"HAKA" All Blacks

"HAKA" All Blacks

Haka dalam bahasa Maori adalah tarian. Tarian ini merupakan suatu upacara tarian tradisional secara beramai-ramai untuk menaikkan semangat menghadapi musuh. Tarian ini berasal daripada negara New Zealand yang digunakan oleh suku kaum Maori sebagai laungan perang atau merayakan sesuatu acara. Kepercayaan animisme ini menjadi warisan turun-temurun kaum Maori sebagai lambang dan simbol kemegahan sesuatu kelompok manusia.

Asal-usul tarian

Berdasarkan kisah dongeng legenda Maori menyatakan bahawa dewa matahari iaitu Tama-nui-te-ra mempunyai seorang isteri bernama dewi Hine-raumati dan seorang anak lelaki iaitu Tane-rore yang sering menari untuk ibunya pada musim panas.

Di sinilah bermulanya sejarah tarian Haka apabila penari akan menggetarkan anggota tubuh badan bagi memuja semangat dewa Tane-rore. Selain daripada pergerakan anggota seperti tangan, tarian Haka juga akan menunjukkan riak wajah yang mengerikan di samping mata terbeliak dan menjelirkan lidah.

Perbuatan-perbuatan ini dilakukan untuk menakut-nakutkan musuh, bersemangat untuk bertarung dan memohon kekuatan fizikal daripada dewa. Haka juga dipraktikkan dalam upacara lain seperti acara hari lahir, pengebumian dan sebagainya.

Bagi sukan ragbi pula, pasukan New Zealand menganggap tarian Haka ini adalah rahsia kekuatan kerana pasukan akan memperoleh kemenangan apabila membuat persembahan Haka sebelum perlawanan.

Tarian meraikan sesuatu acara

Sejak awal tahun 1903, pasukan ragbi New Zealand yang terkenal dengan nama samaran All Blacks telah menjadikan tarian Haka ini sebagai persembahan pembukaan di hadapan pemain lawan sebelum memulakan perlawanan.

Pasukan ini bukan sahaja sinonim dengan tarian Haka Ka Mate malah turut mempunyai tarian Haka versi tersendiri iaitu Kapa O Pango yang bermaksud pasukan berbaju hitam. Baris kata Ki runga ki te rangi e tu iho nei tu iho nei ihi yang bermaksud kita akan dihormati dengan betul dan diletakkan di tempat yang tinggi secara tidak langsung akan menyuntik semangat dalaman kepada setiap pemain All Blacks berhadapan dengan pemain lawan. Secara praktikalnya, perbuatan ini setidak-tidaknya mampu menyerang psikologi pemain lawan sebelum bertempur.

Bagi masyarakat di negara New Zealand, Haka adalah suatu tarian untuk meraikan sesuatu acara namun Haka juga mempunyai peranan-peranan lain seperti membina kesatuan berpasukan secara profesional dan menyahut semangat melawan tanpa kenal erti penat lelah.

Setiap ahli pasukan perlu mengetepikan perasaan ego masing-masing semasa bertempur. Hal ini kerana ahli pasukan saling bergantungan antara satu sama lain. Ego suatu perasaan yang bersifat tidak tulen sebaliknya ego adalah imej ciptaan yang mencipta identiti palsu. Apabila berhaka, semua ahli pasukan melafazkan aku janji untuk tidak berkelakuan ego dan bertindak balas hanya dengan cara sendiri.

Definisi Haka menerangkan api yang menyemarakkan semangat kehidupan. Ini selaras dengan prinsip Haka yang menzahirkan tenaga menguasai seluruh tubuh badan. Setelah mematikan sifat jahat iaitu ego dalam diri, tenaga akan bergema di seluruh tubuh badan lalu diri akan dikuasai sepenuhnya oleh tenaga-tenaga rohaniah.

Sebelum memulakan apa-apa pertarungan, pemain perlu meletakkan kepentingan orang lain lebih tinggi daripada kepentingan sendiri. Pemain perlu kerja secara berkumpulan, menghargai rakan sepasukan, saling menghormati idea seseorang, bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri. 

Selain itu, Haka juga berfungsi sebagai matlamat akhir. Pemain akan lebih fokus dan bermati-matian untuk mencapai kejayaan kerana Haka ini dirangsang oleh tujuan yang jelas. Pemain akan mencurahkan segala komitmen, taat setia kepada pasukan dan melakukan strategi yang telah dipersetujui sebelum bertempur dengan musuh.

Seterusnya, Haka adalah keberanian yang tiada had. Pemain yang berhaka secara automatik akan lebih berani membuat keputusan, mempertahankan benteng daripada musuh dan komited kepada keputusan. Keberanian ini sudah menjadi suatu budaya dalam diri setiap pemain. Budaya ini didorong oleh keempat-empat elemen lain seperti matlamat akhir pasukan, semangat berpasukan, tenaga dan perasaan ego dalam diri pemain.

Jenis tarian Haka

Terdapat pelbagai jenis tarian Haka di New Zealand. Walaupun matlamatnya hampir serupa tetapi bentuk tarian dan seni gerakan tangan sedikit berlainan kerana setiap tarian berbeza mengikut acara. Secara kasarnya tarian-tarian ini mempunyai gaya gerakan anggota tubuh badan yang hampir sama. Kebanyakannya tarian Haka ini bersifat lama atau tradisional namun masyarakat baharu di negara itu masih menyanjungi tarian ini.

Tarian yang paling digemari dan dihormati ialah tarian Ka Mate. Tarian ini direka, dikarang dan disusun sekitar tahun 1820 oleh penghulu Maori Rangatira yang telah mengetuai angkatan perang kaum Ngati Toa. Beliau telah berjaya meloloskan diri daripada musuh lalu melaungkan kata azimat Ka Mate,Ka Mate, Ka Ora, Ka Ora. Tarian kedua yang turut popular di New Zealand ialah Manawa Wera namun tarian Haka ini hanya digunakan bagi acara kematian dan pengebumian. Tiada senjata atau alatan tertentu yang digunakan sepanjang tarian ini dimainkan di samping kategori tarian pada bahagian ini tidak terlalu terikat dengan tarian yang serupa. Seterusnya tarian yang paling mudah dan senang iaitu Whakatu Waewae. Seseorang itu hanya perlu berdiri tegak sambil menghentak-hentakan kakinya ke lantai. Jenis tarian ini kerap digunakan oleh suku kaum Tuhoe yang menetap di sebuah pulau berdekatan dengan Tasik Waikaemoana.

Tarian Haka Peruperu merupakan tarian Haka yang paling berbeza dengan tarian Haka jenis lain kerana tarian ini biasa digunakan dalam medan perang. Tarian ini dianggap sebagai tarian masyarakat tradisional yang menggunakan senjata seperti tombak, parang dan kapak untuk menakutkan musuh. Selain daripada itu, tarian Tutu Ngarahu juga adalah suatu tarian yang menggunakan senjata. Kebiasaannya, tarian jenis ini akan diketuai oleh seorang penghulu yang mengetuai pasukan perang. Tarian yang terakhir ialah tarian Haka Ngeri. Tarian ini menjadi tarian kebiasaan yang diguna pakai oleh pasukan All Blacks kerana dianggap lebih sesuai dan berkesan untuk menaikkan semangat kepahlawanan. Tarian ini akan menggunakan riak wajah yang buruk dan pelik demi menyatakan perasaan penari selain bertujuan untuk menaikkan semangat keberanian mereka.

Bukan hanya sukan ragbi malah permainan lain juga kebiasaannya pasukan akan diketuai oleh seorang ketua atau kapten. Beliau bertanggungjawab untuk mengemudi pasukan dari awal permainan hingga ke tiupan wisel penamat. Antara tugas di bawah bidang kuasa kapten dalam sukan ragbi ialah memimpin laungan Haka, berkomunikasi dengan pengadil, memberi arahan kepada pemain dan mengawal pasukan daripada bersikap tidak berdisiplin di atas padang. Nama kapten pasukan All Blacks yang paling disegani dan mampu memimpin persembahan Haka dengan baik ialah Richie McCaw. Walau bagaimanapun, pemain lain juga boleh bertindak sebagai ketua persembahan Haka terutamanya pemain yang berketurunan Maori disebabkan oleh kefasihan mereka bertutur dalam bahasa Maori.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Haka merupakan suatu persembahan yang menarik untuk dilakukan sebelum bermulanya apa-apa pertarungan. Haka biasa dipersembahkan dalam sukan ragbi kerana para pemain memerlukan semangat dan kekuatan jasmani untuk bertempur dengan pemain lawan. Pada masa ini, Haka bukan sahaja menjadi persembahan pembukaan pasukan New Zealand tetapi pasukan-pasukan lain seperti Fiji dan Samoa sudah mula mempraktikkannya kerana menagih semangat tambahan semasa bertempur.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone.

Foto kredit: The New York Times

Share this Post: