ALOPECIA DAN GURAUAN

ALOPECIA DAN GURAUAN

Baru-baru ini kecoh tentang perselisihan antara dua bintang Hollywood, Will Smith dan Chris Rock di pentas berprestij Anugerah Akademi (Oscar) ke-94 yang berlangsung di Los Angeles.

Perselisihan tersebut bukan sahaja mengejutkan penonton di Dolby Theatre, malah penonton dari seluruh dunia yang menyaksikan siaran langsung anugerah tersebut yang disiarkan melalui siaran TV antarabangsa.

Kejadian bermula apabila Chris Rock menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik berlawak tentang penampilan isteri Will Smith, iaitu Jada Pinkett Smith yang berpenampilan botak.

“Jada, can’t wait for G.I. Jane 2…”

Gurauannya merujuk kepada filem yang ditayangkan pada tahun 1997 dahulu yang dibintangi oleh Demi Moore yang berimej botak dalam filem tersebut.

Gurauan itu mungkin agak sensitif bagi Jada Pinkett Smith yang menunjukkan reaksi kurang senang kerana beliau membotakkan kepalanya bukanlah kerana fesyen tetapi kerana penyakit Autoimmune Alopecia Areata yang dihidapinya.

Bukan kerana fesyen, tapi penyakit Autoimmune Alopecia Areata

Penyakit autoimmune adalah penyakit yang disebabkan oleh sistem imun badan seseorang itu menyerang sel atau tisu badannya sendiri.

Kecelaruan ini terjadi apabila sistem imun tidak dapat membezakan sel atau tisu badan yang sihat dengan sel asing yang patut diserang.

Penyakit autoimmune umumnya mempunyai banyak jenis. Salah satunya adalah penyakit autoimmune jenis alopecia yakni sistem imun badan menyerang folikel-folikel rambut yang sihat.

Keadaan ini boleh terjadi pada kulit kepala atau mana-mana bahagian tubuh yang lain. Sistem imun badan akan menyerang sel yang terdapat di folikel-folikel rambut dan menyebabkannya mengecut serta melambatkan pengeluaran rambut secara mendadak.

Kesannya, rambut akan gugur dengan banyak dan menimbulkan tompok-tompok botak di kepala.

Punca

Punca terjadinya penyakit ini masih belum diketahui dengan tepat. Namun saintis lebih cenderung mengaitkan penyakit autoimmune jenis Alopecia Areata ini dengan faktor genetik.

Satu daripada lima penghidap penyakit alopecia mempunyai ahli keluarga yang juga menghidapi penyakit sama.

Simptom

Antara simptom yang dapat diperhatikan bagi penghidap penyakit ini adalah keguguran rambut yang bertompok-tompok di kulit kepala. Tempat tumbuh rambut pada bahagian tubuh yang lain seperti janggut, misai, kening dan bulu mata juga berkemungkinan terjejas oleh penyakit ini.

Simptom lain termasuklah keguguran rambut yang mendadak iaitu hanya dalam beberapa hari atau minggu sahaja. Gatal-gatal atau rasa terbakar di kawasan tompok rambut gugur sebelum keguguran rambut.

Kategori Alopecia Areata

Terdapat beberapa kategori bagi keadaan Alopecia Areata iaitu:

Alopecia Areata Totalis - keguguran keseluruhan rambut di kepala

Alopecia Areata Universalis - keguguran rambut/bulu pada keseluruhan tubuh.

Diffuse Alopecia Areata - penipisan rambut secara mendadak

Ophiasis Alopecia Areata - keguguran rambut dalam bentuk jalur di sekeliling sisi dan belakang kepala.

Rawatan

Tiada penawar untuk penyakit Alopecia Areata. Namun begitu, terdapat beberapa rawatan yang mampu mengembalikan rambut yang telah gugur.

Antara rawatan yang paling biasa untuk penyakit ini adalah penggunaan corticosteroids, iaitu ubat antiradang yang dipreskripsi untuk penyakit autoimmune sama ada diambil melalui suntikan, sapuan atau sebagai ubat makan.

Bagi penghidap Alopecia yang hanya mengalami beberapa tompokan kecil keguguran rambut, keadaan itu kebiasaannya pulih tanpa sebarang bentuk rawatan.

Hal ini adalah kerana folikel rambut tidak dimusnahkan sekali gus membolehkan rambut untuk tumbuh semula jika keradangan folikel sudah berkurangan.

Kesan Alopecia Areata terhadap emosi penghidapnya

Alopecia Areata tidak membuat penghidapnya jatuh sakit secara langsung, Penyakit ini juga bukanlah penyakit berjangkit tetapi penyakit ini sangat memberi impak kepada mental dan emosi penghidapnya.

Bayangkan perasaan seseorang yang sedang bergelut menghadapi kemungkinan dirinya akan menjadi botak terutamanya bagi penghidap wanita, sudah tentu akan timbul rasa malu, rasa lain daripada orang lain dan keyakinan diri yang menurun.

Perasaan-perasaan tersebut membuatkan penghidapnya sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru mereka dan tentunya mengganggu emosi.

Bagi Jada Pinkett Smith sendiri, beliau pernah memberitahu dalam satu episod Red Table Talk pada tahun 2018 tentang pergelutan emosinya semasa menghadapi kehilangan rambut yang menjadi mahkota wanita kebanggaannya.

Jadi, jika tanpa melihat kepada reaksi suaminya Will Smith terhadap Chris Rock pada malam berprestij yang menjadi tumpuan itu, adakah anda rasa penyakit Autoimmune Alopecia Areata ini wajar dijadikan bahan gurauan?

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu merantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/guide/alopecia-areata

https://www.medicalnewstoday.com/articles/70956#causes

(Kredit foto: newsnationusa.com)

Share this Post: