Antara Sirah dan Sunnah?

Antara Sirah dan Sunnah?

Mukadimah

Tidak lama lalu ada satu polemik kecil tentang kisah Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang menyambung tugas Rasulullah S.A.W. memberi makan kepada seorang pengemis Yahudi yang kurang upaya penglihatan di satu sudut pasar. Saya pasti mesti ramai diantara kalian yang tahu.

Ya, kisah itu menyentuh perasaan. Kalau usaha Ebit Lew dan NGO-NGO lain disahut mesra, tetapi Nabi pula telah dicaci kata nista. Namun di dalam kisah itu, Nabi tetap sabar melayan kerenah pengemis tersebut.

Tetapi kisah ini telah diriwayatkan sebagai palsu oleh agamawan yang mahir dalam bidang hadith. Ia dikhabarkan tidak pernah diriwayatkan di dalam mana-mana kitab hadith. Malah bagi agamawan yang mahir dalam bidang hadith mereka mengatakan bahawa kisah tersebut menghina kedudukan dan kemuliaan Rasulullah.

Namun saya ada juga mendapatkan pandangan seorang agamawan (saya perlu merahsiakan namanya) tentang kisah tersebut. Menurutnya, beliau pernah membaca kisah tersebut di dalam sebuah kitab – tetapi bukan kitab hadith. Tetapi sayang tajuk kitab tersebut beliau lupa. Namun apa yang penting, beliau menganggap kisah tersebut cuma bertaraf sirah dan bukannya hadith mahupun sunnah.

Bagi beliau ada suatu petunjuk baik dari kisah tersebut bahawa Nabi menyantuni semua insan termasuklah mereka yang tidak menyukai diri Baginda sendiri, tidak timbul isu menghina kemuliaan – begitulah interpretasi manusia yang berbeza-beza.  

Satu lagi. Jika merujuk kisah tersebut, ianya tidak membawa sebarang implikasi hukum tentang fekah, tauhid atau ibadah melainkan cuma penekanan terhadap akhlak dan suri tauladan. Sejujurnya saya juga tidak mengetahui dari mana sumber kisah tersebut. Jika benar ia adalah sirah, apakah ia dicatatkan di dalam kitab-kitab sirah susunan Ibnu Ishaq, Ibnu Hisyam dan sebagainya?

Tetapi apa yang mahu saya tekankan dan perbincangkan di sini ialah perbezaan dalam menanggapi sirah dan sunnah. Saya bukan mahu mengajar, tetapi saya cama menzahirkan apa yang saya tahu dan telah pelajari untuk sama-sama kita perbincangkan dan memahami letak duduk perkara ini.

Perbezaan Sirah dan Sunnah

Sirah mudahnya bolehlah disimpulkan sebagai catatan sejarah kehidupan Nabi Muhammad, namun selalunya turut diceritakan tentang leluhur Baginda dan kisah-kisah Nabi lain juga. Manakala sunnah ialah setiap perbuatan, kata-kata dan perakuan Nabi yang dikhabarkan melalui hadith. Bukan semua sunnah ini boleh dituruti oleh umat kerana sunnah seperti Nabi berkahwin lebih daripada empat sudah tentulah tidak boleh diikuti.

Di sini saya menggunakan istilah sunnah kerana Nabi di dalam suatu kenyataan menyatakan bahawa Baginda meninggalkan kepada kita semua sunnahnya dan bukan hadithnya. Hadith ialah suatu rekod (atau ingatan) yang mencatatkan sesuatu sunnah Nabi. 

Ada ilmuwan-ilmuwan yang menganggap sirah ialah sebahagian daripada pengajian sunnah. Namun majoriti ilmuwan Islam menganggap ianya berbeza walaupun ia berkongsi ciri-ciri yang sama.

Ciri-ciri yang sama diantara keduanya dan yang terpenting ialah rangkaian periwayatan. Tetapi telah dipersetujui oleh para ilmuwan sejak zaman dahulu bahawa disiplin periwayatan sirah adalah lebih longgar berbanding periwayatan hadith yang lebih ketat.

Tujuan utama sirah ialah periwayatan sejarah, ia mengutamakan kronologi – hasrat utamanya ialah setiap kronologi peristiwa akan diisi dan tidak akan dibiarkan lompong. Sunnah melalui perkhabaran hadith pula tidak mengutamakan kronologi kecuali untuk mencari dalil pemansuhan sesuatu hukum (nasikh-mansukh – Imam Syafie yang terkenal menggunakan kaedah ini) – dan tujuan utama sunnah dan hadith ialah untuk mengeluarkan hukum bagi sesuatu perbuatan apakah ia halal, wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Kita datangkan satu contoh seperti kisah Nabi mengikuti rombongan perdagangan Abu Talib ke Syam. Daripada keseluruhan kisah tersebut cuma terdapat beberapa perincian kisah yang boleh dianggap sahih menurut disiplin hadith – seperti kisah awan yang mengikuti pergerakkan rombongan bagi melindungi Nabi daripada terik mentari. 

Namun jika itu sahaja kisah yang sahih, lalu bagaimana ahli sirah mahu membina kisah lengkap bahawa Nabi pernah mengikuti rombongan perdagangan ke Syam sewaktu Baginda masih kanak-kanak (meningkat remaja). Takkanlah tiba-tiba bercerita tentang kisah Nabi dan sekumpulan kafilah berjalan sambil dilindungi awan? Nabi dari mana dan mahu kemana? Oleh itu para penulis sirah menerima periwayatan yang agak lemah bagi mengisi kelompongan dalam catatan sejarah.

Namun begitu memang ada komentar daripada sejarawan dan cendekiawan moden tentang perincian sirah yang terlalu bersifat kesusasteraan mirip hikayat kerana kewujudan kisah-kisah seperti legenda – tidak menepati disiplin sejarah moden. Salah satu contoh seperti kisah pokok yang digelar ‘the living sahaba’ (pohon sahabi – sahabat Nabi yang masih hidup). 

Katanya pokok itulah yang dimaksudkan oleh Buhaira yang telah tunduk melindungi Nabi di saat Baginda berehat di bawahnya, malah pokok itu masih hidup sehingga sekarang. Kisah ini tidak sahih menurut riwayat hadith dan kedengaran seperti kisah legenda. 

Kedudukan Beberapa Kisah dan Peristiwa

Seperti kisah tentang tafsir Surah Al-Fiil (Surah Gajah) pula, ia banyak menggunakan periwayatan zaman sebelum Nabi kerana mengisahkan zaman moyang Baginda. Sudah tentulah ia berbentuk sirah dan bukannya sunnah atau hadith. Namun begitu penerimaan kisah tersebut bagi menerangkan tafsir surah tersebut telah diterima secara meluas oleh umat Islam dan jarang kita mendengar agamawan dari bidang hadith mengomentarinya.

Namun begitu perihal terbesar daripada polemik ini ialah mengenai status Piagam Madinah (Sahifah Madinah). Walaupun peristiwa persetujuan Piagam Madinah ada dicatatkan dalam periwayatan hadith, namun tiada satu hadith-pun yang mencatatkan secara terperinci setiap klausa dikandunginya.

Ada 47 klausa atau fasal yang dicatatkan di dalamnya dan ia cuma dicatatkan di dalam Sirah Ibn Ishaq dan kitab-kitab sirah lain. Yang menariknya Piagam Madinah ini mempunyai implikasi hukum sehingga menjadikannya sebagai sumber kajian tesis. Bagaimana piagam yang tidak dicatatkan di dalam mana-mana kitab hadith ini begitu diterima ramai? Malah para agamawan yang arif hadith sekalipun seumpama menerimanya.

Pada satu sisi, bukankah ianya sama seperti kedudukan seperti kisah Nabi dan pengemis pada awal tulisan tadi? Atau berbeza? Apakah ada dwi-piawai dalam menilai kedua-dua perkara tersebut?

Benar, Piagam Madinah diakui kewujudannya oleh para sejarawan – yang muslim mahupun yang dari Barat. Ini kerana Piagam tersebut jika dinilai menggunakan disiplin sejarah, ia tidak bertentangan dan tepat dengan situasi Madinah yang dipimpin oleh Nabi tatkala itu. Ada sejarawan Barat menyatakan kewujudan piagam tersebut membuktikan tentang kehebatan kepimpinan Baginda Nabi.

Namun begitu, tepat secara sejarah tidak bermakna tepat dari segi periwayatan sunnah dan hadith kerana sunnah dan hadith mempunyai disiplin yang agak berbeza dan nilai pemberat yang berbeza. Ketepatan periwayatan sirah – yakni peristiwa yang tidak membawa implikasi hukum agama – sepatutnya diukur menggunakan disiplin dan kaedah pensejarahan dan bukannya diukur menggunakan disiplin hadith.

Penilaian Sirah Melalui Kaedah Pensejarahan, Bukannya Menggunakan Kaedah Hadith

Saya tahu mungkin ada kerisauan daripada para agamawan dalam bidang hadith bahawa periwayatan sirah yang tidak tepat boleh menjejaskan agama, kerana hari ini keseluruhan hidup Nabi telah dianggap sebagai sunnah. Namun kekeliruan dalam masyarakat harus diatasi dengan ilmu dan bukannya dengan menafikan dan menghukumkan sesuatu kisah sirah sebagai palsu.

Jika itu yang menjadi kegusaran, ada baiknya para ilmuwan dan cendekiawan Islam mencari satu kaedah pensejarahan yang lebih tepat bagi menilai riwayat-riwayat dan kisah-kisah sirah agar dapat diasingkan cerita yang bersifat legenda dan bersifat sejarah yang sebenar. Ini membolehkan kisah sirah seperti Pohon Sahabi dapat dipisahkan daripada persetujuan Piagam Madinah. 

Ini juga bermakna dan menunjukkan di dalam sirah Nabi itu ada kecenderungan riwayat yang bersifat legenda dan ada yang bersifat catatan sejarah. Malah saya secara peribadi mengharapkan bahawa masyarakat awam juga boleh membezakan antara sejarah dan legenda secara umum. 

Bukannya kita mahu menolak legenda bulat-bulat, tetapi kerana sumber dan kisahnya tidak cukup sahih untuk diiktiraf sebagai sejarah. Namun begitu legenda tetap penting bagi membentuk psyche (jiwa, minda dan semangat) dan etos (karekteristik atau semangat sesuatu kebudayaan dan sesuatu era) masyarakat.

Sejarah pula akan mencatatkan setiap episod dan babak kehidupan seseorang, suatu komuniti atau suatu bangsa. Ia perlu terbukti dan selaras dengan fakta. Sunnah dan hadith pula ialah sesuatu yang membawa implikasi hukum, peraturan dan undang-undang. Semua inilah yang berperanan dalam membentuk ketamadunan manusia.

Dengan itu kita juga bukan sahaja kita dapat membezakan nilai pemberat (weightage) antara legenda, sejarah dan sunnah – tetapi dapat juga mengasingkan ia daripada israiliat – iaitu kisah-kisah yang bersumberkan daripada Bani Israel (malah menurut Dr Solah al-Khalidi sumber-sumber yang berunsur Nasrani, Parsi dan Rum juga turut dimaksudkan sebagai Israiliat).

Misalnya kisah tentang Zulaikha. Kalian tahu atau tidak bahawa Al-Quran cuma mencatatkannya sebagai ‘isteri al-Aziz’ dan tiada kisah dia berkahwin dengan Nabi Yusuf. Oleh itu tidak wajar namanya dijadikan doa kerana ia melibatkan implikasi hukum. Namun secara kesusasteraan dan kebudayaan, nama Zulaikha telah diterima umum oleh masyarakat Islam, bagi saya ia boleh diraikan. Tetapi secara sejarah, kita pasti boleh mengkajinya kerana ada banyak rekod dan catatan tentang sejarah Mesir kuno.

Saya bersetuju penuh bahawa di dalam beragama perlu ada dalil yang sahih untuk setiap perkara dan ia tidak boleh direka-cipta. Namun pada satu sisi, sunnah dan sirah memerlukan dua kaedah penilaian yang berbeza.

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto: Frederick Goodall / Sotheby's 

Share this Post: