ADAKAH TUALA MANDI ANDA BERSIH?

ADAKAH TUALA MANDI ANDA BERSIH?

Selepas penat melakukan aktiviti harian, tiba masanya untuk membersihkan diri di bawah pancuran air dengan sabun yang wangi lagi menyegarkan.

Segar dan wangi.

Kemudian, anda mengelap tubuh anda dengan sehelai tuala, dan malangnya tuala tersebut sudah hampir seminggu digunakan tanpa ditukar.

Anda rasa badan yang telah dibersihkan dengan air bersih dan sabun wangi tadi masih kekal bersih?

Tahukah anda setiap kali anda menggunakan tuala, tuala menjadi lembap selama beberapa jam? Keadaan yang lembap ini menjadikan tuala sebagai lubuk pembiakan bakteria.

Tuala yang kotor berpotensi menyebarkan virus dan bakteria. Penggunaan tuala yang kotor juga boleh mengakibatkan kerengsaan kulit.

Kajian menunjukkan tuala mandi yang kotor mengandungi bakteria seperti E.coli dan methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA).

Jangan sesekali berkongsi tuala.

Pada tahun 2003, satu wabak jangkitan kulit dan tisu lembut (SSTI) berkaitan bakteria MRSA telah berlaku dalam kalangan satu pasukan bola sepak kolej.

Setelah disiasat, didapati antara punca yang menyebabkan jangkitan tersebut merebak dalam kalangan pemain bola sepak pasukan tersebut adalah berkongsi sabun buku dan mempunyai luka sedia ada, kedudukan loker yang rapat dengan pemain yang telah dijangkiti SSTI serta berkongsi tuala.

Jangkitan MRSA boleh berpunca dan merebak daripada tuala dan linen. Tahap amalan kebersihan yang tidak dijaga memudahkan seseorang terdedah kepada jangkitan ini.

Selain itu, tubuh manusia juga menghasilkan sel kulit mati. Sesetengah daripadanya tertanggal semasa anda sedang mandi dan sesetengah lagi berkemungkinan besar melekat pada tuala mandi semasa anda mengelap tubuh anda.

Semakin lama tuala dibiarkan tidak dicuci, semakin banyak bakteria, kulat dan virus membiak dan kekal aktif pada tuala tersebut.

Dalam satu kajian yang dijalankan berkaitan jenis dan jumlah bakteria yang terdapat pada tuala lap tangan di dapur mendapati kehadiran bakteria coliform dan E.coli. Manakala, kehadiran bakteria E. coli pula bergantung kepada kekerapan tuala lap tangan tersebut dicuci.

Semakin kerap tuala dibasuh, semakin sedikit kehadiran bakteria E.coli yang terdapat pada tuala.

Walaupun tuala mandi memang tidak akan benar-benar bebas kuman, sekurang-kurangnya jumlah bakteria yang terkumpul pada tuala mandi boleh dihadkan dengan mencucinya dengan lebih kerap.

Jadi, berapa kerapkah kita perlu mencuci tuala?

American Cleaning Institute menyarankan agar tuala mandi dicuci selepas 3 hingga 5 kali penggunaan. Tuala mestilah dibiarkan kering terlebih dahulu sebelum digunakan semula. Tuala mesti disangkut setiap kali selepas digunakan.

Cara cuci yang berkesan untuk membasmi bakteria pada tuala adalah mencuci dengan air suam dan sabun. Ini sudah mencukupi untuk membasmi bakteria, kulat atau virus yang terdapat pada tuala.

Jika tuala berbau lembap atau hapak, cuba rendam tuala di dalam cuka untuk menghilangkan bau. Kemudian, sidai pada tempat jemuran untuk melunturkan kesan dan menghilangkan bau.

Jangan membebankan mesin basuh dengan muatan yang terlalu sarat. Tuala tidak akan mendapat sabun, air dan pergerakan cucian yang mencukupi jika mesin basuh disaratkan dengan terlalu banyak fabrik lain.

Paling penting, jangan sesekali berkongsi tuala mandi dengan orang lain.

Kebanyakan bakteria tidak mendatangkan bahaya. Tubuh kita berupaya beradaptasi untuk dapat hidup dalam persekitaran dengan mikroorganisma-mikroorganisma ini di sekeliling.

Namun begitu, seseorang berpotensi mendapat jangkitan jika berkongsi tuala dan mengalami luka sedia ada ataupun melecet yang boleh menyebabkan mikroorganisma daripada tuala berpindah masuk ke dalam badan.

Jadi, satu tuala mandi untuk satu individu.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://wwwnc.cdc.gov/eid/article/11/4/04-1094_article

https://experts.arizona.edu/en/publications/bacterial-occurrence-in-kitchen-hand-towels

https://www.cleaninginstitute.org/cleaning-tips/clothes/laundry-basics/do-i-need-wash

Kredit foto: popsugar.com

Share this Post: