Antara Simbolisme dan Fesyen Baju Melayu (Bhg 1)

Antara Simbolisme dan Fesyen Baju Melayu (Bhg 1)

Pakaian adalah keperluan asas buat manusia, sama penting dengan makanan dan kediaman. Ia melindungi manusia daripada keadaan cuaca yang pelbagai dan sering berubah. Pakaian juga melindungi bahagian tubuh manusia daripada terdedah dan melindungi aurat mereka.

Bukan sekadar itu, pakaian juga turut menjadi perhiasan buat manusia. Ia tidak dapat dipisahkan daripada fesyen, nilai, identiti dan simbolisme. Pakaian juga mempunyai banyak kategori jenis seperti pakaian kontemporari, pakaian tradisi, pakaian yang menunjukkan komuniti, pakaian sukan dan sebagainya.

Pakaian juga boleh menggambarkan simbol kekuasaan serta pangkat ataupun kedudukan seseorang. Pakaian seragam pasukan keselamatan dan pakaian pemegang jawatan tertinggi sesebuah jabatan pasti berbeza daripada pakaian yang lain.

Malah pakaian juga boleh menjadi simbol status perkahwinan seseorang – apakah dia seorang bujang, duda, sudah berkahwin mahupun balu atau janda. Pakaian juga mempunyai nilai terutamanya secara tradisi seumpamanya pakaian khusus buat majlis perayaan, keraian dan lain-lain lagi.

Semiotisme dan perlambangan pakaian yang ingin penulis bincangkankan di sini bukanlah nilai pakaian dari sisi agama seperti pakaian yang menutup aurat dan apa-apa yang berkaitan dengannya. Penulis cuma ingin membincangkan perspektif simbolisme secara adat di dalam pakaian tradisi masyarakat Melayu terutamanya pemakaian Baju Melayu.

Asal-usul Baju Melayu

Setiap kaum di dunia mempunyai identiti pakaian dan pakaian tradisi mereka yang tersendiri. Maka begitu juga etnik Melayu juga mempunyai pakaian tradisi kebanggaan mereka.

Baju Melayu atau nama asalnya Baju Kurung (lelaki) dikatakan diperkenalkan semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah (Sultan Melaka) sekitar lebih 600 tahun yang lalu. Pada awalnya Baju Melayu berpotongan sedikit sendat, singkat, lengannya tiga suku (sehingga sedikit bawah daripada siku) serta celananya separas bawah betis sahaja.

Jika ada yang berhujah bahawa rekaan Baju Melayu moden yang agak sendat dan tidak berpesak itu mencabuli rekaan tradisional Baju Melayu, maka bagi penulis itu adalah kurang tepat. Kerana ciri-ciri tersebut adalah sebahagian daripada rekaan bentuk asal Baju Melayu.

Sepanjang penulis membaca artikel mengenai Baju Melayu serta sesi sembang santai bersama orang-orang yang berpengalaman, adalah sukar untuk menggaris masa-kan secara terperinci setiap evolusi dan perubahan rekaan Baju Melayu daripada bentuk asal sehingga ke bentuk potongan yang wujud sehingga ke hari ini serta pemekaran simbolismenya.

Mulanya pengenalan Baju Melayu cuma membawa bermaksud untuk membezakan pakaian orang Melayu atau penduduk Melaka dengan pedagang-pedagang daripada Arab, India, Cina dan sebagainya. Ia juga menunjukkan ketinggian peradaban dan kebudayaan orang-orang Melayu tatkala itu kerana mempunyai rekaan pakaian yang tersendiri.

Ciri-ciri Baju Melayu dan Simbolismenya

Penulis percaya bahawa sudah ramai mengetahui dan tidak dapat disangkal bahawa Baju Melayu sering dikaitkan dengan simbolisme Islami dan falsafah keMelayuan.

Kolar Cekak Musang misalnya dikaitkan dengan pepatah Melayu “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

Butang lima dan butang tujuh pula dikaitkan dengan simbolisme solat lima waktu, lima rukun Islam, tujuh tingkatan syurga dan tujuh petala bumi serta langit.

Pesak yang berjahitan enam tulang (tiga di sebelah kiri dan tiga di sebelah kanan) pula melambangkan enam rukun Iman.

Poket tampal yang tiga pula membawa maksud Islam, Iman dan Ihsan ataupun simbolisme Allah, Rasulullah dan Jibril.

Namun begitu pada zaman permulaannya ciri-ciri Baju Melayu adalah jauh lebih ringkas. Antara ciri-ciri Baju Melayu zaman awal yang dapat digariskan ialah:

  1. Tanpa kolar dan mirip leher bulat baju Teluk Belanga. Tiada kolar Cekak Musang.
  2. Jika tanpa kolar, sudah pasti juga tiada butang lima atau tujuh.
  3. Jika asalnya Baju Melayu sedikit sendat maka sudah pasti ianya tiada kekek dan pesak.
  4. Awal dahulu Baju Melayu tiada tiga poket bertampal.

Semua ciri-ciri seperti kolar Cekak Musang, butang lima atau tujuh, kekek serta pesak dan tiga poket bertampal cuma evolusi atau penambahbaikan yang terkemudian dan dari masa ke semasa.

Jika ciri-ciri khas tersebut tiada pada awalnya, maka sudah pastilah tiada simbolisme yang memaknainya. Ini membuktikan segala simbolisme dan perlambangan tersebut cumalah idea yang menyusup terkemudian.

Sebagai contoh yang mudah, Baju Melayu yang asal cuma kelihatan seperti busana yang dikenakan oleh Tan Sri P. Ramlee dan Dato’ M. Nasir semasa melakonkan watak Hang Tuah.

Bersambung dalam Bahagian 2.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto ihsan Wikipedia

Share this Post: