AMALAN PEMAKANAN UNTUK ANAK-ANAK SEMASA DEMAM DAN SELESEMA

AMALAN PEMAKANAN UNTUK ANAK-ANAK SEMASA DEMAM DAN SELESEMA

Semua ibu bapa sememangnya sehabis baik mahu melindungi anak-anak daripada demam dan selesema.

Namun, kedua-dua demam dan selesema ini boleh dikatakan tidak dapat dielakkan.    

Punca utama demam boleh disebabkan oleh jangkitan virus, kuman. Demam juga boleh terjadi akibat masalah yang berlaku pada badan seperti terdedah kepada cuaca yang terlalu panas atau keradangan organ di dalam badan.

Punca utama selsema pula adalah disebabkan oleh jangkitan virus atau kuman yang menjangkiti salur pernafasan. Selesema juga boleh terjadi disebabkan cuaca yang terlalu sejuk serta alahan kepada habuk, debunga atau bulu haiwan.

Demam dan selesema bukanlah satu penyakit, tetapi satu gejala yakni tindak balas normal badan bagi melawan jangkitan kuman atau virus.

Secara purata, demam dan selesema terjadi sekitar 2 hingga ke 5 kali setahun bagi golongan dewasa dan lebih-lebih lagi bagi golongan kanak-kanak dan bayi.

Ini adalah kerana sistem daya lawan jangkitan mereka lebih lemah berbanding orang dewasa. 

Tambahan pula, kanak-kanak dan bayi yang dihantar ke pusat asuhan lebih terdedah dengan penyebaran virus dari rakan-rakan seasuhan lainnya.   

Menjaga anak yang demam atau selesema semestinya tidak mudah. Anak akan merengek dan mahu menempel sepanjang masa, menangis dan kurang aktif. Tambah merisaukan apabila anak tidak mahu makan langsung.

Bagaimana untuk berhadapan dengan situasi anak-anak demam atau selesema yang langsung tidak mahu makan ini?

Dalam keadaan badan yang sedang berperang dengan virus atau kuman, semestinya kita tahu anak-anak pasti memerlukan nutrien yang mencukupi untuk menggantikan nutrien yang hilang selain untuk mengelakkan kekurangan berat badan semasa anak tidak sihat.

Pertama, jangan paksa anak makan. Pastinya anak yang sedang demam atau selesema kurang berselera. Anda boleh galakkan mereka mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap.

Jika anak anda masih menyusu, kerapkan menyusu dan kerap memberi air kosong untuk anak usia 6 bulan ke atas bagi mengelakkan dehidrasi terutamanya jika anak mengalami cirit-birit dan muntah-muntah.

Anda juga boleh menyediakan makanan yang ringkas tetapi berkhasiat seperti sup ayam yang kebiasaannya menjadi kesukaan ramai kanak-kanak. Tambahkan sayur-sayuran di dalam sup ayam tersebut seperti lobak merah, kentang dan daun sup, dan lebihkan bawang putih.

Sup ayam mengandungi protein daripada ayam, serat dan vitamin daripada lobak dan daun sup serta karbohidrat daripada kentang. Sudah cukup lengkap protein, serat dan karbohidrat walaupun dihidang tanpa nasi.

Bawang putih pula mampu mempertingkatkan fungsi imun. Kajian menunjukkan bawang putih mempunyai sifat antibacterial dan antiviral yang mampu membantu melawan jangkitan. Pengambilan bawang putih semasa selesema dapat membantu mengelakkan simptom menjadi lebih teruk dan mempercepatkan proses penyembuhan.

Tawarkan juga buah-buahan yang kaya dengan vitamin C seperti strawberi, tomato dan buah oren. Potong dan simpan sekejap di dalam peti sejuk, tawarkan kepada anak anda semasa buah-buahan tersebut masih sejuk. Ini dapat menarik minat anak anda supaya lebih berselera menikmati buah-buahan sejuk.

Seterusnya, yogurt. Yogurt bukan sahaja mengandungi protein dan mambantu melegakan sakit tekak, yogurt juga boleh meningkatkan sistem imun tubuh.

Semasa proses penyembuhan, kebiasaannya dalam tempoh penyembuhan ini, selera anak sudah mulai baik walaupun bukan sepenuhnya. Gunakan peluang ini untuk menarik semula selera anak dengan hidangan yang menarik dan berkhasiat.

Banyakkan menyediakan hidangan yang ada sayuran hijau dan makanan yang kaya dengan sumber protein seperti ayam, telur, daging dan ikan.

Ini akan membantu anak anda menggantikan semula nutrien yang hilang dan mendapatkan semula berat badan yang mungkin telah hilang semasa demam atau selesema.

Tidak mudah memujuk anak yang yang tidak sihat untuk makan, tambahan pula dengan tiada selera makan. Namun usaha pujukan yang konsisten sekurang-kurangnya dapat memastikan anak masih mendapat nutrien yang diperlukan oleh badan di saat-saat genting semasa badan memerlukannya untuk berperang dengan kuman atau virus.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

http://www.myhealth.gov.my/feeding-sick-children/

https://www.unicef.org/eap/feeding-sick-children-during-covid-19-pandemic

https://www.healthline.com/health/what-to-eat-when-you-have-the-flu#avoid

Kredit foto: momjunction.com

 

Share this Post: