AIR HUJAN, BOLEH MINUM KE?

AIR HUJAN, BOLEH MINUM KE?

Terbaru, dilaporkan oleh sekumpulan penyelidik dari University Stockholm, Sweden dan ETH Zurich, Switzerland bahawa air hujan yang dirawat sudah tidak lagi selamat untuk diminum.

Menurut kajian yang diterbitkan pada Ogos 2022 baru-baru ini, air hujan di seluruh dunia dilaporkan terlalu tercemar dengan bahan kimia per- and poly-fluoroalkyl substances (PFAS) menjadikannya tidak lagi selamat untuk tujuan minuman.

Apa itu per- and poly-fluoroalkyl substances (PFAS)?

PFAS adalah satu kumpulan bahan kimia sintetik yang mengandungi atom karbon, fluorin dan elemen-elemen lain.

Semua bahan kimia di bawah kumpulan PFAS ini mengandungi struktur rantaian karbon yang terikat pada atom fluorin. Sesetengah PFAS mengandungi kumpulan berfungsi yang berbeza.

Perbezaan dalam struktur kimia inilah yang menjadi asas kepada perbezaan nama dan sifat kimia untuk setiap PFAS.

Bagi per-fluoroalkyl, semua atom karbon kecuali yang terakhir terikat pada fluorin. Karbon terakhir pula terikat pada kumpulan berfungsi tertentu.

Manakala, bagi bahan poly-fluoroalkyl, sekurang-kurangnya satu atom karbon terikat pada fluorin.

PFAS memiliki ciri-ciri yang diingini oleh industri dan pengguna iaitu tahan haba, kalis air, kalis kotoran, kalis minyak dan gris.

Oleh itu, PFAS digunakan secara meluas sejak 1940-an untuk membuat salutan fluoropolymer dan produk-produk tahan haba, kalis minyak, kotoran, gris serta kalis air.

Antara produk salutan fluoropolymer termasuklah pakaian, perabot, bungkusan makanan, periuk non-stick, kertas, cat, baju kalis hujan dan banyak lagi.

Asid perfluorooctanoic (PFOA) dan asid perfluorooctanesulfonic (PFOS) adalah dua PFAS yang paling terkenal yang telah tersebar secara meluas dan sangat membimbangkan di seluruh dunia.

Kebanyakan PFAS, termasuk PFOA dan PFOS menjadi kebimbangan kerana bahan kimia ini tidak boleh diuraikan, boleh tersebar melalui tanah dan air serta boleh terkumpul dalam tubuh hidupan.

Oleh sebab sifatnya yang tidak dapat diuraikan oleh alam, PFAS mendapat jolokan “forever chemicals”. Bahan kimia selamanya, yang akan kekal selamanya dalam persekitaran.

Sesetengah jenis PFAS, walaupun tidak mudah diuraikan, dianggap sebagai bahan kimia lengai kerana tidak memiliki kumpulan kimia reaktif pada strukturnya.

Lain-lain PFAS memiliki kumpulan reaktif, sebagai contoh, PFOA dan PFOS yang memiliki kumpulan asid sulfonik dan carboxylic.

Dalam kajian yang diterbitkan dalam Environmental Science & Technology tersebut, para penyelidik mengkaji empat bahan kimia dalam kelas PFAS ini iaitu asid perfluorooctanesulfonic (PFOS), asid perfluorooctanoic (PFOA), asid perfluorohexanesulfonic (PFHxS) dan asid perfluorononanoik (PFNA) dalam pelbagai media persekitaran global termasuklah tanah, air hujan dan permukaan air.

Hasil kajian menunjukkan PFAS yang terkandung dalam air hujan seluruh dunia telah melebihi paras garis panduan yang ditetapkan.

Begitu juga dengan tanah, sungai, tasik serta haiwan darat dan laut. Menyedihkan, bahan kimia ini sudah tersebar ke seluruh dunia termasuk ke kawasan-kawasan yang terpencil di muka bumi menjadikan tidak ada lagi ruang selamat di bumi untuk kita elak daripada bahan-bahan ini.

Paras PFAS dalam atmosfera adalah “irreversible”. Bahan kimia ini bukan sahaja tidak boleh diuraikan, malah berupaya untuk berkitar dalam hidrosfera bumi.

PFAS yang diserap oleh tubuh manusia akan terus terkumpul dalam badan.

Menurut U.S. Centers for Disease Control and Prevention (CDC), pendedahan kepada bahan kimia ini boleh mendatangkan pelbagai risiko kesihatan. Antaranya termasuklah kerosakan hati, kanser, masalah tumbesaran, masalah kesuburan, penyakit tiroid dan risiko asma yang lebih tinggi.

Teknologi hari ini mampu menapis PFAS daripada air minuman, terutamanya PFOA dan PFOS.

Teknologi tersebut adalah activated carbon adsorption, ion exchange resins, and high-pressure membranes.  

Teknologi ini boleh didapati dalam penapis air tertentu bagi tujuan rawatan air minuman pada hari ini.

Air hujan sudah tidak lagi selamat untuk diminum.

Dengan pendedahan daripada kajian ini dan kajian-kajian lain berkaitan PFAS, adalah sangat penting bahawa penggunaan dan pelepasan PFAS dihadkan dengan cepat.

Semua pihak termasuk orang ramai perlu mencari jalan bagi mengurangkan risiko penyerapan PFAS ke dalam badan, sama ada daripada persekitaran, makanan atau minuman.

Pilih air minuman yang telah melalui penapisan dengan teknologi yang boleh penapis PFAS.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://pubs.acs.org/doi/pdf/10.1021/acs.est.2c02765

https://www.epa.gov/sciencematters/reducing-pfas-drinking-water-treatment-technologies

https://www.cdc.gov/biomonitoring/PFAS_FactSheet.html

Kredit foto: xdd-llc.com

Share this Post: