Anugerah PUSKAS FIFA

Anugerah PUSKAS FIFA

Puskas adalah suatu anugerah jaringan gol terbaik oleh pemain bola sepak lelaki atau perempuan setiap tahun dalam apa-apa jua kejohanan yang berada di bawah naungan badan induk Federation Internationale de Football Association (FIFA).

Anugerah ini telah diperkenalkan sejak 20 Oktober 2009 sempena memperingati pemain bola sepak dari negara Hungary dan bekas penyerang pasukan Real Madrid pada era 1950-an dan 1960-an, Ferenc Puskas.

Presiden FIFA pada ketika itu di Budapest, Sepp Blatter menyatakan bahawa anugerah ini merupakan penghormatan kepada mereka yang bermain bola sepak dan telah meninggalkan sejarah untuk dunia bola sepak.

Ada beberapa kriteria yang akan diteliti untuk memilih pemenang dari seluruh pelosok dunia. Kejohanan-kejohanan bola sepak yang diiktiraf oleh badan induk bola sepak antarabangsa FIFA di setiap negara layak untuk dinilai dan tercalon untuk memenangi anugerah ini.

Gol yang dijaringkan haruslah dikategorikan sebagai gol terbaik atau fantastik sama ada melalui sepakan jarak jauh, gol berpasukan, libasan atas kepala, gelecekan individu dan lain-lain. Setiap pemain layak ditabal sebagai pemenang tanpa ada perbezaan kejohanan, jantina atau kewarganegaraan.

Walau bagaimanapun, faktor nasib, pemesongan oleh pemain lain dan pemain dalam kedudukan offsaid tidak akan diambil kira. Selain itu, pemain mestilah berkelakuan baik di atas padang dan bebas daripada bahan-bahan terlarang.

Pemain pertama yang memenangi anugerah ini ialah Cristiano Ronaldo ketika menewaskan pasukan Porto di peringkat suku akhir kejohanan Liga Juara-Juara Eropah. Jaringan tunggal yang dihasilkan melalui sepakan jarak jauh lebih 40 ela di Estadio do Dragao itu menjadi gol tercantik pada tahun 2009.

Pada tahun berikutnya pula, anugerah ini telah dimenangi oleh pemain kebangsaan pasukan Turki iaitu Hamit Altintop semasa membelasah pasukan Kazakhstan dengan jaringan 3-0 apabila pemain ini berjaya menghasilkan jaringan menerusi tendangan voli dari jarak 22 ela. Sepakan voli amat sukar dilakukan kerana sepakan ini memerlukan keseimbangan badan dan ketepatan kaki ketika menyepak bola.

Penghargaan ini menjadi semakin sengit kerana pemain-pemain terbaik dunia mula berlumba-lumba untuk memenangi anugerah individu ini.

Pemain muda dan berbakat daripada negara Brazil iaitu Neymar Jr berjaya memenanginya dengan mengetepikan pemain handalan lain seperti Lionel Messi, Wayne Rooney, Giovani dos Santos dan ramai lagi.

Setahun kemudian, Neymar Jr dan pemain bintang Atletico Madrid, Radamel Falcao gagal memenangi anugerah ini apabila Miroslav Stoch yang bermain untuk pasukan Fenerbahce pada masa itu memenanginya ketika menumpaskan pasukan Genclerbirligi. Tendangan separuh voli dari luar kotak penalti mendapat pujian daripada pelbagai pihak.

Nama Neymar Jr terus mekar kerana buat kali ketiga berturut-turut mencabar untuk memenangi anugerah ini. Walau bagaimanapun, sekali lagi pemain ini gagal memenanginya selepas gol cantik menerusi sepakan gunting daripada Zlatan Ibrahimovic berjaya diiktiraf sebagai gol tercantik pada tahun 2013.

Selepas itu, James Rodriguez pula memenangi anugerah ini pada tahun 2014. Pasukan Colombia telah menewaskan pasukan Uruguay dengan jaringan 2-0 dan kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh James Rodriguez. Gol pertama melalui sepakan voli pada minit ke-28 dipilih sebagai gol terbaik pada tahun itu.

Nama pemain seperti Wendell Lira bukanlah merupakan nama pemain handalan dunia tetapi pemain ini adalah pemenang anugerah tahunan Puskas bagi tahun 2015. Pemain yang bermain untuk pasukan Goianesia di liga tempatan negara Brazil ini berjaya mengetepikan cabaran daripada Lionel Messi dan Alessandro Florenzi setelah mendapat undian sebanyak 46.7%.

Detik bersejarah terukir pada tahun 2016 apabila pemain Malaysia iaitu Mohd Faiz Subri telah dinobatkan sebagai pemenang pada tahun tersebut. Bola yang disepak oleh Faiz Subri melalui sepakan percuma telah bergerak secara melencong sehinggakan beberapa orang ahli fizik seperti Ecole Polytechnique dan Isaac Newton menjelaskan gol sedemikian memang mengalami hukum fizik. Heinrich Gustav Magnus pula mengklasifikasikan fenomena ini sebagai “Magnus effect” yakni kaki penyepak memberi haluan dan halaju kepada bola tetapi tiada daya yang bertindak ke atas bola tersebut.

Tendangan “Scorpion” Olivier Giroud pada minit ke-17 sewaktu menentang pasukan Crystal Palace pada kejohanan liga Perdana Inggeris bagi musim 2016/2017 telah dinobatkan sebagai pemenang gol terbaik pada tahun 2017. Hantaran lintang yang diumpan oleh rakan sepasukan Alexis Sanchez berjaya disudahkan dengan tendangan kaki melipat di arah belakang badan oleh Olivier Giroud.

Sepakan akrobatik itu menjadi antara gol yang sangat menarik berjaya dihasilkan bagi kurun ke-21 kerana teknik yang dilakukan adalah sangat luar biasa. Gol itu juga mengatasi tentangan sengit pada tahun 2017 daripada pemain bola sepak wanita Venezuela, Deyna Castellanos dan penjaga gol pasukan Baroka FC di liga Primera Afrika Selatan.

Tahun 2018 adalah tahun yang penuh dramatik untuk memilih pemenang Puskas kerana pemain-pemain yang tercalon untuk memenangi anugerah ini hampir kesemuanya pemain bertaraf dunia. Antaranya ialah Gareth Bale, Cristiano Ronaldo, Denis Cheryshev, Christodoulopoulos, Benjamin Pavard, Lionel Messi, Mohamed Salah, Ricardo Quaresma dan ramai lagi.

Walau bagaimanapun, gelecekan melepasi beberapa orang pemain lawan sebelum melakukan sepakan lencong menerjah jaring daripada Mohamed Salah semasa perlawanan liga antara Liverpool menentang jiran tetangga Everton telah mendapat undian tertinggi mengatasi sepakan gunting daripada dua orang pemain Real Madrid iaitu Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale.

Nama Daniel Zsori menjadi tumpuan dan bualan warga bola sepak dunia selepas beliau menjaringkan gol ketika menentang Ferencvaros di liga tempatan Hungary pada tahun 2019. Pemain muda berdarah Romania ini menghasilkan jaringan berbentuk sepakan gunting “back-heel” pada masa tambahan untuk memastikan kemenangan 2-1 untuk pasukannya Debrecen FC.

Pada masa ini, beliau baru sahaja berusia 18 tahun. Beliau melakukan penampilan sulung untuk pasukan dan menjaringkan gol pada minit terakhir permainan. Sementara itu, pada tahun ini juga terdapat beberapa gol lain yang mengagumkan daripada pemain-pemain terkenal di dunia seperti Lionel Messi (Real Betis vs Barcelona), Juan Fernando Quitero (River Plate vs Racing Club), Billie Simpson (Sion Swifts vs Cliftonville Ladies), Zlatan Ibrahimovic (Toronto FC VS LA Galaxy), Andros Townsend (Manchester City vs Crystal Palace) dan Matheus Cunha (Leipzig vs Bayer Leverkusen).

Menjelang era baharu pada tahun 2020, anugerah individu yang berprestij ini menjadi milik pemain Korea Selatan yang bermain untuk pasukan Tottenham Hotspur, Son Heung-min.

Gol ini dipilih sebagai pemenang gol terbaik kerana aksi Son Heung-min yang berlari membawa bola secara solo melepasi beberapa orang pemain termasuk penjaga gawang gol lawan. Larian sepanjang lebih 70 ela yang gagal disekat oleh pemain-pemain lawan dianggap ajaib dan mustahil untuk dilakukan oleh mana-mana pemain. Kemenangan ini secara tidak langsung menghangatkan lagi nama Son Heung-min di bibir pemerhati dan peminat bola sepak di Eropah.

Beliau juga dianggap sebagai antara pemain Korea Selatan yang paling berjaya di Eropah untuk kurun ke-21 setanding Park Ji Sung dan Ki Sung Yueng.

Kali terakhir anugerah ini juga menjadi milik pemain Tottenham Hotspurs iaitu Erik Lamela. 14 Mac 2021, sewaktu perlawanan antara pasukan Arsenal menentang Tottenham Hotspurs di stadium Emirates menyaksikan pemain ini menyepak bola dengan aksi “Rabona” menewaskan penjawa gawang Arsenal, Bernd Leno. Kebiasaannya “Rabona” ini memerlukan kemahiran yang sangat tinggi untuk mengawal dan menyepak bola.

Perkataan “Rabona” ini berasal daripada bahasa Sepanyol untuk menerangkan tentang teknik sepakan yang menghayunkan sebelah kaki di belakang kaki yang tegak berdiri. Aksi ini juga dikenali sebagai pergerakan yang digunakan di dalam tarian tango. Di negara Argentina dan Bolivia pula, istilah “Rabona” ini merujuk kepada wanita yang mengikuti askar untuk memasak dan menyediakan makanan kepada pasangan mereka.

Siapakah yang akan memenangi anugerah pada tahun 2022 ini? Sama-sama kita tunggu keputusannya yang akan diumumkan kelak oleh badan induk persatuan bola sepak dunia FIFA.

Mohd Syazlan Aliff peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You’ll Never Walk Alone.

Kredit foto: YouTube

Share this Post: