Hutan, anugerah terbesar Tuhan untuk alam.
Menafikan kepentingan hutan kepada umat manusia umpama menafikan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Anak boleh mati tanpa ibunya, begitu juga manusia, boleh mati tanap hutannya.
Di sebalik kebergantungan kita kepada hutan, kita masih membenarkan hutan-hutan ini digondol dan diratah dek ketamakan kita yang berselindung di sebalik kemajuan.
Dari 2015 sehingga 2020, dianggarkan sekitar 10 juta hektar hutan telah dinyahhutan (deforestration) di seluruh dunia dan pertanian - perbuatan bercucuk tanam, melahirkan tumbuhan baru ironinya terus menjadi punca utama penyahhutanan ini berlaku.
Walaupun, kadar penyahhutanan sudah menurun berbanding pada dekad 1990-an kadarnya masih pada tahap yang membimbangkan. Perlakuan ini merupakan penyumbang utama kepada kemusnahan biodiversiti.
Selain berfungsi sebagai habitat kepada kepelbagaian biodiversiti yang terdapat di muka Bumi, hutan juga merupakan penyumbang kepada satu pertiga jumlah oksigen yang terdapat di dalam atmosfera Bumi (selebihnya, lebih kurang dua pertiga oksigen di Bumi dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan yang berada di lautan).
Tambahan pula, hutan juga merupakan komponen utama yang mengurangkan kesan perubahan iklim yang mengakibatkan peningkatan suhu global yang mempengaruhi perubahan cuaca yang lebih ekstrem seperti kemarau yang berpanjangan dan peningkatan berlakunya ribut taufan yang sudah tentu akan memberikan kesan yang dahsyat kepada ekonomi dan kehidupan manusia itu sendiri.
Di samping itu, ekosistem hutan juga berperanan sebagai perangkap air yang memainkan peranan penting dalam kitaran air semulajadi. Dan, hutan juga berfungsi sebagai penebat banjir semulajadi yang menghalang daripada berlakunya banjir dan juga melindungi daripada berlakunya hakisan terhadap tanah.
Tetapi dek keangkuhan dan ketamakan manusia, dalam kita tidak sedar atau berpura-pura gagal untuk menyedarinya, kita sentiasa bersikap biadab terhadap hutan dan gagal menghormatinya.
Kebiadaban terhadap Hutan
Bukan, bukan, dan bukan, ini bukan soal DENGKI bukan juga UJIAN atau BALA daripada Tuhan, cuma berlabun kosong tentang hutan di Bumi Emas yang menjadi anugerah TERAGUNG daripada Yang Maha Esa kepada penghuni bumi bertuah.
Kedudukan Bumi Emas yang terletak berhampiran khatulistiwa dan mempunyai iklim yang panas yang lembab sepanjang tahun selama jutaan tahun telah menyaksikan pembentukan hutan hujan tropika.
Hutan hujan tropika dikenali sebagai ‘juara’ berbanding jenis-jenis hutan yang lain kerana ia merupakan hutan yang sangat menyokong pertumbuhan pelbagai jenis biodiversiti di atas muka Bumi ini.
Jadi, tidak hairanlah andai hutan-hutan yang terdapat di Asia Tenggara dan termasuk yang berada di Malaysia, dikatakan sebagai sebagai hujan tropika yang tertua dan yang paling mempunyai kepelbagaian biodiversiti di dunia.
Tetapi, sayang seribu sekali sayang. Di sebalik jutaan kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di hutan negara kita, kita sebagai penghuni yang mendiami Bumi Emas ini gagal untuk menahan dan melawan nafsu untuk menjaga serta memastikan kepelbagaian ini dijaga sebaik mungkin untuk anak cucu kita.
Mungkin kerana ada pihak yang terlalu sombong dan terlalu lama tinggal di ‘langit’. Mereka ini hanya menganggap apa yang ada di atas muka Bumi ini sebagai ‘lubuk’ wang ringgit untuk terus kekal menongkat di langit dan hanya menjadi berhala-berhala sembahan tanpa fungsi hanya merugikan anak bangsa.
Mungkin juga kerana ada yang terlalu gila menggangap dunia ini hanya sebagai ‘persinggahan sementara’ dan sewenang-wenangnya memusnahkan alam dan lebih buruk lagi apabila perbuatan ini dilakukan dengan berselindung di sebalik nama Tuhan.
Ya, inilah sekelompok manusia yang sering berbicara tentang adab dan Tuhan tetapi gagal menjaga anugerah-Nya malah terang-terang bersikap biadab kepada alam.
Bersikap biadab terhadap mereka yang menjadikan hutan sebagai tempat untuk mencari rezeki, di samping meneruskan cara hidup nenek moyang mereka yang mengabdikan diri dan menghormati alam semulajadi yang menjadi pelindung sejak sekian lama.
Selayaknya mereka ini dijadikan makanan kepada Pak Belang atau dijadikan ‘punching bag’ kepada kumpulan gajah yang mengamuk apabila tempat berteduh mereka hilang dalam sekelip mata dek kerakusan sekelompok manusia yang haloba dan bersikap amat biadab terhadap hutan.
Akhir sekali, hidup ini tentang sebuah pilihan. Kita boleh memilih untuk memakan ROTI atau KEK, terus berjiwa hamba atau memilih untuk berjiwa merdeka, tetapi monyet, gajah, dan harimau tidak mempunyai pilihan seperti kita. Begitu juga anak-anak,cucu-cucu dan generasi seterusnya yang akan mewarisi Bumi Emas ini daripada kita.
Sebagai penutup, pilihan di tangan kita sama ada untuk terus menunduk dan membiarkan alam ini dirosakkan oleh tangan-tangan haloba yang menongkat langit atau kita boleh bersikap kurang ajar untuk memastikan hutan dan alam ini terus terjaga sebagai hadiah untuk generasi akan datang.
Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.
Foto: Flickr
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.