Dunia memang tidak pernah sunyi dari peperangan dan konflik. Kebanyakan sejarah dunia itu sendiri ditulis dari kaca mata dan ditandai oleh titik-titik perang yang pernah dirakam manusia.
Begitu pun banyak peperangan yang silih berganti dalam peradaban kita, Konflik Israel-Palestin boleh dianggap sebagai konflik antara yang terburuk, paling kompleks, dan paling berpanjangan yang pernah dan masih terus berlaku sehingga hari ini.
Berikut adalah 10 fakta penting yang melingkari konflik di Timur Tengah tersebut.
1. Agama atau Tanah?
Ramai dari kalangan kita menganggap Konflik Israel-Palestin sebagai sebuah pertembungan antara dua agama, menggambarkan ia sebagai rentetan daripada permusuhan langka antara Islam dan Yahudi seperti yang sering diulangi dalam sejarah kedua-dua agama, malah mengaitkan juga ia dengan sejarah lain seperti Perang Salib dan sebagainya.
Bagaimanapun, ramai yang tidak sedar bahawa sebelum konflik yang tercetus pada abad ke-19 ini, Palestin yang terakhir sekali menjadi wilayah naungan kepada Kerajaan Uthmaniah adalah sebuah negeri berbilang agama dan kaum di mana masyarakat Islam, Yahudi dan Kristian hidup secara bersama sebagai warga Palestin tanpa sebarang permusuhan ketara seperti hari ini.
Kebangkitan semangat nasionalisma dan kemerdekaan negara bangsa di Eropah pada abad ke-19-lah yang sebenarnya mencetuskan pergerakan Zionisma untuk menuntut agar masyarakat Yahudi di Eropah mempunyai sebuah negara sendiri. Maka konflik di Palestin adalah manifestasi dari perjuangan Zionisma di Eropah untuk menubuhkan sebuah negara sendiri di atas tanah Palestin di Timur Tengah.
2. Palestin yang Berbilang Kaum
Seperti yang disebut di atas, Palestin sebelum abad ke-19, ketika masih berada di bawah Kerajaan Uthmaniyah adalah sebuah negara yang berbilang agama dan bangsa. Ia menjadi tanah suci buat ketiga-tiga agama Samawi (Abrahamic), dan adalah permandangan biasa untuk melihat ketiga-tiga penganut agama tersebut terutama Muslim dan Yahudi saling beribadat dalam kawasan yang sama dengan harmoni.
Selain soal ibadat, adalah menjadi kebiasaan juga bagi masyarakat Islam yang merupakan majoiriti dengan populasi lebih 80% untuk menghantar anak mereka mengikuti pembelajaran dengan guru-guru Yahudi bagi tujuan adab dan percambahan ilmu, selain masyarakat Islam turut membantu masyarakat minority Yahudi dalam persiapan sebelum hari Sabbath. Perkahwinan antara kaum Muslim dengan Yahudi juga bukanlah amalan yang asing, memandangkan ianya dibenarkan dari sisi agama Islam.
3. Mandat British
Selepas Perang Dunia Pertama dan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah, Palestin telah diletakkan di bawah naungan British, yang turut dikenali sebagai British Mandate atau Mandat British. Di bawah Mandat British, masyarakat yang menganuti ketiga-tiga agama berbeza – Islam, Yahudi, dan Kristian telah diasingkan mengikut institusi masing-masing. Dasar pecah dan perintah inilah yang menimbulkan keretakan dalam penyatuan masyarakat Palestin yang akhirnya membenarkan berlakunya pencerobohan dan penaklukan ke atas wilayah Palestin.
Selepas memecah belahkan masyarakat asal Palestin, British akhirnya memulakan kerja-kerja membawa masuk masyarakat Yahudi Eropah yang tidak berkongsi bahasa dan budaya dengan masyarakat asal Muslim dan Yahudi Palestin melalui Deklarasi Balfour 1917. Deklrasi Balfour yang mengumumkan sebuah negara bangsa untuk Yahudi di Palestin adalah hasil daripada kerja-kerja pelobian gerakan Zionis di Eropah yang berjaya menguasai ekonomi dan politik Eropah terutama Inggeris menerusi Setiausaha Luar Britain Arthur Balfour dan Lord Rothschild, pemimpin masyarakat Yahudi Britain. Dari 1920 sehingga ke 1939, populasi masyarakat Yahudi di Palestin akhirnya meningkat kepada sehingga lebih 300,000 orang berbanding hanya beberapa puluh ribu sebelum itu.
4. Perang Arab-Israel 1948
Pada 1939, selepas kemasukan besar-besaran masyarakat Yahudi dari Eropah ke Palestin, masyarakat asal telah pun sebenarnya memulakan penentangan terhadap British, namun penentangan ini gagal. Begitu pun, selain penentangan di Palestin sendiri, perdebatan turut berlalu di peringkat antarabangsa iaitu di Sidang Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri.
Selepas kegagalan untuk memecahkan Palestin kepada dua negara di peringkat PBB, akhirnya tercetuslah Perang Arab-Israel 1948 yang melibatkan Israel dan negara-negara Arab. Dari sini jugalah Israel mengisytiharkan kemerdekaan mereka, dan tertubuhnya sebuah negara Israel yang disokong oleh Eropah pada tanggal 14 Mei 1948. Rentetan dari itu juga, masyarakat Palestin pula mengisytiharkan 15 Mei 1948 sebagai Hari Nakba atau Hari Kecelakaan buat mereka.
Kemenangan Israel dalam perang tersebut akhirnya telah membuatkan hampir 700,000 rakyat asal Palestin hilang tempat tinggal dan tanah sendiri, dan terpaksa menjadi pelarian di negara-negara Arab yang lain, terutama di Mesir dan Jordan.
5. Amerika Syarikat dan Israel
Amerika Syarikat tidak pernah berselindung dari dilihat sebagai teman istimewa kepada Israel. Amerika Syarikat sentiasa memberikan sokongan mereka terhadap Israel, dan ini bukan semata-mata dari sudut kenyataan politik sebaliknya juga bantuan ketenteraan dan bantuan kewangan yang bernilai billion dollar.
Sekali lagi, hubungan unik antara Amerika Syarikat dan Israel ini juga bukanlah hubungan yang wujud sejak awal dengan sendirinya. Hubungan ini wujud hasil daripada pelobi Zionis dan kelompok pemodal Yahudi yang amat berpengaruh di Eropah dan Amerika Syarikat, yang telah membuat tekanan ke atas pendtadbiran Rumah Putih selama bertahun-tahun selepas berjaya menguasai Eropah.
Menjelang pengundian untuk Pelan Pembahagian Palestin pada 1947, Presiden Amerika, Harry S Truman menerima pelbagai tekanan terutama dari segi politik memandangkan parti yang diwakilinya iaitu Demokrat menerima banyak sokongan dan pendanaan daripada pelobi Yahudi dan Zionis.
Dalam sebuah memoir Presiden Truman yang disusun George Lenczowksi berkenaan pengalaman Truman berhadapan krisis di Timur Tengah, beliau pernah mengatakan “bukan hanya PBB sahaja menerima bentuk tekanan yang tidak pernah saya lihat sebelum ini, sebaliknya Rumah Putih juga menjadi sasaran kepada tekanan yang sama. Tidak pernah saya alami tekanan dan sasaran propaganda ke arah Rumah Putih seumpamanya. Kegigihan segelintir pemimpin Zionis yang ekstrim diterjemahkan melalui motif dan ancaman politik yang telah mengganggu saya dan ia amat menjengkelkan.”.
6. India dan Israel
Dalam konteks hari ini, India dilihat seolah-olah penyokong kuat kepada Israel, dengan lawatan Perdana Menteri Modi ke Tel Aviv pada 2017 sebagai bukti pengukuhan hubungan antara dua negara tersebut. Di media sosial juga, ramai yang turut melihat pertembungan sokongan warganet global ke atas Palestin dengan penyokong Israel dari India. Ini adalah fenomena yang agak baru.
Ketika pengundian untuk pemisahan wilayah Palestin di peringkat PBB pada September 1947 bagi menubuhkan negara Israel, umum mengetahui negara-negara Eropah telah bertindak untuk mengundi bagi menyokong penubuhan Israel, manakala negara-negara Arab pula mengundi untuk membantah rancangan tersebut. Namun, di antara 13 negara yang tidak bersetuju tersebut, satu-satunya negara bukan Arab yang turut membantah adalah India.
India yang ketika itu baru mendapat kemerdekaan dari British adalah penentang kuat terhadap idea penubuhan Israel. Kedua-dua Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru tidak bersetuju dan menganggap penubuhan Israel adalah sebuah penjajahan, dengan Gandhi dirakam turut mengatakan bahawa tanah Palestin adalah milik rakyat Palestin, sebagaimana Tanah Inggeris adalah milik orang Inggeris, dan tanah Perancis adalah milik orang Perancis.
Hubungan mesra yang terjalin antara India dan Israel hari ini hanya bermula apabila Kesatuan Soviet jatuh, dan India mula menjalankan perdagangan serta jual beli senjata dengan Israel pada dekad 90-an. Hari ini, India adalah rakan perdagangan kedua terbesar Israel.
7. Intifada Pertama
Selepas lebih empat dekad sejak tertubuhnya Israel di tanah Palestin, pada 1987, Intifada Pertama lahir sebagai wadah perlawanan rakyat bawahan Palestin yang paling awal. Intifada ini adalah respon balas kepada penindasan dan layanan buruk yang diterima oleh rakyat Palestin selama hidup di bawah Israel.
Intifada Pertama bermula di kem pelarian Jabalia, apabila trak tentera milik Israel Defense Forces (IDF) bertembung dengan kenderaan milik orang awam yang mengorbankan empat nyawa Palestin, dan lantas mencetuskan tindak balas berterusan daripada warga Palestin.
Melalui Intifada Pertama, protes dan boikot telah disusun untuk mengupayakan perlawanan dan penentangan terhadap terutama sekali IDF. Warga Palestin juga turut melakukan keingkaran awam dengan tidak lagi membayar cukai serta atau bekerja dengan perusahaan milik Israel.
Penentangan Intifada ini telah dibalas dengan tindakan keras oleh Israel melalui IDF, termasuk pembunuhan dan pengusiran paksa yang berterusan sehingga tahun 1993. Sepanjang Intifada Pertama, lebih 1000 nyawa termasuk kanak-kanak telah menjadi korban di tangan tindak balas oleh IDF. Intifada Kedua pula bermula pada tahun 2000 sehingga tahun 2005 selepas kegagalan perjanjian damai di Camp David pada 2000.
8. Palestine Liberation Organization
Palestine Liberation Organization atau PLO adalah organisasi yang diasaskan pada tahun 1964 sebagai sebuah organisasi politik dan militan untuk menyusun usaha pembebasan Palestin. PLO asalnya dipengerusikan oleh Ahmad Shukeiri dari 1964 sehingga 1967, kemudian diambil alih oleh Yahya Hammuda sehingga 1969; namun PLO paling dikenang sepanjang diketuai oleh “Abu Amar” Yasser Arafat dari 1969 sehingga 2004. Yasser Arafat telah memimpin PLO sehingga menjadi satu-satunya organisasi yang diiktiraf sebagai mewakili suara rajyat Palestin di PBB dan diberi taraf sebagai Pemerhati.
PLO dianggotai oleh beberapa organisasi dan antara yang terbesar adalah Fatah. Kedua-dua PLO dan Fatah kini diketuai oleh Mahmoud Abbas selepas pemergian Yasser Arafat pada 2004.
Pada 1993, PLO pernah mengiktiraf hak keamanan buat Israel dengan menerima resolusi PBB dengan turut menolak keganasan yang membawa kepada Israel turut mengiktiraf PLO sebagai wakil Palestin. Bagaimanapun, Majlis Pusat Palestin pada 2018 telah menggantung sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Israel selepas siri-siri serangan ke atas Gaza dan Tebing Barat.
9. Penyelesaian Dua Negara
Penyelesaian Dua Negara (Two-state Solution) adalah salah satu pilihan dalam penyelesaian konflik Palestin-Israel yang dicadangkan sejak awal konflik iaitu dua negara untuk dua bangsa di mana Palestin dan Israel wujud sebelah menyebelah. Pemimpin Palestin dan negara-negara Arab hanya boleh bersetuju dengan pilihan ini jika persetujuan ke atas sempadan yang digariskan pada 1967 dapat dicapai yang mana ia tidak dipersetujui oleh Israel. Menurut Israel, wilayah yang pernah menjadi sebahagian dari Mandat British akan menjadi sebahagian Israel, bukan lagi Palestin.
Terdapat banyak usaha diplomatik yang telah dilakukan untuk mencapai kesepakatan termasuklah Perjanjian Camp David (1978) antara Israel dan Mesir, selain Persidangan Madrid (1991), Perjanjian Oslo (1993) dan Kemuncak Camp David (2000), dan banyak lagi termasuklah terbaharu pada 2013-2014 yang masih belum menemui titik penyelesaian.
Penyelesaian Dua Negara yang turut membawa kepada pengiktirafan kewujudan negara Israel bukanlah sebuah penyelesaian yang popular bagi sesetengah segmen pemerhati dan penyokong perjuangan Palestin, namun ia telah diterima pakai oleh banyak pihak dan ini termasuklah PLO sendiri melalui Yasser Arafat.
10. Konflik Fatah dan Hamas
Fatah dan Hamas akan sentiasa menjadi latar kepada setiap yang berlaku di Palestin. Konflik antara kedua-dua Fatah dan Hamas ini sering dirujuk sebagai Perang Saudara Palestin biarpun ianya lebih kepada konflik politik berbanding perang bersenjata yang be
Perbezaan antara Fatah dan Hamas adalah amat meruncing dan selalunya melibatkan ideologi di mana Fatah dikenali sebagai organisasi yang berlandaskan nasionalisma Palestin yang cenderung bersifat sekular berbanding Hamas yang lebih cenderung bersifat Islam fundamental.
Fatah dilihat oleh Hamas sebagai membelakangi perjuangan Palestin dengan mengiktiraf kewujudan Israel melalui siri-siri rundingan yang disertai mereka selama ini, manakala Hamas dianggap sebagai tidak menghormati hak rakyat Palestin untuk hidup bebas dari peperangan. Konflik antara kedua-duanya lebih ketara dilihat selepas pemergian Yasser Arafat, dan tidak lama kemudian selepas kemenangan Hamas dalam Pilihan Raya 2006.
Hamas pernah memboikot pilihan raya Presiden pada 2005, namun kembali menyertai pilihan raya lagislatif pada 2006, dengan memenangi 42.9% undi popular, dan meletakkan pemimpinnya Ismail Hanniyah sebagai Perdana Menteri Palestin, di bawah Presiden dari Fatah, Mahmoud Abbas.
Kemelut antara kedua mereka juga pernah mengakibatkan Mahmoud Abbas membubarkan kabinet pimpinan Ismail Haniyah, namun ia dianggap sebagai tidak sah dan Ismail Haniyah meneruskan pentadbirannya di Gaza.
Pada 2014, kedua-dua Fatah dan Hamas mencapai kesepakatan untuk mendatangani Perjanjian Gaza yang menyaksikan rekonsiliasi antara Fatah dan Hamas untuk membentuk kerajaan perpaduan. Bagaimanapun, ia hanya bertahan sehingga 2016.
Hamas kini menguasai Gaza manakala Fatah menguasai Tebing Barat. – ALTERNATIF
Foto: Sameh Rahmi / NurPhoto / PA Images
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.