[PSA] Ada Apa Dengan PKP 2.0?

[PSA] Ada Apa Dengan PKP 2.0?

Kerajaan baru sahaja mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. Manakalan, PKP Bersyarat (PKPB) akan dijalankan ke atas enam negeri yang lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Terakhir, Perlis dan Sarawak akan menjalani PKP Pemulihan (PKPP).

Bagi golongan barisan hadapan seperti pakar perubatan dan pertahanan, ini mungkin merupakan berita gembira bagi mereka kerana langkah ini bakal mengurangkan kadar peningkatan kes harian. Tidak dinafikan golongan barisan hadapan kita telah berkorban masa dan tenaga mereka hampir setiap hari tanpa bercuti untuk membantu negara mengurangkan kes yang meningkat hari demi hari. 

Namun harus kita ingati juga bahawa PKP 1.0 dahulu telah menyebabkan negara mengalami kerugian sebanyak RM 2.4 billion setiap hari. Ramai yang kehilangan pekerjaan mereka di mana sekurang-kurangnya 15,000 pekerja sektor swasta diberhentikan pekerjaan mereka akibat kegagalan syarikat untuk terus bertahan dan beroperasi di kala pandemik itu.

Tidak itu sahaja, institusi pendidikan juga terkesan dengan menyaksikan pembelajaran dijalankan di atas talian semata-mata dan ini mengakibatkan peperiksaan penting seperti SPM terpaksa ditundakan. 

PKP 2.0 mula diusulkan untuk diimplementasi selepas Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi COVID-19. Dan pada 7 Januari 2021, Malaysia mencatatkan rekod paling tertinggi sebanyak 3,027 kes harian.

Pada masa yang sama fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sudah tidak mampu untuk menampung jumlah harian kes yang semakin meningkat. Ini terbukti di mama 15 buah hospital Covid-19 mula mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

Paling membimbangkan apabila terdapat lebih kurang 1,450 anggota perubatan di hospital seluruh negara telah dijangkiti atau dikuarantikan dan ini menyebabkan mereka tidak dapat menjalankan tugas mereka. Jumlah kematian juga meningkat dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus.

Pada bulan Oktober hingga Disember 2020, jumlah kematian mencatatkan sebanyak 100 kes sebulan berbanding 2 sehingga 59 kes sebulan pada bulan Mac sehingga September 2020. Tambahan pula, gelombang ketiga yang bermula pada 20 September 2020 ini menyaksikan ratusan kluster baru dilaporkan yang melibatkan tempat kerja. Secara totalnya, sebanyak 500 lebih kluster telah direkodkan sejak dari awal 2021 dimana hampir 50 % daripadanya merupakan kluster tempat kerja.

Melihat kepada permasalahan di atas, maka amat wajarlah keputusan kerajaan dalam menjalankan semula PKP 2.0 yang bakal berkuatkuasa pada 13/01/2021.

Namun PKP 2.0 kali ini tidak memberi begitu tekanan kepada rakyat Malaysia di mana terdapat sedikit kelonggaran yang telah diberikan dari segi misalnya, institusi ekonomi di mana kerajaan masih membenarkan 5 sektor untuk beroperasi termasuk sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi. Namun hanya 30 % pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan untuk berada di pejabat manakala kapasiti pekerja sokongan akan ditentukan olehmajikan pada satu-satu masa yang akan ditentukan pada waktu ia diperlukan. 

Bagitu juga dengan kelonggaran buat institusi pendidikan. Bagi pelajar SPM bagi sesi 2020 dan 2021, mereka kini dibenarkan untuk hadir ke sekolah namun dengan SOP yang ketat. 

Sektor keagamaan juga diberi kelonggaran berbanding penutupan total tahun lalu, di mana aktiviti keagamaan boleh berlangsung dengan jumlah maksimum lima orang bagi kawasan PKP. Bagi negeri yang dikenakan PKPP dan PKPB, aktiviti keagamaan dibenarkan dengan kehadiran minimum seperti yang ditetapkan di SOP. 

Aktiviti riadah untuk mengisi masa dan menjaga kesihatan harian juga dibenarkan namun hanya dalam kalangan ahli keluarga sahaja dan tidak secara berkumpulan. 

Dengan pelaksanaan PKP 2.0 ini, diharapkan dapat mengurangkan kadar kes harian negara dan juga mengurangkan nilai R-naught semasa. Nilai R-naught adalah kebolehjangkitan satu kes positif kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan.

Nilai R-naught semasa Malaysia adalah pada paras 1.1, di mana makin tinggi nilai R-naught semakin sukar untuk mengawal penularan virus ini. Covid-19 kini boleh menyerang siapa sahaja tanpa menujukan sebarang simptom. Oleh yang demikian, kita haruslah sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga yang lebih agresif kerana virus ini sudah mula berada di kalangan komuniti kita.

Hazlina Halik adalah seorang ambivert yang mempunyai lulusan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dan kini bekerja dalam industri pembuatan.

Foto ihsan BERNAMA

Share this Post: