Alahai, susahnya bangun pagi!

Alahai, susahnya bangun pagi!

Jika anda berasakan kesukaran yang amat sangat untuk bangun dan meninggalkan tilam empuk pada waktu pagi, anda mungkin sedang mengalami Dysania. Dysania adalah satu keadaan anda bergelut dengan diri sendiri untuk bangun dari tempat tidur.

Hal ini boleh memakan masa antara 1 ke 2 jam selepas anda terjaga daripada tidur. Jika anda berjaya bangun dari tempat tidur sekalipun, anda akan mempunyai keinginan yang kuat untuk kembali tidur. Dalam kata lain, anda tidak produktif pada waktu pagi.

Masalah ini sedikit sebanyak mengganggu aspek kehidupan anda seperti prestasi kerja yang kurang memberangsangkan.

Dysania bukan sejenis penyakit. Para doktor tidak mengiktirafnya sebagai satu keadaan perubatan. Sebaliknya, Dysania adalah satu simptom bagi keadaan perubatan tertentu seperti kemurungan, Chronic Fatigue Syndrome (CFS), masalah gangguan tidur dan beberapa penyakit lain lagi.

Terdapat juga punca lain terjadinya Dysania seperti ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat penyakit-penyakit yang disebutkan di atas seperti ubat antidepressant.

Untuk merawat Dysania, anda perlu mencari punca yang mencetuskan simptom tersebut dahulu. Namun begitu, kita boleh mengamalkan tabiat tidur yang baik bagi mendapatkan tidur yang teratur dan berkualiti.

Pertama, atur jadual tidur yang seragam setiap malam. Kebiasaan ini membantu untuk memberi isyarat kepada badan untuk bersedia tidur pada waktu yang telah ditetapkan.

Kedua, elakkan alkohol dan kafein. Bahan kimia dalam alkohol dan kafein akan merangsang saraf untuk terus aktif. Jadi, pengambilan bahan ini tidak membantu anda untuk beristirahat pada waktu malam.

Ketiga, elakkan melihat skrin telefon pintar sekurang-kurangnya 30 minit sebelum tidur. Cahaya biru daripada telefon pintar mampu mengganggu kitaran tidur anda.

Keempat, sediakan tempat tidur yang selesa. Tempat tidur yang selesa akan memberi ketenagan pada badan, mengelakkan sakit-sakit otot, dan pastinya membuat anda tidur nyenyak setiap malam!

Jika masalah ini masih tidak dapat diatasi, berjumpalah dengan doktor untuk mengelakkan masalah semakin memudaratkan.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.webmd.com/mental-health/what-is-dysania

https://www.healthline.com/health/dysania#takeaway

(Kredit foto: factualfacts.com)

Share this Post: