Bekerja Dari Rumah: Beban atau Nikmat?

Bekerja Dari Rumah: Beban atau Nikmat?

Budaya bekerja dari rumah - mesra dirujuk dengan terma Inggerisnya Work From Home kini telah menjadi norma baru sejurus merebaknya virus Covid-19.

Namun pada masa yang sama, konteks budaya bekerja dari rumah pada era ini adalah sedikit berbeza berbanding dengan budaya yang kita amalkan sebelum kedatangan virus Covid-19. 

Jika sebelum ini, para pekerja diberi pilihan sama ada ingin bekerja dari rumah ataupun di pejabat, era ini tidak lagi memberi para pekerja pilihan selain berada di rumah untuk bekerja. Ini semua adalah salah satu usaha untuk mengekang penyebaran virus berbahaya Covid-19. 

Walaupun budaya bekerja dari rumah ini kedengarannya menarik dek kerana kita berpeluang bekerja dalam “comfort zone” tersendiri, namun cabarannya juga berat. Tidak semua individu mampu untuk melakukannya di mana untuk bekerja di rumah seseorang itu memerlukan ruang dan persekitaran yang harmoni. 

Kita sedia maklum bahawa potensi untuk seseorang itu mendapat gangguan dari kalangan ahli keluarga sendiri semasa bekerja adalah sangat tinggi semasa bekerja dari rumah. Sebagai contoh, pasangan suami isteri yang mempunyai anak dan terpaksa bekerja dari rumah, acap kali mendapat gangguan dari anak mereka. 

“Multi-tasking” adalah frasa yang sangat sesuai dengan budaya bekerja dari rumah. Dan ini sangat berkait rapat dengan golongan wanita, terutamanya ibu berkerjaya. Jika sebelum ini, semasa bekerja di pejabat mereka hanya perlu fokus kepada urusan pejabat, kini ianya tidak lagi apabila budaya bekerja dari rumah ini bermula. Selain menyelesaikan tugasan pejabat, mereka juga harus memasak dan juga melayan kerenah anak-anak di rumah. 

Dengan situasi semasa di mana sesi persekolahan sedang ditangguhkan, permasalahan ini menjadi semakin rumit. Bukan pasangan yang berkeluarga sahaja yang mengalami permasalahan ini, golongan bujang yang tinggal bersama keluarga juga lazim mendapat gangguan yang sama dari ahli keluarga mereka. 

Kehilangan fokus semasa bekerja di rumah adalah perkara yang sering terjadi. Persekitaran yang berbeza boleh mengakibatkan konsentrasi seseorang itu berubah. Sesebuah organisasi akan mewujudkan suasana yang berkait rapat dengan perniagaan yang mereka jalankan. 

Bagi yang bekerja di bahagian pengurusan, pejabat mereka akan berada di persekitaran di mana wujud tahap privasi yang mencukupi untuk urusan perniagaan. Pejabat tersebut juga selalunya akan dirias dengan unsur-unsur korporat untuk memberi suasana yang positif. 

Namun apabila seseorang itu di minta untuk bekerja dari rumah, mereka akan kehilangan aura positif tersebut dan ini mengakibatkan konsentrasi mereka berkurangan. Tambahan pula dengan kekurangan sumber fizikal untuk bekerja menjadikan tugas mereka semakin rumit. Contoh terdekat adalah peralatan pejabat seperti mesin cetak, fotostat, pengimbas, atau faksimili.

 Atas nama fleksibiliti, ramai juga yang menyalahgunakan budaya bekerja dari rumah ini dengan bekerja kurang dari waktu yang ditetapkan. Ada yang mula bekerja lewat dari waktu yang sepatutnya dan berhenti bekerja awal yang dari masa yang ditetapkan. Ini mengakibatkan produktiviti kerja tersebut terjejas dan bertambah parah jika ia mula dijadikan rutin atau kebiasaan baharu. Oleh yang demikian, disiplin yang tinggi amatlah diperlukan semasa tempoh bekerja dari rumah dikuatkuasakan. 

Pada masa yang sama, ada juga golongan yang melihat budaya bekerja dari rumah ini sebagai suatu yang positif. Sebagai contoh, ia memang dapat menjimatkan kos dari segi pengangkutan dan lain-lain perbelajaan lazim. Dengan berada di rumah, mereka tidak lagi perlu risau tentang perbelajaan petrol dan kos makanan harian sepanjang bekerja di pejabat. 

Selain daripada itu, ada yang berpendapat bahawa budaya bekerja dari rumah ini memberi peluang untuk seseorang mengimbangi masa antara kerjaya dan juga keluarga. Dengan fleksibiliti itu, mereka dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga dan tetap bekerja pada masa yang sama. Ini memberi satu aura positif dan ia juga meninggalkan kesan yang baik terhadap sesebuah syarikat. A happy employee is equal to a successful company. 

Dalam pada masa yang sama, budaya bekerja dari rumah ini juga memberi kelebihan kepada pihak majikan. Dengan bekerja dari rumah, bilangan permohonan cuti sakit dan cuti kecemasan juga berkurangan. Hal ini kerana, majikan seringkali berhadapan dengan masalah cuti kecemasan dari para pekerja sekiranya anak mereka sakit. Dengan bekerja dari rumah, pekerja mereka mampu menjaga anak mereka dan juga bekerja pada masa yang sama.  

Bukan mudah bagi sesebuah organisasi untuk menerima budaya bekerja dari rumah ini kerana mereka juga runsing dan memerlukan masa untuk mengadaptasikan norma ini. Dan akhirnya, bukan semua juga boleh bekerja dari rumah. Syarikat pembuatan misalnya, tidak mungkin dapat mengamalkan bekerja dari rumah ini, kecuali jika peralatan dan mesin pembuatan skala besar milik syarikat boleh dibawa pulang oleh pekerja - dengan setiap mereka juga dibekalkan supervisor masing-masing. Oleh yang demikian, kita harus akur bahawa tidak semua sektor mampu mengimplemetasikan budaya bekerja dari rumah ini. . 

Melihat kembali kepada situasi semasa negara, kita dapat melihat bahawa budaya bekerja dari rumah ini mungkin akan berlanjutan lebih lama lagi. Bagi sektor yang berkaitan, kita harus bersiap sedia untuk menerima budaya baharu ini sebagai satu norma baharu. Ia mungkin agak sukar bagi sesetengah pihak, namun demi kebaikan masa depan negara, give and take is necessary. 

Hazlina Halik adalah seorang ambivert yang mempunyai lulusan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dan kini bekerja dalam industri pembuatan.

Foto: Tran Mau Tri Tam / Unsplash

Share this Post: