Alkisah Judi di Malaysia

Alkisah Judi di Malaysia

Banyak perkara pelik berlaku menjelang pilihan raya. Salah satunya adalah cadangan Naib Presiden Gerakan untuk membina kasino bertaraf dunia di Pulau Pinang sebagai manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk PRU15.

Adakah mereka tidak peka dengan lambakan kes aduan masyarakat yang diperas ugut along akibat hutang berjudi?

Atau ini hanyalah satu aksi politik murahan tidak bercita rasa untuk memberitahu bahawa mereka masih lagi wujud dalam lapangan politik Malaysia? Bad publicity is still a publicity. Dan, kita mula diingatkan semula tentang kewujudan Gerakan yang lama tenggelam selepas prestasi corot PRU14.

Malaysia tanpa kasino baharu

Malaysia ada satu kasino. Malaysia masih lagi negara yang mesra dengan aktiviti perjudian walau tanpa pembinaan kasino baharu.

Terdapat lima induk Agensi Nombor Ramalan (NFO) berlesen, dengan 1658 lesen untuk operator dan pusat jualan NFO seluruh Malaysia. 3 hari cabutan seminggu, 156 hari cabutan setahun dan tambahan bilangan cabutan khas mengikut kompas moral kerajaan yang memerintah.

Pada tahun 2018, Kerajaan Barisan Nasional menetapkan cabutan khas sebanyak 22 kali setahun. Pada tahun 2019, bilangan cabutan khas dikurangkan kepada 11 kali dan semasa Kerajaan Pakatan Harapan memerintah, bilangan cabutan khas dikurangkan lagi kepada 8 cabutan sahaja.

Maklumat ini hanyalah berkaitan dengan Agensi Nombor Ramalan berlesen, tidak termasuk aktiviti perjudian haram sama dalam talian atau outlet-outlet tidak berlesan.

Judi dalam krisis ekonomi

Perniagaan berasaskan perjudian adalah perniagaan kalis rugi semasa krisis ekonomi. Laporan The Star pada 19 Mei 2022 menunjukkan bahawa pendapatan NFO meningkat 30% pada suku pertama 2022 iaitu RM501.04 juta berbanding pendapatan pada suku pertama tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM383.9 juta (akibat MCO).

Pendapatan NFO boleh menjangkau lebih tinggi daripada yang dilaporkan sekiranya tidak mendapat persaingan daripada pengusaha judi (haram) dalam talian.

Namun begitu, impak perjudian berbeza kepada pengguna. Secara idealnya, para pengguna yang rasional akan mengurangkan aktiviti perjudian semasa berlakunya kegawatan ekonomi dan mula berbelanja dengan hemah untuk keperluan harian.

Namun, realitinya tidak begitu. Kegawatan ekonomi membawa kepada ketidakpastian dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Perjudian menawarkan deruan adrenalin yang memberi ketahanan kepada diri untuk melalui kehidupan mencabar.

Nah, jika tuah bertandang, hari itu akan menang! Nasib malang hari ini tidak bermakna malang selama-lamanya. Kitaran ini membawa kepada ketagihan yang sukar dikawal.

Perjudian adalah ketagihan. Ketagihan ini patut dilihat seperti ketagihan dadah dan ketagihan alkohol yang perlu mendapat rawatan sewajarnya.

Kajian oleh penyelidik daripada Universiti Kyoto iaitu Hidehiko Takahashi menunjukkan bahawa ketagihan judi membuatkan seseorang mengambil keputusan berisiko tinggi meskipun hasilnya merugikan diri sendiri. Hal ini dibuktikan apabila ujian MRI dilakukan terhadap bahagian dorsolateral prefrontal cortex yang teradaptasi akibat stimulasi aktiviti perjudian yang memberi kesan kepada penyelesaian masalah, mempertimbangkan keputusan, kawalan emosi dan pelbagai hal lainnya.

Kajian daripada kumpulan sokongan ketagihan judi di Australia menunjukkan bahawa satu orang berjudi akan memberi kesan kepada 7 orang di sekelilingnya.

Ketagihan tanpa pemulihan

Tidak banyak kajian akademik berkenaan isu perjudian yang dijalankan di Malaysia. Namun begitu, aktiviti perjudian ini bukanlah isu yang tidak signifikan malahan kerajaan Malaysia menikmati hasil cukai lumayan melalui aktiviti perjudian − pengendali agensi perjudian juga menikmati keuntungan berjuta-juta.

Masyarakat yang terjejas dengan aktiviti perjudian bagaimana?

Laporan akhbar secara konsisten memaparkan banyak kes jenayah akibat daripada aktiviti perjudian seperti perpecahan keluarga dan tekanan ekonomi keluarga yang terjejas akibat perjudian.

Di Malaysia, tiada kemudahan rawatan ketagihan judi berstruktur yang ditawarkan oleh pusat-pusat pemulihan atau hospital-hospital kerajaan melainkan yang ditawarkan oleh bahagian psikologi hospital swasta. Di peringkat kementerian, tiada usaha yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran bahaya judi mahupun intervensi untuk mengekang penglibatan individu yang telah mengalami kesan yang teruk akibat perjudian.

Melihat Singapura Bekerja

Di Singapura, National Council of Problem Gambling (NCPG) bekerjasama dengan Ministry of Social and Family Development (MSF) untuk mengendalikan masalah yang timbul akibat perjudian. NCPG juga melaksanakan Casino Exclusion and Visit Limit mengikut Casino Control Act yang melibatkan larangan memasuki kasino dengan beberapa cara. Salah satunya ialah pengecualian diri; permohonan mengecualikan diri secara sukarela daripada kasino di Singapura.

Kedua ialah pengecualian keluarga; ahli keluarga terdekat boleh memohon untuk mengecualikan individu dalam keluarga daripada memasuki kasino di Singapura. Perkara ini penting untuk melindungi keluarga daripada bahaya akibat tabiat judi.

Ketiga, ialah pengecualian oleh undang-undang yakni penerima bantuan kewangan kerajaan, individu yang tinggal di flat sewa bersubsidi dan mempunyai tunggakan sewa 6 bulan atau lebih, penerima bantuan guaman dan bankrup; tidak dibenarkan untuk memasuki kasino tempatan, memasuki pusat jackpot, dan tidak dibenarkan membuka akaun pertaruhan dalam talian dengan pengendali tertentu.

Di Malaysia, kita sudah terbiasa dengan tunggu dan lihat, sudah parah baru rawat.

Menjelang pilihan raya

Cadangan manifesto membuka kasino terkemuka dunia adalah sangat dangkal. Di saat negara lain mula merangka pelan ekonomi mesra kesejahteraan mental manusia dan alam, Gerakan masih lagi dengan idea katak di bawah tempurung; regresif dan hedonis.

Hal ini jelas membuktikan Gerakan sebagai parti ketinggalan zaman yang tidak releven di Malaysia.

Semestakata; setiap malam mendengar suara semesta.

Kredit foto: Okezone Nasional

Share this Post: