hanyalah darurat kesihatan, dan ada yang memanggilnya darurat politik - berbeza daripada darurat seperti perang (darurat keselamatan) yang lebih serius.

Walau bagaimanapun, pengisytiharaan darurat tersebut, walau apa bentuknya masih memberi beberapa kesan negatif terhadap ekonomi negara terutama apabila berhadapan dengan dua lagi situasi berkait yang disebut awal tadi.

Entah bagaimana, ada juga yang masih berani dan berpendapat bahawa darurat tersebut sebaliknya akan bawa kesan positif buat ekonomi negara.

Kita akan melihat perkara-perkara ini dengan membahagikan perbincangan kepada dua bahagian iaitu dari sudut pandang Makroekonomi dan Mikroekonomi. Kedua-dua sudut pandang ini berbeza dari segi “saiz” skop yang dirangkumi. Bagi Makroekonomi, ianya lebih menitikberatkan ekonomi negara manakala Mikroekonomi pula dari segi isi rumah dan pengguna.

Makroekonomi

Kita berada dalam keadaan yang agak buruk. Ada terlalu banyak faktor untuk ekonomi negara kita berhadapan situasi sukar.

Ketidakstabilan politik, perintah kawalan pergerakan dan terutama sekali darurat bukanlah sebuah sebuah situasi yang ideal. 

Darurat sendiri adalah suatu yang sudah cukup besar. Bukan mudah buat sesebuah negara untuk mengisyitiharkan darurat. Kerajaan perlu mengambil kira kesan dan impak yang bakal dihadapi oleh rakyat dan pihak luar seperti pelabur dari negara asing.

Apabila sesebuah negara mengisytihar darurat, pelabur asing yang berpotensi lazimnya akan mula menjauhkan diri mereka dari negara tersebut. Kalau diikutkan, siapa yang berminat untuk melabur dalam negara yang sedang menghadapi darurat?

Disamping itu, pelabur sedia ada pula akan mula berkira-kira untuk menggulung tikar dan berpindah ke negara berhampiran yang lain sebagai langkah berjaga-jaga.

Selepas Perdana Menteri mengisytiharkan darurat di Malaysia tempoh hari, banyak syarikat multinasional (MNC) mula merancang untuk berpindah ke negara jiran kita khususnya. Malaysia hari ini harus diakui sebagai bukan lagi destinasi pelaburan pilihan.

Misalnya, syarikat kereta Hyundai sudah mula memindahkan operasinya ke Indonesia yang disifatkan lebih mesra pelaburan dan sesuai dengan sasaran masa hadapan Hyundai. Tanpa darurat pun, kita sudah ketinggalan, bayangkan dengan keadaan darurat sekarang?

Akibat daripada situasi sebegini, pelaburan langsung asing hanya akan terus berkurangan. Kesan paling ketaranya adalah peluang pekerjaan yang disediakan oleh syarikat-syarikat besar ini akan susut dan tidak lagi tersedia buat rakyat tempatan. Dalam kes lain, pekerja sedia ada pula terpaksa dikurangkan dengan ramai bakal dibuang. Semua ini tidak lain hanya akan menyebabkan kadar pengangguran terus meningkat.

Duit yang mengalir dalam ekonomi kita juga akan berkurang hasil daripada syarikat yang tutup kilang itu. Jika hanya satu syarikat yang tutup, ia cukup untuk menyebabkan gangguan pekerjaan untuk beribu pekerja. Bayangkan jika semua syarikat MNC turut ikut untuk gulung tikar pula.

Kesan kekurangan aliran duit dalam ekonomi ini bukan sahaja menjejaskan pekerja langsung kepada syarikat-syarikat terlibat, sebaliknya juga akan turut dapat dirasai oleh peniaga-peniaga kecil yang beroperasi di kawasan-kawasan kilang atau kedai runcit berhampiran kawasan perumahan pekerja-pekerja syarikat MNC itu tadi. 

Jika darurat ini untuk mengukuhkan kedudukan demi kepentingan peribadi, ini akan memberi gambaran imej yang buruk kepada pihak luar terutama pelabur asing. Semestinya pelabur tidak mahu bekerja sama dengan kerajaan yang kurang kukuh dan stabil.

Kebelakangan ini kita dapat melihat banyak syarikat-syarikat ternama seperti Amazon dan Tesla yang telah bersetuju untuk membuka kilang dan mengembangkan operasi mereka di negara jiran kita, Indonesia. Peluang terbesar untuk menarik pelabur asing akhirnya gagal oleh kerana situasi politik yang tidak stabil, ditambah dengan darurat yang sedang berlaku di Malaysia.

Beberapa minggu lepas juga, pernah viral di Twitter mengenai tangkapan skrin atau screenshot berkenaan komen yang diberikan oleh Sven Schneider, CEO EUROCHAM Malaysia yang bertulis “Ramai pelabur bimbang dengan Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Sehingga hari ini, Menteri Kewangan tidak memberi kerjasama untuk berbincang dan mendengar pandangan yang ingin diberikan mengenai masalah yang berlaku di bawah.” Ini menunjukkan bahawa Menteri Kewangan tidak memberi layanan yang mesra kepada pelabur asing.

Kadar pengangguran di Malaysia juga telah meningkat sebanyak 49% daripada jumlah asal penghujung tahun 2019 iaitu sebanyak 508.2 ribu kepada 764.4 ribu pada bulan November 2020 berdasarkan laporan yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia. Jumlah ini bukan sahaja mereka yang bekerja bersama syarikat MNC tetapi merangkumi setiap penganggur di Malaysia.

Peningkatan dalam kadar pengangguran amatlah teruk kerana pekerja-pekerja tidak mampu untuk menjana pendapatan bagi mereka sendiri dan untuk negara secara tidak langsung. Adakah selepas darurat disytiharkan, kadar pengangguran akan terus meningkat lagi disebabkan MNC yang mungkin akan menggulung tikar?

Mikroekonomi

Dari segi mikroekonomi pula, apabila pekerja diberhentikan atau gaji mereka dipotong akibat daripada PKP dan darurat ini, kuasa permintaan mereka juga akan berkurangan. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah memberi bantuan suntikan kewangan melalui BPN dan iSinar bagi mereka yang layak.

Duit yang diberikan ini sebenarnya untuk menggalakkan perbelanjaan dalam pasaran. Kalau ramai orang tidak berbelanja kerana tiada duit, siapa lagi yang akan membeli barang dari Mak Cik Kiah?

PM juga mengumumkan bahawa sesetengah sektor ekonomi boleh terus dibuka dan beroperasi seperti biasa. Ini juga bertujuan untuk mengurangkan kadar pengangguran dan merupakan antara cara untuk orang ramai berbelanja atau cara untuk memasukkan duit ke dalam ekonomi.

Dengan pemberian bantuan kewangan ini, ia akan sepatutnya memberikan kesan pengganda kepada ekonomi negara. Apa itu kesan pegganda? Dalam bahasa mudah, ia adalah kesan besar daripada perkara kecil yang berlaku di dalam atau antara sektor dalam ekonomi.

Sebagai contoh, pemberian kewangan ini dapat membantu ramai orang untuk memulakan bisnes dengan menggunakan duit diberikan ini. Hasil daripada bisnes ini, pekerjaan akan dapat diwujudkan apabila mereka perlu mengupah pekerja untuk menjalankan operasi.

Di sini kita dapat lihat, dengan pemberian wang sedemikian, bisnes dapat dibuka, dengan pembeli menemui cara untuk berbelanja dan juga menyediakan peluang pekerjaan. Walaupun bantuan kewangan ini diberikan kepada seorang, tetapi lebih daripada seorang yang dapat menikmati hasilnya.

Ada teori lain juga dalam ekonomi tingkah laku yang menyatakan apabila pembeli menginginkan sesuatu barang kehendak tetapi tidak mampu untuk membelinya. Apabila diberikan bantuan kewangan, setelah membeli barangan keperluannya, dia pasti akan menggunakan duit berlebihan itu untuk membeli barang kehendak yang beliau tidak mampu sebelum ini.

Contohnya, Azmin inginkan sepasang kasut baharu yang bernilai RM500. Tetapi tabung untuk membeli kasut terdapat hanya RM300. Jika dia menerima bantuan kewangan sebanyak RM1000 dan mempunyai baki berlebihan sebanyak RM200, dia sudah mampu untuk membeli kasut tersebut.

Menurut teori ini jikalau dia membeli kasut tersebut, duit daripada kerajaan “sebanyak RM200” itu telahpun membawa kepada perbelanjaan sebanyak RM500. Berbanding jika dia tidak menerima RM200 lebihan itu, maka dia tidak akan membelanjakan RM300 di dalam tabung tadi. Ini yang menyebabkan ekonomi bergerak perlahan.

Kini kerajaan sedang mengambil pelbagai langkah untuk mengalakkan perbelanjaan dalam ekonomi. Saranan saya adalah supaya kita mengurangkan penyimpanan dan melebihkan perbelajaan untuk membantu peniaga-peniaga dan usahawan kecil di luar sana. Tetapi jangan pula berbelanja kepada syarikat luar negara!

Sejak PKP ramai yang akan bekerja di rumah atau lebih dikenali sebagai Work From Home (WFH). Budaya WFH ini mengurangkan kecekapan dalam pekerjaan dan pengeluaran produk, berbanding apabila semua bekerja di pejabat.

Secara tidak langsung, apabila semua bergerak perlahan ekonomi juga akan lambat untuk membangun dan pulih semula seperti sediakala. Rakyat Malaysia perlu tahu bahawa walau dalam apa jua sektor mereka berada, mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan negara secara langsung dan tidak langsung.

Konklusinya, mengisytiharkan darurat bagi negara ini agak tidak wajar dan dilihat sebagai satu hiperbola. Dengan keadaan politik yang kurang stabil, perintah kawalan pergerakan dan kini ditambah dengan darurat, negara ini bakal jadi bagaikan jatuh ditimpa tangga. Semakin lama keadaan politik tidak stabil, selagi itu ekonomi tidak akan dapat berkembang pesat.

Azi Amir adalah seorang pelajar kolej yang meminati bidang ekonomi dan sering mengejar jawapan kepada banyak persoalan yang wujud di sekeliling beliau. 

Foto: FMT

Share this Post: